suria

Kakak Tua: Muka bayi artis pun eksklusif?

TERLALU jauh nilai yang diletakkan oleh artis dulu dan sekarang. Kalau dulu selebriti seperti Fauziah Latiff dan Shiela Majid sanggup menunjukkan wajah comel bayi mereka kepada media sebaik selepas bersalin.

Tapi tidak lagi pada masa kini. Artis-artis popular seperti Sharifah Aleya, Eja, Erra Fazira, Ziana Zain dan terbaru Linda Jasmine tidak mahu foto anak mereka diambil. Entah apa sebabnya hanya mereka saja yang tahu.

Susah juga nak meneka apa yang ada di dalam fikiran mereka. Mungkinkah keadaan mereka yang kurang glamor ketika itu menyebabkan mereka tak mahu foto mereka dirakam.

Tetapi setahu Kakak Tua, tak ada pula pantang larang dari segi agama yang menegah foto bayi baru lahir dirakamkan. Yang selalu buat perangai begini hanyalah bintang-bintang ternama Hollywood. Itu pun foto-foto ini terpaksa dibayar dengan harga yang mahal, baru lah dapat disiarkan.

Mungkin juga ini satu trend artis sekarang. Yang membuat Kakak Tua tersenyum bila terbaca kisah Ziana Zain belum bersedia menunjukkan wajah kembarnya walaupun setelah 3 bulan.

Yang menjadi peminat lagi teruja sebab kembar Ziana seorang bayi lelaki dan perempuan.

Alasan yang diberi Ziana kerana dia seorang yang cukup berdisiplin. Bukan hanya foto baby tidak akan ditunjukkan pada masa ini tapi orang luar juga hanya boleh melawatnya selepas dia selesai berpantang selama 100 hari.

Atas nama eksklusiviti, media juga terpaksa menghormati permintaan Ziana. Biarlah Ziana dan kembarnya melalui fasa baru ini dengan tenang. Walau diasak sekalipun, kalau orang tak mahu kita tak boleh buat apa.

Kalau nak diikutkan, berita dan detik gembira begini amat sesuai dirakamkan kerana ianya satu kenangan yang cukup manis bukan saja untuk artis tetapi untuk peminat juga.

Tapi kisah Ziana dan selebriti lain 'menyorok' wajah bayi mereka tidak sehebat kisah seorang artis yang terus tidak mengaku ada anak.

Sudahlah perkahwinannya dengan seorang pelakon itu dinafikan sekeras-kerasnya, penyanyi dangdut itu turut tidak mengaku kehadiran seorang anak perempuan sampai bersumpah-sumpah.

Bertahun-tahun lamanya kisah anak itu menjadi satu misteri hinggalah artis itu bercerai dan kemudiannya menjadi ibu tunggal. Sejak dua tahun kebelakangan ini, artis itu berani pula membiarkan wajah anak perempuannya dirakamkan.

Dan media tidak pula membuka episod lama atau menulis tentang kisah 'jahiliyah' artis yang 'menyorok' anaknya tu.

Sekali fikir, apalah susah sangat nak tunjuk muka anak. Hairan betul prinsip sesetengah artis kita. Macam juga kisah tipu umur dan tipu status.

Kadangkala perkara-perkara yang mereka lakukan tidak tercapai akal tapi disebabkan mereka artis, tidak ada siapa yang berani persoalkan.

KAKAK TUA: Tak pandai main sorok-sorok...

Artikel Berikut

Artikel Lain