suria

'Spontan 2’ Dedikasi Episod Pertama Untuk Din Beramboi

BAGI menyemarakkan lagi program-program bercorak permainan di Astro pada tahun 2010, Astro Warna dengan bangganya membawakan musim kedua program Spontan yang akan bersiaran setiap Isnin bermula 31 Mei 2010, jam 9.30 malam.

Program 26 episod yang berkonsepkan program pementasan secara bersahaja berdasarkan situasi yang diberi, diserikan lagi dengan kehadiran barisan selebriti komedi popular selaku pemain utama seperti Afdlin Shauki, Douglas Lim dan para pelapis pelawak tanah air seperti Zizan dan Nabil (Raja Lawak).

Program ini juga turut menampilkan seorang selebriti yang akan dijemput khas untuk bergandingan dengan barisan pemain utama bagi melakonkan situasi yang diberi dalam setiap episod.

Antara selebriti-selebriti jemputan termasuklah Harith Iskandar, Nur Khiriah, Radhi Khalid, Bell Ngasri, Angah Raja Lawak, Bob Kuman, Aziz M. Osman, Harun Salim Bachik dan Riezman Khuzaimi.

Pengurus Saluran Astro Warna, Azlina Megat, berkata, "Di Astro, kami sentiasa mengutamakan kehendak para penonton yang mahukan program-program terbaik untuk ditonton. Oleh itu, kami tanpa ragu membawakan kembali program Spontan khusus buat mereka.

"Program bercorak permainan yang sudah memasuki musim kedua ini juga masih mengekalkan format asal yang dibantu dengan empat orang selebriti selaku pemain utama dengan penampilan istimewa daripada selebriti-selebriti terkenal tanahair selaku pemain jemputan pada setiap minggu," katanya.

Masih mengekalkan Sharifah Shahira dan Afdlin Shauki sebagai pengacara, program Spontan bakal menyaksikan keletah dan gelagat para peserta melakonkan pelbagai sketsa yang perlu diolah secara spontan berdasarkan empat segmen yang berubah secara rawak pada setiap minggu.

Antara jenis permainanan atau segmen yang bakal dimainkan di dalam Spontan termasuklah Penterjemahan, Beku atau Freeze Game, Sketsa Berabjad, Pemberita Berkepala Tiga, Ciptaan, Skrip Rabak, Sketsa Soal Menyoal, Pemandu Pelancong, Demonstrasi, Juru Jual Langsung, Keluar Masuk, Kesan Bunyi Khas, Situasi Piaa!, Genre, Jamuan Petang Cik Kiah, Dubbing Game, Pantun Empat Kerat, Tak Serupa Bikin, Cd Lelong, Tiru Sama Dia, Terteruk Di Dunia dan Ladang dan Sejarah Pertama.

Tambah Azlina, "Program-program bercorak permainan ternyata berjaya menerima sambutan yang memberangsangkan sekaligus dapat mengumpul kelompok peminat yang tersendiri dan ini jelas dapat dilihat menerusi pelbagai program yang mempunyai genre sebegini menerusi pelbagai saluran Astro.

"Di Astro WARNA sendiri, selain Spontan kami turut menyiarkan program Mandi dan Redah Kasi Pecah buat tontonan ramai serta Terkono dan Kalau Berani 1 vs 0, tidak lama lagi.

"Selain itu, bagi mengenang jasa serta sebagai tanda penghormatan buat Allahyarham Din Beramboi yang pernah menjayakan program Spontan selaku pemain utama dalam musim pertama, kami ingin mendedikasikan episod pertama musim kedua ini khas kepada Allahyarham yang telah banyak mencurahkan idea dan pengisian menarik untuk memikat hati para penonton demi menjayakan program ini.

"Untuk episod ini, para pemain akan bermain tiga permainan kegemaran Allahyarham, 'Pemberita Berkepala Tiga', 'Beku' dan 'Demonstrasi'. Musim ini juga, buat pertama kalinya, kami memperkenalkan Pingat Din Beramboi, di mana para pemenang untuk setiap episod bakal memenangi pingat istimewa yang berbentuk lakaran komik wajah Allahyarham," katanya.

Musim kedua program Spontan setiap Isnin bermula 31 Mei 2010 jam 9.30 malam menerusi saluran Astro Warna di saluran 132 dalam pakej Mustika.

Artikel Berikut

Artikel Lain