suria

Aditya: Ada ketika keterbukaan bisa membunuh

-FOTO GSC
-FOTO GSC
-FOTO GSC

PEMERHATI dunia hiburan Indonesia dan Malaysia sedia maklum yang Krisdayanti bukan lagi isteri kepada Anang Hermansyah.

Masing-masing cuba mempertahankan pendirian dengan tegas. Anang dengan cara Anang yang mendakwa keruntuhan rumah tangga mereka kerana kecurangan penyanyi Menghitung Hari itu dan Krisdayanti juga ada alasan tersendiri mengapa sebabnya dia perlu meminta perceraian sebagai jalan terbaik kepada perkahwinan yang telah memasuki usia 13 tahun.

Nyatanya hari ini, peminat boleh mendengar nyanyian mereka melalui radio di Malaysia (yang begitu setia menyokong artis seberang!). Anang mencipta khas ‘Separuh Jiwaku Pergi’ yang diilhamkan daripada perpisahan itu.

Krisdayanti pula terlebih awal merakamkan ciptaan Anang, ‘Aku Wanita Biasa’ yang menceritakan dia juga manusia yang memiliki kekurangan.

Perceraian mereka menambahkan populariti mereka sekali lagi dan media Malaysia yang dahagakan cerita sebegini, menyambut dengan tangan terbuka akan pengakuan mereka.

Sementelah artis Indonesia yang bercakap tidak menggunakan banyak tapisan, memudahkan sensasi itu tercipta sehingga membudayakan masyarakat kita.

Nyatanya juga, masing-masing mempertahankan diri. Anang yang selama ini sering kelihatan berdiam, membuka mulut menceritakan kecurangan bekas isterinya itu menerusi satu temubual teleconference Kuala Lumpur – Jakarta baru-baru ini.

Krisdayanti pula terlebih dahulu memijak kaki ke kota ini sambil mengadakan persembahan untuk mengutip dana bagi membantu mangsa gempa bumi di Padang. Siapa yang silap dalam kegagalan pelayaran bahtera mereka, hanya Allah yang Maha Mengetahui dan Dia juga Maha Mengerti akan aturan yang telah ditetapkan untuk makhlukNya.

Mungkin ini jalan terbaik buat Krisdayanti dan Anang daripada terus berpura di depan masyarakat berlakon watak bahagia sedangkan hati menjeruk rasa.

Banyak yang boleh kita tafsirkan daripada kejadian ini. Bagaimanapun minta Aditya, usah kita menuding jari menyalahkan sesiapa kerana percayalah, di sebalik setiap kejadian itu ada hikmah tersembunyi. Bunyinya klise tetapi itulah hakikat kehidupan.

Sebagai pemerhati penggerak aktiviti hiburan, Aditya lebih banyak melihat pernyataan Krisdayanti di dalam media selama ini. Anang yang sering menemaninya ketika kunjungan Krisdayanti di Malaysia, jarang sekali ditemuramah.

Kalau ada sekalipun, ia sekadar pelengkap artikel mengenai bekas isterinya itu sahaja. Jadi tidak banyak yang diketahui mengenai lelaki kepada dua anak perempuan itu.

Banyak sangat yang kita baca tentang Krisdayanti. Memang dia artis popular di Indonesia dan dikenali ramai di tanah air kita. Banyak perkembangan dan ceritanya. Sehinggakan kadang-kadang Aditya merasakan banyak juga yang tidak perlu Krisdayanti bercerita kepada masyarakat mengenai hal peribadinya.

Datuk Siti Nurhaliza rasanya lebih popular tetapi wanita ini lebih bijak menaburkan cerita, mana yang perlu saja untuk pengetahuan peminat dan selebihnya disimpan untuk diri sendiri.

Sikap keterbukaan Krisdayanti memang menyenangkan media menulis tentangnya dan Aditya melihat itu sebagai umpan yang boleh memamah diri sendiri.

Penerbitan buku peribadi keduanya yang cukup kontroversi, ‘My Life My Secret’ menggambarkan lebih terperinci akan permasalahannya selama ini. Segala sejarah hitam dalam hidupnya itu membuatkannya tidak henti-henti menerima cemuhan. Kontroversi itu membuatkan ‘My Life My Secret’ begitu laris di Indonesia dan atas permintaan ramai, Krisdayanti mengulang cetak semula buku itu dan menterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris untuk pasaran luar negara termasuk Malaysia. Tindakannya ini turut mendapat kecaman hebat daripada beberapa pihak.

Bagaimanapun dalam satu catatan, Krisdayanti langsung tidak gusar dengan pendedahannya tentang ketagihan dadah suatu ketika dulu serta kisah pergolakan rumah tangganya yang sudah menjadi buah mulut di rantau ini. "Saya berharap apa yang saya paparkan dalam buku itu sama sekali tidak akan mengurangkan kecintaan peminat terhadap saya. Saya sedar pasti akan ada yang kecewa tetapi itulah hakikatnya.

"Setiap orang punya kisah silam masing-masing tetapi apa yang penting di sini ialah bagaimana kita mampu berjuang untuk menghadapinya dengan berusaha untuk menjadi lebih baik.

"Saya terima segalanya risiko tentang pengedaran buku ini dengan tenang. Saya juga sudah biasa dicemuh,” katanya.

Keterbukaan dan keberanian Krisdayanti membuatkan Aditya kembali terfikir akan had-had yang sepatutnya sebagai manusia, lebih-lebih lagi dilahirkan sebagai wanita Islam.

Secara jelasnya, kita maklum yang industri hiburan banyak menghalalkan yang haram melalui pelbagai cara.

Hal ini juga pernah Aditya bangkitkan dalam tulisan sebelum ini terutama yang membabitkan wanita dan aurat.

Tidak perlu diperjelaskan terperinci di sini kerana Aditya faham yang pembaca mStar Online sedia tahu duduk perkara sebenar had aurat, dosa dan wanita.

Aditya bukanlah ustaz (itupun dipertikaikan). Bukan juga mufti yang juga dibolehkan kena tahan kerana mengajar.

Suara perempuan saja sudah banyak yang mempertikai akan auratnya. Belum lagi pakaian… ahh, sudah banyak kali diingatkan!

Bagaimanapun dunia hiburan sebenarnya membenarkan kita mencipta fitnah dan membenarkan diri kita diperkatakan.

Baik positif mahupun negatif, orang yang memerhati tetap menilai. Jelasnya juga orang kita suka memandang yang tidak sedap telinga mendengarnya.

Apatah lagi seseorang yang dikenali ramai seperti Krisdayanti yang dituduh melakukan kecurangan sehingga terjadinya perceraiannya.

Popularitinya membenarkan orang bercakap dan paling sedih menuduhnya menjalin hubungan sulit dengan usahawan Timor Laste, Raul Lemos dan pemuzik Tohpati, Ari Sigit dan Dicky Wahyudi. Bagaimanapun Krisdayanti menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

Tegasnya, sepanjang perkahwinannya ada perkara normal yang dilihat daripada sudut negatif, bahkan sikap keterbukaannya disalahertikan orang sekeliling.

“Saya orangnya mesra dan sangat menghargai insan lain dan kadangkala mungkin berlebihan sehingga ia disalahertikan. Misalnya, saya mudah menggunakan perkataan ‘sayang’ kepada sesiapa saja dan ada kalanya anak melihat saya berpelukan dan nampak mesra dengan orang yang saya jumpa.

“Di luar kemampuan saya untuk mengawal apa yang mereka fikir mengenai perkara itu. Sejujurnya, mereka tidak lebih daripada rakan kerja dan penaja program seni saya. Tohpati misalnya, saya menghormati kerja mereka, malah sepanjang dua tahun bekerjasama untuk persembahan saya, ada ketikanya kami berbincang hingga lewat malam.

“Ada mata yang tidak suka, jadi timbul cerita saya berselingkuh. Biarpun pedih saya tidak menyalahkan mereka, apa lagi berdendam. Yang penting, saya terus melangkah dengan hal yang menurut saya benar dengan bersaksikan Yang Esa.

“Segala keputusan yang saya ambil adalah kerana tidak lagi secocok, bukan kerana pihak ketiga. Apa lagi sekarang orang sibuk mencari bukti saya kononnya meruntuhkan rumah tangga orang,” ini kenyataan penyanyi itu kepada media Malaysia.

Aditya sedikitpun tidak menyalahkan Krisdayanti mahupun Anang dalam hal ini. Sebelum ini pun, Aditya pernah bercakap tentang Mawi dan Siti Nurhaliza yang dianggap sebagai manusia contoh kepada masyarakat supaya menjadikan mereka sebagai teladan dan sempadan.

Allah menjadikan mereka di antara kita untuk kita nilaikan mana yang baik dan buruk supaya kita sendiri tidak menjadikan yang buruk sebagai panduan untuk meneruskan hidup ini.

Mereka juga seperti kita, bukan maksum yang selalu leka dalam melakukan kesilapan. Cuma sebagai selebriti, mereka perlu kuat untuk berdepan dengan ketajaman mata penilai dalam masyarakat seperti kita juga yang sering diperhati oleh tukang kira amalan kita seharian.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain