suria

Fazreen Rafi Selesa Watak Suami Orang

Fazreen lebih dikenali menerusi watak seorang suami. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNI
Fazreen lebih dikenali menerusi watak seorang suami. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNI
Fazreen lebih dikenali menerusi watak seorang suami. - Foto oleh MOHD SAHAR MISNI

SUDAH tiga tahun aktor Fazreen Rafi serius dalam bidang lakonan ini. Namun, wajahnya lebih dikenali di kaca televisyen menerusi lakonannya sebagai suami orang.

Jika ada yang perasan, dia pernah melakonkan watak suami dalam beberapa drama seperti Andai Itu Takdir Cinta Kita dan Spa Qistina. Terbaru, dia muncul dengan watak yang sama dalam drama Aalia.

Drama bersiri 68 episod itu akan disiarkan di Astro Prima mulai 26 April ini, setiap Isnin hingga Khamis, pukul 9 malam.

Bayangkan, lelaki berusia 25 tahun itu belum mengecapi alam perkahwinan. Lalu, dia cuba merealisasikan watak Shahril, suami kepada Aalia setelah membaca keseluruhan skrip yang diterimanya.

“Apabila saya membaca keseluruhan cerita baru saya dapat sesuaikan diri dengan watak itu. Selepas itu, watak itu akan memberikan impak kepada saya tentang apa yang akan berlaku seterusnya,” kata Fazreen ketika sidang media drama bersiri Aalia di Restoran Rebung.

Tanpa bantuan pengarah berpengalaman Indonesia yang berasal dari India, Anurag Vaishnav, mungkin agak sukar Fazreen membawakan watak Shahril.

“Ini merupakan pertama kali saya berlakon dengan Anurag. Apabila bekerja dengannya, dia mengajar saya tentang body gesture, syot dan pergerakan badan.

“Saya merupakan seorang yang pemalu. Jadi apabila saya mendapat tahu Kak Zaryn merupakan seorang yang gila-gila, saya berasa lebih selesa kerana saya akan automatik bertukar menjadi gila-gila juga,” beritahunya yang turut mengagumi pengarah tempatan seperti Zulkiflie M. Osman.

Memang diakui dia selesa dengan watak sebagai seorang suami memandangkan dia juga bakal bergelar suami kepada Sharifah Marlina Ashikin Syed Hassan, 24, selepas dua tahun mengikat tali pertunangan. Mereka bertunang pada 13 Disember 2008.

Namun begitu, pemuda berasal dari Klang, Selangor itu masih dahagakan watak antagonis yang lebih mencabar dan menguji dirinya.

Sebelum ini, anak kedua daripada lima beradik itu sudah terbiasa dengan watak-watak antagonis melalui teater.

Sehingga ke saat ini, siswazah dari Universiti Malaya dalam jurusan Ijazah Seni Persembahan Drama (Pengarahan) itu masih belum menerima apa-apa tawaran sedemikian untuk kaca televisyen mahupun layar perak.

Jangan ada yang tak tahu, Fazreen bukanlah seperti sesetengah pelakon yang gemar menonton dan menilai lakonan sendiri.

Alasannya, dia bimbang sekiranya kesilapan yang dilakukan akan menjejaskan prestasi lakonannya kelak.

“Sebab itu kalau nak tengok drama lakonan sendiri, saya akan tengok sekejap sahaja dan tak akan menonton sehingga habis,” cerita pelakon drama bersiri Biru Cinta Laguna, Impian Laili, Adam, Puteri, Ali Din, Bong dan Cintaku Di Mukah itu.

Walaupun begitu, Fazreen akan meningkatkan tahap lakonannya termasuk latihan vokal dengan menyertai kumpulan teater di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).

Sedang rancak berbual, dia sempat meluahkan keinginannya untuk berlakon teater. Namun apakan daya, Fazreen perlu membereskan tawaran berlakon drama yang diterimanya.

Kali terakhir dia berlakon teater berjudul The Birds pada setahun setengah lalu. Selain itu, dia juga pernah berlakon dalam teater Tragedi Tun Hamzah, Selendang Sakti, termasuk mengarah teater Tinggi-tinggi Si Matahari, Tiga Dara Terbang Ke Bulan dan Misi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain