suria

Sheila Rusly Gagal Urus Restoran, Dakwa Rakan Kongsi

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Datuk Azlina Che Abdullah mendakwa perniagaan Restoran Nasi Dagang House yang dikongsinya dengan pelakon dan pengacara Sheila Rusly lima tahun lepas ditutup kerana Sheila gagal menguruskan restoran itu mengikut giliran.

Katanya Sheila juga tidak berpuas hati dengan dua draf perjanjian yang dibuat oleh peguam yang mewakili Azlina berhubung perniagaan perkongsian itu yang tutup sebulan selepas dibuka.

Azlina, 43, memberitahu demikian kepada Mahkamah Tinggi hari ini dalam perbicaraan kes saman Sheila, 39, terhadap Azlina yang menuntut semula modal sebanyak RM55,000 yang dilaburkan dalam restoran itu.

"Soal penganiayaan tidak timbul kerana saya telah memberi ruang kepada Sheila dengan bersetuju untuk memberi pegangan keuntungan sama rata walaupun modal yang dikeluarkan oleh saya iaitu RM67,700 melebihi modal yang dikeluarkan oleh Sheila iaitu RM55,000," katanya.

Azlina turut menyatakan rakan kongsinya itu tidak bersetuju dengan draf perjanjian yang dikemukakan terutamanya soal gaji beliau iaitu RM3,900 sebulan dan bukan RM3,000 seperti yang dicadangkan oleh Sheila.

Katanya penambahan gaji itu wajar kerana beliau telah bertungkus lumus memasak dan menghabiskan masa di restoran itu terutamanya di dapur sehingga tiada masa untuk menguruskan syarikat-syarikatnya yang lain.

Azlina memberitahu mahkamah bahawa beliau telah meminta Sheila untuk menyelesaikan masalah perjanjian ini dengan kadar segera dan sekiranya tiada penyelesaian, maka beliau terpaksa membuat keputusan untuk menutup restoran tersebut.

"Saya telah banyak kali menghubungi dan menghantar pesanan khidmat ringkas (SMS) kepada Sheila untuk membincangkan berkenaan restoran itu, tetapi Sheila tidak menjawab panggilan saya," katanya.

Azlina berkata beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dalam pengurusan restoran itu yang boleh menyebabkan Sheila meminta balik wang modalnya.

"Saya yang telah menguruskan Restoran Nasi Dagang sepanjang restoran itu beroperasi pada 11 Julai 2005 hingga 30 Ogos 2005 dan saya tidak menyebabkan restoran ini tutup, tetapi ianya ditutup atas kegagalan Sheila mematuhi penggiliran untuk menguruskan restoran ini," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lim Yee Lan bersambung esok.

Pada 21 Jan 2006, Sheila menfailkan saman terhadap Azlina atas dakwaan gagal mematuhi terma-terma kontrak antara mereka dan menuntut semula modal sebanyak RM55,000 yang dimasukkannya ke dalam perniagaan perkongsian itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain