suria

Saari Amri Bengang Mulut Celupar Ajai

Saari Amri kecil hati dengan keceluparan mulut Ajai.
Saari Amri kecil hati dengan keceluparan mulut Ajai.
Saari Amri kecil hati dengan keceluparan mulut Ajai.

PETALING JAYA: Komposer terkenal Saari Amri berkecil hati dengan Ajai selepas bakal dekan rancangan Keynote itu dilaporkan membuat kenyataan merendah-rendahan tahap pendidikan Saari pada satu sidang media hujung bulan lalu.

Saari dalam kenyataannya melalui akhbar Mingguan mStar semalam berkata, Ajai tidak sewajarnya membuat kenyataan itu kerana ia benar-benar telah mengguris hatinya.

“Siapa Ajai hendak merendah-rendahkan saya? Dia pun popular disebabkan saya yang menaikkan namanya bersama Exist dulu. Tahu atau tidak lirik lagu Untukmu Ibu siapa yang tulis kalau bukan saya?” soal Saari.

Dalam sidang akhbar anjuran Astro itu, Ajai dikatakan mengambil contoh Saari Amri berjaya sebagai seorang komposer tetapi dia tidak mempunyai pendidikan khusus dalam bidang muzik.

Melalui program terbaru terbitan Astro Ria yang bakal bersiaran 15 Jun ini, Ajai mahu mencari bakat-bakat baru yang bukan hanya berkebolehan tetapi mempunyai pendidikan.

Saari yang hanya berkelulusan peringkat sekolah rendah dan pernah bekerja sebagai buruh binaan berkata, walaupun tidak belajar tinggi tetapi dia berjaya menghasilkan album yang pernah mencecah jualan ratusan ribu unit.

Antaranya Kumpulan Ukays, Slam, Ziana Zain, Nicky Ardilla dan beberapa artis popular lain.

Malah kata Saari, penyanyi Andy Lau juga pernah mengundangnya ke Hong Kong selama dua minggu suatu ketika dahulu semata-mata untuk melatihnya menjadi seorang penyanyi.

“Bukan saya nak bangga diri. Tengoklah orang yang tak ada pendidikan tinggi macam saya pun mendapat pengiktirafan daripada penyanyi luar,” ujarnya.

Tambah Saari lagi, Ajai boleh memberi contoh dalam sidang media itu tetapi seelok-eloknya janganlah menyebut nama individu tertentu kerana ia kelihatan agak kurang cerdik.

Kata Saari, Ajai perlu melihat juga dirinya apabila dia sering kali mendapat reaksi negatif daripada peminat setiap kali memberi komen yang pedas apabila diundang menjadi juri dalam sesebuah rancangan realiti.

“Kalau dia bagi komen bukan main ‘laser’ lagi mulut dia. Ramai juga orang tak suka. Jadi faham-faham sajalah. Saya anggap dia macam budak kecil,” kata Saari.

Komposer “otai” itu bagaimanapun bersedia memaafkan Ajai berhubung insiden tersebut.

AJAI MOHON MAAF

Sementara itu Ajai dalam kenyataannya menerusi Mingguan mStar semalam tidak bermaksud untuk memperlekehkan Saari.

Kata Ajai, dalam sidang media itu dia hanya memberi contoh dengan tujuan yang baik di mana Saari adalah seorang komposer yang berbakat walaupun tiada pendidikan khusus dalam bidang muzik.

“Tidak timbul saya mengguris hati dia kerana contoh yang saya berikan semasa sidang media itu adalah dengan niat yang baik. Mungkin dia salah mentafsirkan maksud saya itu,” jelasnya.

Ajai turut mengakui Saari merupakan komposer yang terlibat menaikkan namanya semasa bersama Exist suatu ketika dulu.

Sebagai orang yang lebih muda, Ajai mahu mengambil pendekatan untuk memohon maaf terhadap Saari sekiranya perkara itu benar-benar telah membuatkan hati komposer tersebut terguris.

“Niat saya baik iaitu ingin memberi penghormatan kepada Saari. Tetapi mungkin ada sedikit salah faham. Apa-apa pun saya lebih senang untuk meminta maaf daripadanya,” kata Ajai yang tidak mahu perkara itu berpanjangan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain