suria

Sudah Puas Berubat, Benarkah Razali Hussain Disantau?

PENYANYI dan pelakon Razali Hussain, 34, (gambar) mengakui bimbang dan gusar dengan tahap kesihatannya yang tidak menentu sejak hampir sebulan lalu.

Razali mula demam dan sakit tekak dua hari sebelum pementasan teater Uda dan Dara yang berlangsung pada 10 Julai sehingga 20 Julai lepas.

Menurut jejaka yang mesra disapa Zali itu, pada awalnya dia menganggap keadaan kesihatannya yang merosot adalah sesuatu yang biasa disebabkan pengaruh cuaca.

Malangnya dia bertambah bimbang apabila keadaan dirinya masih belum pulih selepas hampir sebulan mendapatkan rawatan.

"Pada mulanya memang saya tak kisah sangat sebab biasalah sekarang ini pun memang musim demam tapi apabila keadaan kesihatan ini masih tak menentu selepas hampir sebulan, ia sedikit sebanyak membimbangkan saya.

"Sehingga hari ini, tekak saya masih sakit dan batuk berkahak pun masih belum reda. Sudah bermacam jenis ubat dan rawatan daripada yang moden hingga ke tradisional sudah saya jalani tetapi keadaan kesihatan masih tidak banyak berubah," katanya.

Tambah Zali, apa yang lebih membimbangkan bagaimana dia hendak memenuhi undangan nyanyian pada hujung bulan ini dan memulakan rakaman untuk album terbarunya jika keadaan tekak dan suaranya masih belum pulih sepenuhnya.

Jika setakat batuk, mungkin dia masih boleh berkompromi tetapi dengan keadaan suara yang tersekat-sekat, 'pecah' dan adakalanya 'hilang' terus itu benar-benar mengganggu fikiran juara program realiti, Audition 2 ini.

"Saya masih boleh berkompromi dengan sakit tekak dan batuk berkahak tetapi apabila suara sering 'hilang' dan tersekat-sekat bagaimana saya hendak memenuhi undangan nyanyian yang diterima.

"Hujung bulan ini saya mendapat undangan nyanyian untuk beberapa majlis tetapi dengan keadaan begini saya amat risau," katanya.

Ditanya adakah penyakit itu disebabkan terkena santau orang, Zali bagaimanapun menyangkal dakwaan tersebut dan menolak sebarang perkara mistik ataupun dengki khianat manusia.

"Sakit yang menyerang saya adalah secara kebetulan kerana sekarang ini tengah musim demam dan saya tidak mendapat rehat yang cukup sejak sebelum teater Uda dan Dara sehinggalah hari ini.

"Ia tidak ada kena mengena dengan desas-desus yang mendakwa saya sakit disantau atau terkena perbuatan orang. Itu tidak betul sama sekali, tak baik berfikir yang bukan-bukan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain