suria

Rosyam Angkat Martabat Wanita Dalam Karya

TIADA yang lebih sempurna daripada wanita kerana golongan ini merupakan inspirasi terbesar dalam diri pelakon dan penerbit drama tersohor Rosyam Nor.

Selain berdampingan dengan pelakon-pelakon jelita seperti Rita Rudaini, Rozita Che Wan, Lisdawati, Fasha Sandha, Eja dan Fauziah Latiff, mungkin ramai yang tidak tahu Rosyam juga menggunakan khidmat wanita untuk kerja belakang tabir drama terbitannya, Suhan Movies & Trading Sdn Bhd.

Menurut Rosyam, pengarah Amy Maziah dan penulis skrip Sharifah Abu Salem dirasakan pilihan terbaik untuk berkolaborasi menghasilkan drama-drama terbitannya.

"Amy Maziah merupakan pengarah yang berpengalaman dalam selok-belok pengarahan kerana dia pernah bergelar penolong pengarah di samping pengarah terkenal seperti Aziz M Osman, Erma Fatima, Bade Hj Azmi dan Rashid Sibir.

"Sementara Sharifah Abu Salem pula lebih dikenali sebagai novelis prolifik Malaysia yang kaya dengan bahasa indah-indah belaka.

"Jadi, apabila adanya kombinasi dua nama besar dan ditambah dengan pengalaman yang bagus, insya-Allah, drama saya akan berjaya.

"Harap-harap, segala proses penggambaran di lokasi dipermudahkan," ujar Rosyam yang turut akan berlakon dalam sebuah lagi drama melibatkan dua wanita itu berjudul Trilogi Cinta mulai Jun depan.

Drama bersiri 40 episod itu pastinya dinanti-nantikan oleh penggemar novel Sharifah memandangkan ia diadaptasi daripada tiga novel popularnya iaitu Tak Seindah Mimpi, Tak Semanis Impian dan Tiada Lagi Mimpi.

Menurut pelakon filem Suami, Isteri, dan ..., Gila-Gila Remaja, Castello, Syaitan, Kala Malam Bulan Mengambang dan KL Menjerit itu, idea untuk melakukan drama adaptasi gabungan tiga novel itu terdetik setelah berbual dengan anak perempuannya.

"Anak saya suka membaca novel dan kebetulan novel yang dikatakan best itu ditulis oleh Sharifah Abu Salem. Jadi, saya terus fikirkan idea untuk menghasilkan drama ini.

"Sebelum ini memang saya mahu bekerjasama dengan penulis skrip yang datang dari latar belakang novelis," tutur pelakon berusia 43 tahun itu.

Rosyam akan digandingkan dengan dua heroin iaitu Rita Rudaini dan Diana Rafar dalam drama berkisarkan tentang seorang lelaki yang baru kematian isteri dan selepas itu disuruh berkahwin dengan orang gajinya.

Setiap novel Sharifah pastinya mengangkat tinggi martabat wanita, namun bagi Rosyam dia mampu mengubah sedikit cerita itu dengan meletakkan syarat agar setiap drama terbitannya haruslah mewujudkan keseimbangan antara lelaki dan wanita.

"Bagi saya, dalam 60 peratus penonton yang menonton drama terbitan saya adalah perempuan. Jadi, tidak salah juga jika drama saya menyanjung wanita. Tetapi bergantung juga kepada watak yang dibawakan.

"Sekiranya pelakon wanita itu tidak bersedia untuk membawakan watak yang diberikan, dia mungkin akan tenggelam dengan watak lain kerana lakonan merupakan perkara paling utama," jelasnya kepada mStar Online.

Setakat ini, Amy Maziah telah mengarahkan beberapa drama Suhan seperti Iris, Rozana, Rahsia Hati dan terbaru Isabella.

Manakala Sharifah pula menulis banyak skrip drama terbitan Suhan seperti Rahsia Hati, Nenek Kebaya dan Gelora Di Hati Sara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain