suria

Yasmin Tangkis Gelaran 'Klon' Fasha Sandha

Yasmin Khanif, bintang baru yang mempertaruhkan lakonan sulungnya di layar perak menerusi filem Jalang
Yasmin Khanif, bintang baru yang mempertaruhkan lakonan sulungnya di layar perak menerusi filem Jalang
Yasmin Khanif, bintang baru yang mempertaruhkan lakonan sulungnya di layar perak menerusi filem Jalang

BAGI mereka yang bakal menonton lakonan sulung Yasmin Khanif di layar perak menerusi filem Jalang yang akan mula memasuki pawagam pada 26 November ini, pasti akan merasakan gadis berusia 21 tahun ini seolah-olah 'klon' kepada aktres Fasha Sandha.

Suaranya yang kedengaran seakan-akan Fasha serta wajah yang mempunyai iras pelakon popular itu ketika di dalam filem tersebut sememangnya membuatkan Yasmin sering 'diusik' oleh tetamu yang hadir pada majlis prebiu filem itu, dengan mengatakan dirinya saling tidak tumpah seperti Fasha.

Namun, bagi Yasmin sendiri atau nama sebenarnya Rosyasmin Mohd Khanif, persamaan seperti itu hanya secara kebetulan dan akui pelakon berusia 21 tahun ini, dia sendiri juga sebenarnya kurang selesa dengan 'disamakan' dengan Fasha.

"Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu kenapa orang cakap saya macam Fasha...mungkin secara kebetulan saja sebab ramai yang merasakan suara saya seperti dia. Malah, sebelum ini pun memang ada juga yang berkata sedemikian.

"Tetapi kalau boleh, saya tidak mahu dikaitkan sebagai klon atau sebagainya. Saya hanya menjadi diri saya sendiri dan tidak berniat pun meniru sesiapa.

"Lagipun saya masih baru dalam bidang lakonan ini dan saya harap, saya dapat dikenali dengan identiti tersendiri," kata anak kelahiran Kuala Lumpur ini ketika ditemui sejurus berakhirnya prebiu filem arahan Nazir Jamaluddin itu di Cineleisure, semalam.

Lantas menyambung cerita tentang filem sulung lakonannya itu pula, kata Yasmin, dia akui agak berdebar menantikan reaksi penonton apabila filem terbitan De Baron Sdn Bhd itu muncul di pawagam kelak.

Semuanya gara-gara watak perempuan jalang dan aksi 'daring' yang dipamerkannya di dalam filem itu.

"Pada awalnya, saya tidak terfikir pun lakonan ini boleh mencetuskan kontroversi walaupun saya tahu ia berkisarkan tentang perempuan jalang. Tetapi, setelah filem ini siap, saya akui memang gementar untuk lihat reaksi ramai kelak.

"Apapun, saya ingin tegaskan di sini, saya hanya melakonkan watak itu saja," ujar Yasmin yang sebelum ini banyak terlibat di dalam iklan-iklan komersial antarabangsa.

Selain Yasmin, turut membintangi filem yang berklasifikasi 18PL namun bebas daripada potongan Lembaga Penapisan Filem (LPF) ini antaranya ialah Hairi Othman, Maria Farida, Helmi Husaini, Kuswadinata, Fizow Omar, Yank Kasim, Norlia Ghani, Faizal Hussein dan Ridzuan Hashim.

Secara ringkasnya, Jalang mengisahkan tentang Maria, seorang Perunding Kanan di salah sebuah syarikat antarabangsa milik Tan Sri Jamaudi yang menjadikan tubuh badannya sebagai barang dagangan demi mendapatkan projek-projek besar di dalam dan luar negara.

Dia terperangkap dengan cinta lamanya, Ikram yang juga merupakan anak kepada Datuk Nahu, orang perantaraan yang menjadi ‘jambatan’ kepada kehidupan tidak bermoralnya.

Selepas dibuang buat kali yang kedua oleh kekasihnya Ikram, sebaik mendapat tahu tentang kehidupan sosialnya, Maria membawa diri ke kampung ibu angkatnya Mak Esah bagi muhasabah diri.

Dia diburu oleh teman baiknya Ben Adam yang dalam diam menyintainya walaupun sejak awal lagi sudah mengetahui tentang kisah buruknya.

Mengulas lanjut tentang filem itu lagi, kata Yasmin yang pernah membintangi beberapa buah drama sebelum ini, walaupun sedar pasti ada yang akan mengkritik tentang penampilan seksinya dan aksi 'daring' di dalam filem tersebut, dia bagaimanapun mempunyai alasan tersendiri.

"Tajuknya pun ialah 'jalang', jadi kalau tidak ada sikit babak-babak seperti itu, penonton tidak akan nampak betapa jalangnya perempuan itu. Tetapi babak-babak itu pun bukannya melampau sangat.

"Apapun, menerusi lakonan saya ini, sejujurnya memang saya tidak begitu puas hati kerana rasanya saya boleh buat lebih baik lagi.

"Lagipun, ini adalah filem pertama saya dan saya harap dapat berpeluang membaiki lagi kelemahan diri," katanya yang akan membintangi dua buah filem baru selepas ini iaitu Blues Untuk Aku dan Insaf.

Ditanya pula bagaimana penerimaan keluarganya dengan penampilan pertamanya di layar perak menerusi filem yang agak 'panas' ini, ujar Yasmin, memang dari awal lagi dia sudah memberitahu ibubapanya tentang jalan cerita filem tersebut.

"Saya menerima skrip filem ini seminggu sebelum memulakan penggambaran di Langkawi. Dan saya jelaskan kepada keluarga tentang ceritanya. Saya sanggup terima tawaran filem ini kerana saya tahu ada mesej di sebalik apa yang ingin disampaikan.

"Setelah berbincang dengan ibubapa, mereka bersetuju tetapi meminta kakak saya menjadi PA (pembantu peribadi) supaya dia boleh memantau lakonan saya dalam filem ini," kata pelakon dan model ini.

Artikel Berikut

Artikel Lain