suria

Aziz M.Osman & Puteri Lily Selamat Bernikah

Aziz M. Osman dan Puteri Lily Lokman kini sah bergelar suami isteri. - Foto oleh RICKY LAI
Aziz M. Osman dan Puteri Lily Lokman kini sah bergelar suami isteri. - Foto oleh RICKY LAI
Aziz M. Osman dan Puteri Lily Lokman kini sah bergelar suami isteri. - Foto oleh RICKY LAI

KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, pengarah filem dan drama popular Aziz M. Osman, 48, kini sah bergelar suami kepada Puteri Lily Lokman, 21.

Aziz dinikahkan sendiri oleh bapa kepada pengantin perempuan yang juga aktivis teater, Lokman Ghani, 52, di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) Abdullah Hashim serta ahli keluarga dan kenalan.

Majlis akad nikah diadakan di Masjid Negara, di sini kira-kira pada pukul 10.10 pagi tadi.

Pengantin perempuan menerima mas kahwin berjumlah RM1,000 beserta sembilan dulang hantaran termasuklah sejadah, Al-Quran, baju kemeja, tali pinggang, set minyak wangi jenama Bvlgari, coklat, sireh junjung dan sebentuk cincin.

Sementara pihak lelaki membalas tujuh dulang hantaran termasuk Al-Quran, sejadah, telekung, set alat solek, set minyak wangi Bvlgari dan sebentuk cincin.

Kedua-dua mempelai kelihatan cukup berseri apabila mengenakan pakaian nikah berwarna kelabu rekaan butik De Casa Impiana.

Majlis resepsi Aziz dan Lily akan berlangsung pada malam ini di Restoran Seri Melayu, Jalan Conlay bermula pukul 8 malam ini.

Pernikahan Aziz dan Puteri Lily merupakan perkahwinan yang keempat selepas perkahwinannya terdahulu termasuk dengan aktres dan produser drama, Nur Aliah Lee.

Sementara perkahwinannya dengan seorang ustazah, Nor Radhiah Ramli, 22, pada 16 Ogos 2008 dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Terengganu kerana wanita berkenaan masih dalam tempoh edah ketika majlis pernikahan dilakukan.

Hasil perkahwinannya yang lalu, Aziz dikurniakan enam cahaya mata iaitu Puteri Nurul Fatehah, 20, Puteri Nur Asyiqin, 15, Putera Mohd Aiman, 13, Puteri Nur Aisya, 9, Puteri Nur Ain, 7 dan Putera Mohd. Ameen, 5.

Artikel Sebelum

Artikel Lain