suria

'Saya Tidak Mahu Peminat Meluat Saya Dan Nabil' - Irma

SEJAK kedua-duanya secara terbuka mengaku tentang hubungan cinta mereka, tidak dinafikan subjek itulah yang sering menghambat pelakon Irma Hasmie dan juara Raja Lawak musim kedua, Nabil apabila bertemu media di mana-mana majlis.

'Bila nak kahwin?' adalah soalan 'wajib' yang sering dilontarkan kepada mereka sehinggakan adakalanya, mereka sendiri sudah tidak tahu lagi apa jawapan terbaik untuk disampaikan.

Tutur Irma, dia akui inilah harga yang perlu dibayar apabila bergelar selebriti. Namun, jika keterlaluan, dia sendiri kurang selesa dan risau peminat-peminat pula akan mengkritik mereka.

"Kisah cinta kami memang 'menutup' kisah karier seni saya. Sejujurnya, saya tidak kisah bercakap tentang Nabil bila ditanya.

"Cuma kalau boleh selepas ini, tambahan pula dengan kehadiran tahun baru nanti, biarlah kisah peribadi saya dilaporkan dengan cara 'sederhana' saja. Biarlah seimbang antara karier dan cerita peribadi.

"Saya sudah tidak mahu orang asyik bercakap, 'Irma ni asyik keluar cerita tentang cinta saja'.

"Bukannya apa, saya tidak mahu peminat meluat dengan saya dan Nabil. Tetapi, saya tidaklah sampai rasa tertekan dengan hal ini," ujar Irma ketika ditemui pada majlis ramah-mesra bersama pelakon-pelakon drama bersiri Aliff Firdaus, baru-baru ini.

Kata pelakon berusia 27 tahun ini, pelbagai kritikan pernah singgah terhadap hubungannya dan Nabil. Malah, sudah ada pihak yang melabelkan mereka seperti 'belangkas' dan 'over' kerana terlalu banyak cerita tentang cinta mereka dan sering dilihat bersama.

Lantaran itu, ujar Irma, dia merasakan sudah tiba masanya untuk dia tidak terlalu tampil dengan cerita cinta semata-mata.

Namun, kata pelakon kelahiran Kuala Lumpur ini, dia pasti tidak kisah untuk berkongsi cerita peribadinya jika ada berita 'besar' yang ingin disampaikan kepada peminat.

"Kalau ada jodoh dan sudah sampai seru kami berkahwin, pasti perkara ini kami akan kongsikan bersama peminat. Macam sekarang, kami belum lagi fikirkan tentang perkara itu, jadi tidak manislah asyik bercakap benda yang sama saja.

"Kalau kami sering dilihat bersama, rasanya itu adalah perkara normal dalam sesebuah hubungan. Seperti mana pasangan kekasih lain, kami juga berhak untuk berbuat demikian...menonton wayang, keluar makan bersama itu adalah perkara biasa yang dilakukan oleh mana-mana pasangan bercinta," kata Irma sambil tersenyum.

Beralih kepada perkembangan karier seninya, ujar Irma, ketika ini dia sibuk dengan penggambaran Aliff Firdaus arahan Rashid Sibir sebanyak 26 episod bersama pelakon-pelakon seperti Beego, Nasir Bilal Khan, Kuza, Jasmin Hamid, Zed Zaidi dan Maria Farida.

Membawakan watak sebagai Dira, kata Irma, dia akui tertarik dengan karektor 'misteri' Dira.

"Dira ada sejarah hitamnya, tetapi tidak dicerita di awal drama. Dia pulang kampung tapi pada masa yang sama ada menyorokkan satu kisah tentang dirinya. Di kampung, dia jatuh cinta dengan Aliff lakonan Beego.

"Apapun, saya suka dengan plot cerita bagi watak saya yang memfokuskan kepada kehidupan di kampung dan bandar," cerita Irma tentang drama yang menggantikan Nur Kasih di slot baru, Zehra bermula 11 Disember ini.

Dalam pada itu, Irma juga sedang di dalam pertimbangan untuk menjayakan drama Awan Dania musim ketiga yang bakal memulakan penggambaran minggu depan.

Ujar Irma, jadualnya yang padat membuatkannya sukar untuk memberi kata putus tentang pembabitannya di dalam drama popular itu.

Ditanya adakah dia perlu mempertimbangkan tawaran tersebut dengan teliti memandangkan pelbagai masalah yang melanda produksi itu sewaktu pembikinan Awan Dunia musim kedua, Irma berkata:

"Apa yang boleh saya katakan, memang banyak masalah yang berlaku ketika itu. Tapi saya sendiri tidak pasti sebesar mana masalah tersebut kerana babak yang membabitkan saya tidak banyak.

"Tapi saya akui, seperti mana beberapa pelakon lain, saya juga ada sedikit masalah dengan produksi, tetapi masalahnya mungkin tidak besar sangat berbanding mereka.

"Apapun, perkara itu sudah berlalu dan saya tidak mahu bercakap banyak tentangnya," luah Irma yang tidak menafikan isu pelakon menerima bayaran lambat juga adalah salah satu masalah yang berlaku dalam produksi tersebut.

Artikel Sebelum

Zahnita Saman Gulatis RM2 Juta

Artikel Berikut

Artikel Lain