suria

Memang Sudah Tertulis Saya Terkeluar Minggu ini - Faiz Raja Lawak

Barisan peserta-peserta Raja Lawak musim ke-4.
Barisan peserta-peserta Raja Lawak musim ke-4.
Barisan peserta-peserta Raja Lawak musim ke-4.

RANCANGAN Raja Lawak musim ke-4 (RL4) yang berada pada minggu ke lima ini, sedikit membuat kejutan di akhir rancangan ketika mengumumkan tiga peserta yang mendapat undian paling rendah menjadi tanda tanya sesetengah pihak.

Para peserta yang dipanggil untuk naik ke pentas pada malam tersebut adalah Caca, Faiz dan Kumpulan Mamu.

Menurut penerbit rancangan, Nizam Sani memberitahu, Caca yang turut dipanggil naik ke pentas bagaimanapun hanyalah sebuah gimik yang sengaja dilakukan oleh pihaknya ketika mengumumkan peserta mendapat undian terendah yang sepatutnya diganti oleh Kumpulan Antu (3.8 peratus).

Bertemakan drama Muzikal, Faiz yang mempersembahkan kisah penjual durian yang bermuka lebam dengan mendendangkan beberapa lagu seperti tidak mampu menarik audien dan juri untuk bergelak ketawa menjadikannya peserta yang terkeluar pada minggu ini.

Faiz atau nama sebenarnya Khairul Faiz Sulaiman, terpaksa meninggalkan pentas (RL4 ) apabila diumumkan sebagai peserta yang paling rendah mendapat undian 1.7 peratus berbanding Kumpulan Mamu (7.6 peratus).

Menurut Faiz, dia sudah pun melakukan yang terbaik, tetapi dia sendiri dapat merasakan bakal mengikuti jejak Kumpulan Wili yang meninggalkan pentas RL4 pada minggu lepas.

"Saya sudah buat yang terbaik, mungkin sudah tertulis untuk saya terkeluar pada minggu ini," katanya dengan nada yang kecewa.

Faiz yang mengakui berminat dengan alunan muzik nasyid memberitahu akan meneruskan cita-citanya untuk menjadi seorang penceramah agama seperti idolanya Akhil Hayy.

"Saya minat dengan rancangan ini, lagipun saya suka sangat buat lawak dengan kawan-kawan. Cita-cita saya pun nak jadi seperti Ustaz Akhil Hayy," ujarnya.

Menurut pelajar lepasan Maahad Tahfiz ini, dia mengakui sepanjang berada dalam rancangan RL4 itu, banyak ilmu yang dapat dipelajari daripada tenaga pengajar.

"Saya dapat pengalaman baru dan banyak benda yang saya belajar di sini," katanya yang mengakui agak susah untuk menjadi seorang pelawak.

Ketika ditanya mengenai penyingkiran Faiz pada minggu ini, Din Beramboi selaku juri tetap memberitahu dia sebenarnya tidak meletak harapan yang tinggi kepada Faiz selepas beberapa minggu melihat persembahannya.

"Pada mulanya, saya tengok dia (Faiz) ada potensi tetapi ketika di pertengahan ini, saya mula nampak kelemahannya dan sudah jangka dia tidak boleh pergi jauh," katanya.

"Lagipun dia seperti tidak yakin dengan persembahannya dan agak tergugat apabila menyedari peserta lain mempunyai pelbagai bakat lain," ujarnya.

"Walau apa pun saya tetap puas dengan prestasinya, tetapi mungkin bukan rezekinya di sini," kata Din.

Pentas RL4 yang menutup tirai persembahan minggu kelima dengan tiga peserta yang berada di kelompok teratas ialah Idlan (60.2 peratus), Alex (11 peratus) dan kumpulan Kecik (7.9 peratus).

Artikel Berikut

Artikel Lain