suria

Prof Razak cari wajah 'Ratu' bak bidadari untuk filem terbarunya

Prof Madya A Razak Mohaideen. -Foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF
Prof Madya A Razak Mohaideen. -Foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF
Prof Madya A Razak Mohaideen. -Foto THE STAR oleh AZHAR MAHFOF

BAGAI sireh pulang ke gagang apabila seorang bekas finalis Ratu Cantik Malaysia 2008 menghadiri siri uji bakat filem 'Ratu' baru-baru ini, kata pengarahnya Prof Madya A. Razak Mohaideen (atau Prof Madya Abdul Razak Mohaideen.

Ini kerana wajah cantik seperti bidadari menepati kriteria pencarian satu daripada lapan ratu dalam filem yang berkonsepkan pengembaraan seram tersebut.

"Selain mempunyai rupa wajah yang cantik dan memiliki bentuk badan yang menarik, 'Ratu' yang saya cari perlu juga berkeperibadian tinggi serta berbakat dalam lakonan," kata Razak ketika dihubungi mStar baru-baru ini.

Abdul Razak Mohaideen atau Prof Madya A. Razak Mohaideen merupakan seorang pengarah, jururunding skrip, pensyarah dan penulis di negara ini.

Filem 'Ratu' merupakan filem ke-30 dan julung kali bergenre pengembaraan 'thriller' di bawah arahannya.

Sebelum ini, A. Razak menghasilkan pelbagai genre filem seperti lucu, mistik, seram, percintaan, komedi dan sebagainya.

Antara filem-filem arahan beliau ialah Sifu & Tongga (2009), Skrip 7707 (2009), Rasukan Ablasa (Bisikan Syaitan) (2009), Cinta U-Turn (2008), Duyung (2008), Otai (2007), Nana Tanjung (2006), Bujang Senang (2006), Main-Main Cinta (2006), Potret Mistik (2005), Anak Mami Kembali (2005), Lady Boss (2005) dan Cinta Fotokopi (2005).

Lain-lain filem arahannya termasuk Tangkai Jering (2004), I Know What You Did Last Raya (2004), Tujuh Perhentian (2004), Hingga Hujung Nyawa (2004), Kuliah Cinta (2004), Jutawan Fakir (2003), Cinta Kolestrol (2003), Mistik (2003), Mami Jarum (2002), Anak Mami The Movie (2002) dan Gemerlapan (1997).

Ditanya mengenai identiti bekas finalis ratu cantik itu, A Razak memberitahu, identiti jelitawan itu terpaksa dirahsiakan kerana ia masih dalam peringkat saringan.

"Setakat ini, sebanyak 22 calon ratu telah dikenalpastikan iaitu Pulau Pinang sebanyak empat calon, Selangor (10), Sarawak (lima) dan Sabah (tiga). Kita ingin calon dari Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun, Dayak, Benggali dan lain-lain.

"Nampaknya majoriti calon adalah berbangsa Cina iaitu lapan orang. Sasaran bilangan calon ratu adalah 25 orang sebelum disenaraipendekkan menjadi lapan orang," jelas A Razak.

Beberapa siri uji bakat telah diadakan di Pulau Pinang, MBO Kuching, Sarawak (17-18 Oktober) dan GSC 1 Borneo, Sabah (24-25 Oktober).

Kemudian, pencarian bakat baru 'Ratu' akan diteruskan di GSC Pavilion, Kuala Lumpur pada 30 dan 31 Oktober serta GSC Pelangi Leisure Mall, Johor Bahru (1 November). Sesi uji bakat itu bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

Menurut Razak, sesi uji bakat tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan daripada orang ramai.

"Ramai yang datang, tetapi ada yang tidak cukup berat badan dan ketinggian. Bagaimanapun kami masih membenarkan mereka menjalani uji bakat kerana mereka mungkin berbakat," katanya yang turut mengarahkan drama-drama seperti Anak Mami, PHD, Menantu Mami, Realiti, 3 Suku Juta, Siapa Boss, Cucu Mami, Mat Belit, 99.9 FM, Fakulti dan Papa Kahwinlah.

Mereka yang berminat mengikuti sesi uji bakat tersebut haruslah merupakan warga negara Malaysia dari pelbagai kaum yang mempunyai kriteria sebagai ratu, berusia 18 hingga 25 tahun, ketinggian 5 kaki 5 inci, berat 50 kilogram dan fasih berbahasa Melayu.

Bagi calon-calon yang menepati kriteria-kriteria sebagai ratu tetapi kurang fasih berbahasa Melayu, Razak berkata, mereka masih dipertimbangkan.

"Tidak mengapa kerana mereka akan dilatih selama dua minggu sebelum memulakan penggambaran filem. Misalnya, pelakon antarabangsa dari Hong Kong , Jackie Chan masih boleh berlakon dengan baik di Hollywood walaupun kurang fasih bahasa Inggeris.

"Pelakon masih boleh berlatih dengan dialog dan skrip yang diberikan," kata Razak yang juga pensyarah dan Ketua Jabatan Skrin, Fakulti Seni Persembahan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

Razak yang terkenal dalam dunia perfileman tanahair, mempunyai Sarjana Sastera (MA) (Pengarahan Filem) United Kingdom, Ijazah Sarjana Muda Dengan Kepujian (Kewartawanan dan filem) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Inggeris dan Komunikasi) UKM.

Sementara itu, Razak memberitahu pelakon terkenal seperti Yusry Abdul Halim (KRU) dan Fouziah Ghaus telah mengesahkan pembabitan mereka dalam filem berkos kira-kira RM2 juta ini.

Tambahnya, pihaknya akan mengumumkan lapan ratu yang disenaraipendekkan dalam sidang akhbar pada awal November ini.

FILEM 'RATU'

Apakah keistimewaan filem 'Ratu' Filem 'Ratu' terbitan Lineclear Motion Pictures Sdn Bhd ini berbanding 29 filem arahan Razak yang juga Pengurus Besar Lineclear sebelum ini?

Selain bergenre pengembaraan 'thriller', Razak memberitahu, ia sebenarnya mirip kepada rancangan 'Lost' di saluran AXN (Astro).

"Cerita 'Lost' berkisar kepada sekumpulan manusia terkandas di sebuah pulau tetapi bezanya dalam filem 'Ratu' pula ia menceritakan lapan ratu cantik yang mempunyai pelbagai latar belakang yang berbeza.

"Misalnya, pelatih pelakon diberhentikan, ratu cantik yang pernah langgar lari, tinggalkan suami curang, menyertai pertandingan ratu cantik tetapi tidak direstui keluarga.. masing-masing ada cerita tersendiri.

"Latar belakang setiap ratu itu akan diceritakan menerusi teknik 'flashback'," kata Razak yang telah berbincang dengan kerajaan negeri Sabah untuk menjadikan salah sebuah pulau sebagai lokasi penggambaran.

Untuk menyuntik elemen realism, jelas beliau, pelakon-pelakon baru diambil untuk membintangi filem 'Ratu'.

"Kalau menggunakan pelakon sedia ada, dah tak nampak atau dapat realism lagi," kata Razak yang juga ingin membuka peluang barisan pelakon baru menembusi pasaran dalam dunia perfileman.

Mengulas lanjut mengenai filem 'Ratu', sutradara tersohor itu berkata 'Ratu' sepatutnya disiapkan dua tahun lalu.

Lebih menarik jika menurut perancangan awal, kata Razak, 'Ratu' sebenarnya bukan merupakan filem tetapi satu rancangan realiti mencari pelakon seperti program realiti Anak Wayang dan Pilih Kasih yang sedia ada kini.

"Oleh kerana tidak mendapat tajaan pada ketika itu, saya terpaksa melupakan hasrat untuk menyiapkan program realiti 'Ratu'.

"Lagipun, saya membuat beberapa filem pada masa itu dan TV3 telah bersetuju untuk menjayakan program realiti itu," kata beliau.

Artikel Lain