suria

Gara-gara Fitnah, Azwan Ali Dipilih Duta Serai Hijau

Azwan Ali dilantik sebagai duta Losyen Serai Hijau pada 1 Januari lalu. -Foto The Star oleh BRIAN MOH
Azwan Ali dilantik sebagai duta Losyen Serai Hijau pada 1 Januari lalu. -Foto The Star oleh BRIAN MOH
Azwan Ali dilantik sebagai duta Losyen Serai Hijau pada 1 Januari lalu. -Foto The Star oleh BRIAN MOH

MUNGKIN ada peminat menganggap selebriti glamor, Azwan Ali mencetuskan propaganda berikutan terjawabnya ‘Majlis Penuh Rahsia’ semalam.

Seperti yang digembar-gemburkan, Azwan sebelum ini memaklumkan majlisnya dihias serba indah bak taman firdausi termasuk sentuhan pelamin berwarna ungu lavender tajaan dan rekaan Rins Suzana.

Akhirnya yang ditunggu-tunggu telah terjawab, tanggal 13 Januari bukanlah tarikh perkahwinan Azwan sebaliknya hari pelancaran Losyen Serai Hijau.

Pada 1 Januari lalu, pengacara, pelakon, blogger dan produser sensasi ini telah dilantik sebagai duta produk keluaran Mumbio Cos Manufacturing Sdn Bhd.

“Tiada sebab rasmi yang membuatkan saya merahsiakan perkara ini kerana ia merupakan amanah pihak penaja yang melarang saya menghebahkan kepada semua orang.

“Saya hanya wujudkan debaran untuk peminat dan orang yang saya sayang.

“Siapa sangka dalam usia yang bakal mencecah 44 tahun, saya diterima menjadi jurucakap produk.

“Ini semua rezeki Allah SWT sepulangnya saya dari umrah dan semuanya berpunca gara-gara air mata Azwan Ali dalam siaran Melodi TV3 pada 1 November tahun lalu,” katanya ketika majlis yang berlangsung di Palace of the Golden Horses, Seri Kembangan.

Azwan juga tidak hairan jika ramai yang akan marah atau tidak berpuas hati dengan idea menariknya itu.

“Mesej saya, itu masalah orang Malaysia yang majoritinya suka menggelabah dan panik..lainlah kalau saya berkata pada 13 Januari ini akan bernikah. Barulah, orang boleh kata saya penipu.

“Tetapi saya menganggap majlis ini telah berjaya. Saya bangga kerana ramai kawan baik saya yang datang. Saya juga tidak nampak mereka mencemuh saya kerana tahu saya bergurau,” ujar Azwan lagi dalam majlis yang meriah dengan hampir 100 selebriti terkenal itu.

Selain itu, ibunya, Che Tom Yahya turut memeriahkan majlis yang juga dihadiri oleh antaranya Diana Danielle, Aleeza Kassim, Hans Isaac, Betty Banafe, Datuk Aziz Sattar, Datuk A. Rahman Hassan, Aznil Hj Nawawi, Liyana Jasmay, Lisa Surihani, Amy Search, Chef Wan dan Rozita Che Wan.

Jelasnya, dengan pelantikan sebagai duta produk yang menggunakan tagline ‘Pasti Teruja Dengan 1001 Khasiatnya’ itu, Azwan mengaku dia menerima tawaran itu bukan kerana keuntungan semata-mata.

“Saya hanya mahukan masyarakat mencari produk berimej Azwan Ali. Saya tahu mesti ramai peminat yang ghairah hendak membelinya. Saya hanya mendapat keuntungan berdasarkan jualan. Misalnya kalau jual sebotol mungkin saya boleh dapat dalam RM5,” beritahunya lagi yang menggayakan pakaian bertemakan warna ungu dan hijau rekaan Michael Shu.

Selain rahsia sebagai jurucakap produk itu, ada enam rahsia lain yang dirungkai oleh Azwan. Sebagai simbolik, Azwan turut memperagakan tujuh dulang hantaran dan tujuh aksesori lelaki bernilai RM220,000 tajaan Habib Jewels.

“Rahsia kedua, saya berbangga untuk mengumumkan majlis ulang tahun ke-21 Azwan Ali bertahan sebagai artis.

“Ketiga, imej penjenamaan semula Azwan Ali dilancarkan hari ini. Dari Azwan Ali Productions kini hanya tinggal Azwan Ali dan diharap nama ini membawa limpahan rezeki.

“Keempat, majlis ini juga adalah majlis ulang tahun ke-44 usia saya yang disambut sebulan lebih awal kerana pada 13 Februari nanti adalah malam Tahun Baru Cina. Jadi, bagaimana saya nak celebrate.

“Kelima, saya juga berbangga mengumumkan kolaborasi perniagaan dengan Michael Shu, pereka fesyen terkenal untuk produk ‘Purnama’. Tudung-tudung eksklusif Michael Shu akan dipasarkan dengan aura Azwan Ali sebagai pelaris jualan mulai bulan depan.

“Keenam, blog tulisan saya Silaserazwanali.blogspot.com kini genap setahun dengan jumlah purata pelayar mencecah 700,000.

“Satu pencapaian yang amat dibanggakan dan hari ini, saya terpilih antara senarai senarai pendek blog selebriti paling paling popular untuk rakaman program popular bloggers berjudul ‘Project Alpha’ musim kedua terbitan Nuffnang, agensi pengiklanan blog nombor satu dunia.

“Ketujuh, buku Selamat Jalan Dunia Pondan tulisan sulung saya dengan 13 topik terhangat. Kini siap ditulis dan Insya-Allah, saya sedang mencari-cari rakan niaga terbaik untuk melancarkannya pada awal Ramadhan tahun ini,” katanya ketika memberikan ucapan.

Bukan sahaja Azwan, malah tujuh selebriti wanita iaitu Diana Danielle, Aleeza Kassim, Nadia AF6, Intan Ladyana, Rabecca Nur Al-Islam, Shafinaz dan Akma AF3 turut terpilih menggayakan barang kemas tajaan Habib Jewels sambil mengiringi diva itu ke pelamin. Dianggarkan keseluruhan barang kemas yang ditaja itu berjumlah RM1.8 juta.

Selain itu, majlis yang dianggarkan bernilai RM500,000 itu turut ditaja oleh WKY, Palace of the Golden Horses, Izaat Academy, Ika Fancy Production termasuk Mumbio Cos Manufacturing Sdn Bhd.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain