suria

Remy: Saya Hairan Mengapa Ummi Tidak Terangkan Hal Sebenar

Ummi Nazeera
Ummi Nazeera
Ummi Nazeera

PETALING JAYA: "Saya sudah 'letih' dengan hal ini. Terlalu lama saya bertahan dan saya sudah malas melihat 'drama' ini lagi," luah Remy Ishak berhubung pengakuan pembantu rumah Ummi Nazeera yang dikatakan menjadi saksi insiden Ummi dicederakan oleh Remy pada 4 Disember lalu.

Di dalam sebuah akhbar hari ini, Susi Sumarni membuat pengakuan bahawa dia menyaksikan pergaduhan antara Remy dan majikannya, Ummi di bawah kondominium yang terletak di Jalan Ampang itu dan pada masa kejadian, Remy dilihat melibas tangannya dengan laju ke muka Ummi sehingga menyebabkan pelakon itu terjatuh.

Menurut Susi, Remy kemudian datang kepadanya dan memintanya agar tidak melaporkan perkara tersebut dan menyuruh Susi mengambil bedak asas di rumah bagi menutup luka di muka pelakon wanita itu.

Ujar Susi, dia sendiri bantu mengangkat Ummi yang dipanggil 'cik muda' itu yang mengadu kesakitan akibat bengkak di bahagian kiri mukanya dengan luka dan lebam di sekitar mata.

Pendedahan yang dibuat oleh Susi di hadapan ibu Ummi, Datuk Maziah Musa, malam tadi itu tidak terhenti di situ saja apabila dia turut mengaku, Ummi sebelum ini juga pernah dicederakan Remy ketika mereka bertengkar.

Keluarga Ummi telah membuat laporan polis pada 5 Disember lalu dan pelakon itu turut mendapatkan rawatan di salah sebuah hospital di Ampang.

Diminta mengulas mengenai 'pendedahan' terbaru itu ekoran kontroversi yang melanda pasangan kekasih ini, Remy dalam nada tenang berkata, dia sudah tidak mampu untuk menjelaskan tentang perkara ini lagi.

"Saya benar-benar sudah 'letih'. Saya hanya kesiankan keluarga di kampung. Mereka amat terkejut dengan semua ini, tetapi alhamdulillah, mereka masih percayakan saya kerana mereka tahu siapa diri saya yang sebenarnya.

"Tidak perlulah saya nak beritahu orang tentang diri saya...betapa baiknya saya, atau apa saja. Biarlah apa tanggapan orang terhadap saya selepas ini. Masing-masing boleh menilai.

"Cuma saya hairan, mengapa Ummi sendiri tidak tampil dan terangkan hal yang sebenar. Sedangkan sehingga saat ini, dia masih menghubungi dan menghantar SMS berkali-kali memberitahu saya bahawa saya sebenarnya tidak bersalah. Tetapi saya sudah malas untuk 'layan' lagi.

"Biarlah...cukuplah benda-benda ini saya lalui. Saya hanya perlu kuatkan semangat saja ketika ini dan meneruskan kerja seperti biasa ," kata Remy yang kini berada di Kedah untuk menjalani penggambaran filem terbaru arahan Osman Ali.

Kontroversi yang melanda pasangan kekasih ini mula menjadi bualan ramai apabila Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak dibelasah oleh sekumpulan lelaki ketika ingin menuju ke bilik persalinannya di dalam Istana Budaya (IB) sebaik pementasan teater Natrah dan sesi beramah-mesra dengan penonton berakhir pada awal Disember lalu.

Remy diserang oleh tujuh orang lelaki yang berjaya melarikan diri setelah kejadian tersebut disedari oleh beberapa orang yang berada di kawasan itu.

Akibat serangan tersebut, pelakon berusia 27 tahun itu dibawa ke hospital setelah mengalami kecederaan di kepala dan kakinya. Remy bagaimanapun mengalami kecederaan ringan dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis Jalan Tun Razak untuk membuat laporan polis.

Serangan itu juga dikatakan mempunyai kaitan dengan insiden pergaduhan antaranya dan Ummi.

Artikel Lain