suria

Zamzarina Tiada Hak Penjagaan, Tidak Boleh Pindah Sekolah Anak

PETALING JAYA: Pengacara rancangan Apa Kata Wanita terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Zamzarina Zambri, 36, tidak berhak memindahkan anak-anaknya ke sekolah lain sebelum mendapatkan hak penjagaan daripada mahkamah.

Bekas suami, Adnan Derahman, 37, memberitahu bahawa Zamzarina telah mengisi borang hak penjagaan menggunakan butiran palsu kepada pihak sekolah bagi membolehkannya melakukan pemindahan ketiga-tiga anak mereka iaitu Adriana, 14, Adam, 10 dan Alif, 7.

"Pihak sekolah tidak benarkan untuk memindahkan anak-anak ke sekolah lain selagi mahkamah belum menentukan hak penjagaan.

"Tapi pada 23 Disember lalu, dia telah ambil kesempatan semasa saya berada di luar negara untuk mengisi borang hak penjagaan dan membuat pengakuan palsu bahawa saya tidak tidak dapat dihubungi.

"Dia faham akan perkara ini, dia tidak perlu buat dengan cara menipu untuk ambil anak-anak. Saya tidak mahu mereka dipindahkan memandangkan Adraina bakal mengambil PMR (Penilaian Menengah Rendah) dan bimbang pembelajaranya terganggu," ujar Adnan kepada mStar Online di sini semalam.

Tambah Adnan, selepas berpisah dua tahun lepas dia dan Zamzarina bergilir-gilir menjaga anak-anak mereka.

"Pagi tadi (semalam) saya ambil anak-anak di rumah barunya di ibu negara, dan pulangkan pada jam 6 petang tadi.

"Selama ini memang tiada masalah sebab dia juga tinggal di Shah Alam tapi sejak berpindah ke Kuala Lumpur dia bawa sekali mereka dan pindahkan luar pengetahuan saya.

"Apa yang penting adalah adab untuk ambil anak-anak, saya boleh bagi kerjasama dengan baik kalau dia boleh bertolak-ansur," kata Adnan yang selama ini bertanggungjawab menjaga anak-anaknya.

Ekoran itu menurut Adnan, dia dalam proses menfailkan saman terhadap Zamzarina dalam masa terdekat ini.

"Tengoklah dalam masa terdekat ini saya akan failkan saman atas beberapa sebab tertentu dan saya akan berjuang untuk mendapatkan hak penjagaan tersebut," katanya.

Terdahulu, dua laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam pada 30 November setelah Zamzarina didakwa membawa keluar Adraina, Adam dan Alif dari rumah Adnan dan laporan kedua di Seksyen 6 pada 23 Disember kerana cubaan menukar ketiga-tiga anaknya itu ke sekolah lain.

Dalam pada itu, usaha untuk menghubungi personaliti RTM itu gagal, namun melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dihantar, dia tidak mahu memberi sebarang komen atas nasihat peguamnya.

Menurut Zamzarina tiada isu yang perlu dibangkitkan tentang perkara ini dan anak-anak masih lagi berjumpa bekas suaminya.

Semalam, Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata daripada aspek perundangan syarie, Zamzarina tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang kerana mahkamah sendiri belum memutuskan siapa yang ada hak di atas penjagaan anak-anak mereka.

Namun begitu mereka disarankan untuk mengemukakan tuntutan penjagaan anak ke mahkamah bagi menyelesaikan kemelut ini.

Artikel Sebelum

TV9 Cari Jaguh Badminton Negara

Artikel Berikut

Artikel Lain