suria

Along-Zila Akhiri Dugaan Bertunang 23 Januari Ini

Along (kanan) akan menamatkan status bujangnya pada 23 Januari ini.
Along (kanan) akan menamatkan status bujangnya pada 23 Januari ini.
Along (kanan) akan menamatkan status bujangnya pada 23 Januari ini.

TEMPOH pertunangan selama lebih setahun yang dilalui oleh pasangan Along Raja Lawak dan Zila pastinya membuahkan perasaan takut dan mendebarkan.

Ini kerana, sepanjang tempoh itu, mereka melalui pelbagai dugaan yang boleh menimbulkan perpisahan.

Biar apa pun corak dugaan yang dilalui oleh pasangan ini, mereka akhirnya memilih tarikh 23 Januari untuk menamatkan dugaan sepanjang tempoh pertunangan itu.

Pada tarikh itu, Along dan Zila akan diijabkabulkan di rumah keluarga Zila di Felda Lui Selatan, Bandar Seri Jempul, Negeri Sembilan pada jam 10 pagi manakala majlis bersanding akan dilakukan pada pukul 2.30 petang di tempat yang sama.

Zila akan menerima tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran RM17,000 iaitu simbolik kepada tarikh hari jadinya pada 17 November dan membalas sembilan dulang hantaran kepada Along. Kesemua hantaran-hantaran itu akan dibuat oleh isteri penyanyi Mawi, Ekin.

“Pada mulanya saya nak pilih tarikh 19 Januari sebab ia merupakan tarikh hari lahir saya. Tetapi tarikh itu hari minggu. Jadi, sebab itu saya memilih 23 Januari.

“Ikutkan, kami nak langsungkan perkahwinan pada tahun lepas lagi tapi kerja pula banyak dan orang kampung juga tak free.

“Bagaimanapun, saya tak menganggap sebab sibuk dengan penggambaran sebagai halangan tetapi lebih kepada rezeki. Saya selalu berharap dapat menempuhi dugaan ini sampai bila-bila,” kata Along ketika dihubungi.

Pada 14 Februari depan, majlis resepsi dan menyambut menantu akan diadakan di Dewan Taman Johor Jaya.

Sementara pada 27 Februari, mereka akan bersanding di Plaza Angsana, Johor Bharu bersempena Wedding Festival yang mana sebelum ini pernah dijayakan oleh pelakon Que Haidar dan koreografer Linda Jasmine pada tahun lalu.

Persandingan di Plaza Angsana itu akan ditaja sepenuhnya oleh Plaza Angsana dan Butik Juzzarith.

Majlis resepsi di rumah pengantin perempuan di Negeri Sembilan pada 23 Januari akan ditaja oleh Edlynn Collection dengan warna tema hitam dan hijau manakala di pihak lelaki pada 14 Februari di Johor akan ditaja oleh Adli Bridal yang pernah membuat pelamin semasa perkahwinan Mawi dan Ekin.

Walaupun mendapat beberapa tajaan, Along berkata dia tetap menghabiskan belanja sebanyak puluhan ribu ringgit untuk menyediakan makanan dan cenderamata untuk tetamu.

Jelas isu gambar berpeluk

Menyentuh tentang isu gambar dia dan Zila berpelukan seperti yang disebarkan di internet, Along berkata mereka bukan sengaja hendak melakukan aksi mesra itu sebaliknya dilakukan atas permintaan media.

“Pihak media yang nak macam tu dengan mengatakan gambar ini bukan untuk dikeluarkan dalam masa terdekat ini.

“Jadi, apabila gambar itu tersebar, orang akan mencari kesilapan kami. Lagipun, bukan senang untuk mencari orang yang menyukai kita.

“Adegan berpeluk itu hanya dalam gambar dan kalau difikirkan secara logik, kita boleh tahu samada seseorang itu sengaja untuk berpeluk atau tidak,” akhirinya yang sedang menjalani penggambaran telefilem Fatimah Juling untuk Astro Prima.

Artikel Lain