suria

Sheila Majid Bebas Memilih 'Show' Selepas 25 Tahun

DATUK Sheila Majid memenangi anugerah antarabangsa bagi kategori ‘Outstanding Female Vocalist Award’ yang dianugerahkan oleh ‘Federation for Asian Cutural Promotion’ (FACP), baru-baru ini di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

FACP mengiktiraf penglibatan persatuan atau individu dari seluruh Asia yang terlibat di dalam bidang seni. Persatuan NGO ini ditubuhkan 30 tahun yang lalu.

Selain itu, penyanyi yang juga ibu kepada empat orang ini juga pernah memenangi banyak anugerah lain dari dalam dan luar negara.

Anugerah ini sekaligus menghargai sumbangan penyanyi ini dalam arena nyanyian selama 24 tahun dalam genre Jazz dan ‘Rhythm and Blues.’

Apabila dimaklumkan yang Sheila dipilih melalui surat, penyanyi ini berasa sangat terharu kerana penglibatannya dalam bidang nyanyian dihargai.

“Saya amat gembira kerana dianugerahi gelaran ini. Mereka adalah satu badan antarabangsa dan saya bersyukur dan berasa dihargai kerana dipilih di antara beberapa orang yang disenaraipendekkan,” tambah Sheila semasa dihubungi.

Sekadar imbasan, pembabitan Ratu Jazz Negara ini dalam bidang nyanyian bermula sejurus menamatkan tingkatan lima.

Anak kelahiran Kuantan, Pahang ini mengeluarkan album pertamanya pada tahun 1985 berjudul Dimensi Baru. Antara album-album lain penyanyi ini adalah Warna, Legenda, Ratu, Ku Mohon dan Cinta Kita.

Menerusi album keduannya yang bertajuk Emosi, beliau berjaya menembusi pasaran Indonesia pada tahun 1986. Setahun kemudian, Sheila menerima ‘BASF Award for Best Female Artist’ di Indonesia.

“Saya akan mengeluarkan dua single saya pada awal tahun hadapan yang juga menandakan 25 tahun sebagai penyanyi,” jelas Sheila.

Sementara itu, Sheila berkata kini beliau juga sudah mampu memilih 'show' sendiri.

“Saya tidak perlu pergi kepada semua aktiviti yang dilancarkan hanya untuk dikenali,” kata Sheila.

Selain itu, apa yang dianggapnya sebagai pencapaian selama 25 tahun adalah kemampuannya yang berjaya menambat hati bukan saja peminat-peminat Melayu, malah kaum lain juga.

“Saya bertuah kerana ada ramai peminat saya diluar sana yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama.

“Peminat-peminat saya juga tidak pernah bertindak liar atau berkelakuan kurang sopan,” jelas Sheila lagi.

Penyanyi ini juga ingin menyambut pembabitannya di dalam bidang seni selama 25 tahun ini dengan mengadakan beberapa aktiviti sepanjang tahun depan.

Artikel Berikut

Artikel Lain