suria

Muzik Angelika Seiring Imej

Angelika percaya untuk berjaya dalam arus perdana, muzik dan imej harus seiring. - Foto oleh KEVIN TAN
Angelika percaya untuk berjaya dalam arus perdana, muzik dan imej harus seiring. - Foto oleh KEVIN TAN
Angelika percaya untuk berjaya dalam arus perdana, muzik dan imej harus seiring. - Foto oleh KEVIN TAN

ANAK-ANAK muda ini mungkin masih ‘berhingus’ di persada muzik tanah air. Perjuangan mereka juga masih ‘hijau’. Malah perjalanan Ayuni Shaharudin (Ayuni), 23, Azhan Arsyad (Aan), 30, Mohamad Nurul Akmal (Mal), 22 dan Kee Zulhardnan (Key), 24, juga masih jauh. Namun, kumpulan yang dikenali sebagai Angelika ini punya impian besar.

Di sebalik imej ranggi dan muzik ‘indie’ yang dipertaruhkan mereka, Angelika bukan hanya ingin berjuang sebagai pemuzik bebas. Sebaliknya, mereka memasang impian untuk meninggalkan impak dalam arus muzik perdana Malaysia menerusi pakej muzik dan imej indie mereka.

Menginspirasikan kumpulan rock popular antarabangsa, No Doubt, mereka juga ingin menempa kejayaan dan populariti sebesar kumpulan dari Amerika Syarikat itu.

Berbekalkan prinsip dan keyakinan bidang nyanyian bukan sekadar mempersembahkan lagu-lagu yang sedap dan menarik halwa telinga, Angelika mencuba nasib dalam bidang seni suara dengan pakej tambahan.

Bagi mereka, untuk berjaya dalam bidang ini, anak seni harus bijak menawarkan kelainan tersendiri bukan hanya pada aspek lagu, malah rupa dan imej juga adalah faktor penting yang tidak boleh diperlekehkan.

"Memandangkan kami mempunyai matlamat untuk merancakkan arus perdana secara serius dan profesional, justeru dengan menawarkan muzik sahaja tidak memadai. Kami percaya untuk berjaya dalam arus perdana, muzik dan imej harus seiring.

"Ia bukan setakat menghasilkan lagu-lagu yang menarik dan sedap didengar sahaja. Malah, kami juga perlu tampil dengan imej yang berkesan serta komitmen yang jitu untuk berjaya dalam dunia muzik," kata ketua kumpulannya, Aan.

Ayuni Si 'Muslimah Rock'

Bercerita tentang pemilihan Ayuni sebagai vokalis kumpulan itu, Aan berkata, gadis berusia 23 tahun itu menjadi pilihan kerana imej bertudung dan daya tarikan yang dimilikinya.

Dia dilamar selepas menjalani sesi ujibakat bagi mencari penyanyi utama kumpulan itu yang kerap bertukar ganti sebelum itu.

"Sebelum Ayuni menyertai Angelika, kami mempunyai beberapa penyanyi wanita lain. Namun, semuanya tidak pernah kekal dan sering bertukar ganti.

"Pemilihan Ayuni dilakukan kerana imej dan daya tarikannya selain vokal yang berpotensi. Imej muslimah berjiwa rock yang dimiliki oleh Ayuni menawan hati kami untuk memilihnya sebagai penyanyi utama.

"Kehadirannya juga bagai mewakili gadis-gadis bertudung di luar sana yang masih berpegang kuat kepada tuntutan agama namun ingin berkarya dalam bidang seni.

"Lebih menarik, kami juga dapati ramai pengikut kami yang terdiri daripada gadis-gadis bertudung gembira dan merestui kemunculan Ayuni sebagai vokalis kumpulan rock bebas seperti kami," tambah Aan lagi.

Gadis manis lulusan Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media dari Universiti Teknologi Mara, Shah Alam itu lantas ditanya mengenai pandangannya bergelar penyanyi kumpulan rock bebas dengan imejnya.

Sempat mengukir senyuman sebelum menjawab, Ayuni berkata, walaupun pada sisi luaran imej bertudung yang ditampilkannya mungkin mengundang pelbagai persepsi kerana menjadi penyanyi kumpulan rock, dia bagaimanapun masih berpegang kuat pada tuntutan agama dan batas-batas budaya agar disenangi oleh semua pihak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain