suria

Chef Wan Mati Kutu Bila Dipaksa Cakap Perlahan-lahan

KEPETAHAN selebriti terkenal Chef Wan berbicara merupakan salah satu dari daya tarikan tukang masak terkenal ini.

Gelagatnya yang suka bercakap cepat bagai tiada nokhtah membuat ramai wartawan selalu mengusiknya. Setiap kali ditemuramah, memang tidka terkejar menyalin setiap yang diucapkan.

Kepantasan Chef Wan bercakap seperti keretapi ekspres itu begitu sinonim dengan dirinya. Malah, bila ada penggambaran rancangan masak, selebriti popular ini tidak memerlukan sebarang skrip kerana semuanya sudah di dalam kepalanya.

Namun baru-baru ini, sewaktu menjalani penggambaran rancangan masak untuk program baru 'BestWan' terbitan Asian Food Channel (AFC), senarionya agak berbeza.

Bukan saja Chef Wan 'diarahkan' untuk bercakap lambat dan perlahan, dia terpaksa menurut saja kata pengarah tanpa boleh membantah.

Pengalaman untuk bercakap dengan lambat dan perlahan benar-benar meninggalkan kesan yang mendalam pada Chef Wan.

"Pengalaman disuruh bercakap perlahan adalah sesuatu yang lucu bagi saya. Selama ini saya tidak terfikir pun, satu hari saya akan disuruh berbuat demikian.

"Mati kutu dibuatnya bila pengarah senior program, Michael Parkinson menegur saya dan menyuruh saya 'pause' (berhenti seketika) apabila dirasakan memontum saya agak laju.

"Sepanjang-panjang shooting itu, tak jemu-jemu dia mengingatkan saya untuk 'slow down' dan 'pause' hingga saya tersenyum.

"Begitu juga 'Cue Card' yang dipaparkan di hadapan saya, semuanya tertera dua perkataan ini.

"Setiap kali saya 'terlaju' cakap, Micahel akan berkata, 800 juta penonton akan melihat rancangan saya. Kata Michael, "tidak ada makna kalau apa yang awak cakap tidak sampai kepada penonton. Tarik nafas dan cakap perlahan-lahan...," kata Chef wan yang kini sedang sibuk membuat persiapan untuk majlis perkahwinan anak gadisnya, aktres Serina.

Jelasnya lagi, "Setelah dua episod, saya mula terasa kesannya. Baru saya faham kenapa dan mengapa pengarah itu mahukan sedemikian. Rupa-rupanya, memang saya rasa lebih tenang bila tidak perlu cakap cepat-cepat seperti nak kejar keretapi....."

Lebih manis lagi, bagi program 'BestWan', Chef Wan diberi peluang bekerja dengan 13 orang kru yang berkaliber di set penggambaran, di mana separuh daripada mereka pernah menimba pengalaman bekerja di BBC dan Canadian Food Network.

"Segalanya begitu terperinci dari kesan bunyi hingga ke warna yang dihasilkan. Dan setiap episod dihasilkan dengan profesional sekali. Michael pernah bekerja dengan tukang masak terkenal Nigella Lawson untuk program di BBC dan pengarah kreatif untuk Jamie Oliver bagi program 'The Naked chef'," kata tukang masak yang sudah menghasilkan beberapa siri buku masak.

Program 'BestWan' bukan saja mempamerkan kemahiran Chef Wan di dapur tetapi memaparkan imej peribadinya sebagai seorang tukang masak terkenal di dunia. 'BestWan' akan mula ke udara pada bulan Februari tahun hadapan.

Meskipun sibuk melunaskan segala tuntutan kerja hingga penuh diari kerja untuk tahun yang akan datang, Chef Wan pastikan yang dia tidak abaikan peminat-peminat kesayangannya.

Selebriti terkenal berusia 52 tahun ini mengaku yang dia semakin ghairah membuat catatan peribadi di laman Facebook.

"Lebih mudah untuk saya berinteraksi secara langsung dengan semua peminat saya di facebook.

"Apa saja perkembangan saya boleh dipantau mulai facebook. Yang kelakarnya, bila saya tidak menulis di facebook satu hari, ramai peminat akan menulis bertanya khabar. Mereka begitu prihatin, takut saya sakit. Ada yang suruh makan ubat, ada yang memberi kata-kata nasihat.

"Saya terharu bila ramai yang bertanya khabar. Perkara-perkara begini membuat saya rasa bertuah kerana ada peminat setia," kata selebriti yang bernama Redzuawan bin Ismail ini.

Kata Chef Wan lagi, "Facebook menjadi platform terbaru saya untuk berkongsi dengan peminat pasal makanan. Selalunya, makanan adalah cara terbaik untuk berkongsi kasih sayang."

Artikel Sebelum

Artikel Lain