suria

Pengalaman Abang Bantu Syed Ali Hayati Watak Penagih

Tertekan dengan watak penagih dadah Foto The Star Oleh AZMAN GHANI
 Tertekan dengan watak penagih dadah Foto The Star Oleh AZMAN GHANI
Tertekan dengan watak penagih dadah Foto The Star Oleh AZMAN GHANI

BERBEKALKAN wajah menarik, muda serta berbakat, pelakon bernama Syed Ali Tar Mohd. 23, ini mula menempa nama di persada hiburan tempatan dan semakin digilai biarpun masih bergelar pendatang baru.

Pemuda yang berasal dari Kuala Kangsar Perak ini mengakui terlalu banyak cabaran yang dilalui untuk menempuhi dunia glammor.

Pelbagai ujian yang menduganya sewaktu menjalani penggambaran drama namun kerana minat yang mendalam dia tidak menoleh kebelakang atau berputus asa.

Terbaru dia bakal keluar dengan telemovie kedua terbitan Mawi World Production (MW) berjudul Jiwa Kacau. Drama yang mengisahkan kehidupan penagih dadah yang kembali kepangkal jalan ini dianggap antara yang menguji lakonannya sebagai pelakon baru.

"Telemovie ini sangat mencabar bagi saya sebagai pendatang baru. Saya terpaksa menghayati watak penagih dadah supaya nampak betul-betul jadi.

"Saya juga terpaksa cuba 'benda itu' untuk dapatkan feel. Saya hanya bau sahaja dah tidak boleh tahan," katanya.

Menurut jejaka yang baru berusia 23 tahun ini pengalaman ahli keluarganya yang terlibat dengan dadah turut membantu dirinya untuk menghayati watak sebagai penagih.

"Abang saya pernah terlibat dengan najis ini, saya tahu bagaimana perasaan keluarga saya ketika itu, bagaimana masyarakat menerimanya.

"Secara tidak langsung saya dapat menghayati watak Kamil ini dengan perasaan saya sendiri.

"Ada adegan yang saya pernah tengok iaitu ketika mengamuk. Saya pernah tengok abang saya mengamuk sambil bawa parang disebabkan mulut orang kampung," terangnya.

Syed Ali turut mengakui sedikit tertekan ketika membawakan watak ini kerana terpaksa membawa banyak emosi dalam suatu masa.

"Adakalanya saya stress, saya terpaksa duduk bersendirian untuk memahami watak ini. Namun disebabkan kesabaran dan tunjuk ajar yang diberikan pengarah, saya mampu memberi sebaik yang mungkin.

"Adegan keluar air mata juga saya lakukan sendiri, sebab saya seorang yang senang menangis. Banyak perkara yang berlaku dalam hidup saya yang boleh membantu saya untuk keluarkan air mata,' ujarnya.

Mengimbau kisah dukanya semasa baru bergelar artis, bermula dengan pemergian adiknya, kemudian ibu kesayangan, Siti Lakyah Abdul Rashid dan diikuti kakak, Sharifah Tar Mohd.

"Kehilangan ibu paling terasa namun saya sempat meminta restunya untuk berhijrah ke Kuala Lumpur tahun bagi mencari rezeki dalam dunia lakonan," jelasnya.

Telemovie Jiwa Kacau merupakan buah tanggan kedua MW production dan bakal ditayangkan pada 11 April ini di Astro Prima pada pukul 10.30 malam. Antara pelakon lain yang menjayakan Telemovie ini ialah Intan Ladyana, Hafidzuddin Fazil, Sheila Mambo, Faizal yusuf, Along Cham dan ramai lagi serta penampilan istimewa daripada penerbit iaitu Mawi sebagai Inspektor Johar.

Kisah tentang penagih dadah yang kepulangannya tidak diterima masyarakat sehingga menyebabkan dia terjebak semula ke kancah itu. Pemuda bernama Kamil yang sentiasa dipersalahkan oleh masyarakat akhirnya kembali menagih akibat dari patah hati dengan teman wanitanya. Banyak lagi pengajaran yang cuba diterapkan dalam telefilem ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain