suria

KD: Cinta saya sudah mati buat Anang...

KD ketika melancarkan album terbarunya, 'Aku Wanita Biasa' semalam. -foto The Star oleh UU BAN
KD ketika melancarkan album terbarunya, 'Aku Wanita Biasa' semalam. -foto The Star oleh UU BAN
KD ketika melancarkan album terbarunya, 'Aku Wanita Biasa' semalam. -foto The Star oleh UU BAN

KES penceraian Krisdayanti (KD) dan Anang Hermansyah baru sahaja disahkan pada Khamis lalu, 22 Oktober setelah dia diceraikan dengan talak satu oleh bekas suaminya itu sekaligus menamatkan perkahwinan yang dibina selama 13 tahun lalu.

Sebelum ini Anang pernah menjatuhkan talak terhadap KD pada tiga tahun lalu namun mereka berbaik semula sehinggalah pada awal September lalu media mula memainkan cerita tentang isu penceraian mereka.

KD menafikan orang ketiga merupakan punca dia dan Anang bercerai sebaliknya mereka telah berbincang tentang hal itu selepas pulang dari menunaikan umrah pada 8 Ogos lalu. KD juga menegaskan mereka mendapat ‘petunjuk’ setelah melakukan solat istikharah.

Namun begitu, penyanyi yang berkunjung ke Malaysia untuk sebuah persembahan ini tidak menafikan ahli perniagaan bernama Rahul yang dimaksudkan sebagai orang ketiga itu memang pernah menaja konsertnya di Timor Leste tidak lama dulu.

Ditanya kepada KD tidakkah dia akan kembali ke pangkuan Anang tidak lama lagi, wanita cantik jelita ini hanya tersenyum menjawab soalan itu.

“Cinta saya sudah mati buat Anang buat masa ini tetapi untuk masa akan datang belum tahu lagi.

“Sekarang, kami selesa membawa haluan masing-masing. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan tidak mungkin akan mencari pengganti dalam masa terdekat ini,” kata KD ketika sidang media pelancaran albumnya, ‘Aku Wanita Biasa’.

Album yang sempat diterbitkan oleh Anang itu memuatkan dua buah lagu baru, ‘Aku Wanita Biasa’ dan ‘Jangan Biarkan Cinta, Menangis’ (duet bersama Anang).

Manakala enam buah lagu lama yang turut terkandung dalam album yang telah berada di pasaran sejak 19 Oktober lalu dengan harga RM25.90 itu adalah ‘Ku Tak Sanggup’, ‘Pilihlah Aku’, ‘Mencintaimu’, ‘Menghitung Hari’, ‘Dilanda Cinta’ dan ‘Mahadaya Cinta’. Turut dimuatkan adalah dua mtv karaoke ‘Aku Wanita Biasa’ dan ‘Dilanda Cinta’.

Anang tak jadi larang KD nyanyi lagunya

Walaupun baru-baru ini bekas suaminya, Anang menegaskan yang KD tidak dibenarkan menyanyikan lagu-lagu ciptaannya lagi, sebaliknya berlainan pula dengan kenyataan KD semalam.

Menurut KD, produser dan komposer Octav Panggabean telah pun berjumpa dengan Anang untuk bertanyakan tentang hal itu.

“Octav memberitahu yang Anang tiada masalah untuk mencipta lagu untuk saya. Octav menjamin saya akan dapat menyanyi dengan baik sekiranya Anang tidak dapat memberikan kerjasama.

“Saya pula yang berat hati untuk menyanyikan lagu yang ditetapkan.

“Saya memikul tanggungjawab ini dengan profesional. Saya fikir mungkin waktu itu (melarang menyanyikan lagunya) dia marah dan beremosi sedikit.

“Sebab itu saya mengambil masa dua bulan untuk berdiam diri tetapi tak bermakna saya tak buat apa-apa langsung,” ujarnya.

Kata KD, dalam masa dia membisu daripada media, dia banyak menghabiskan masa menonton filem dan bukannya meratap hiba dengan keputusan yang dilakukannya.

Malah dia juga mematikan telefon bimbitnya dalam tempoh itu sehingga terdapat segelintir rakan media dan peminat yang ‘memulaunya’.

KD akui dia menghormati apa yang berlaku dan sedaya upaya mungkin akan cuba memikat hati peminatnya dan media dengan melakukan perkara yang lebih baik pada masa akan datang.

“Saya akan cuba lakukan sesuatu untuk menghilangkan dendam dan kemarahan orang ramai selepas ini. Semua itu perlukan waktu..,” tutur KD.

Dalam masa yang sama dia meluahkan perasaan sedihnya dengan berita sebelah pihak dan gosip yang dihebahkan oleh media di Jakarta.

“Saya trauma dan tertekan bila menghadiri majlis sidang media seolah-olah saya menghadiri persidangan rasuah yang besar,” ujarnya lagi.

Selepas penceraian mereka, Anang diberikan hak penjagaan dua orang anak mereka, Titania Aurelie, 11, dan Azriel Akbar, 9, dan KD tetap mendapat hak untuk menemui dua buah hatinya itu pada setiap hari minggu, tapi dengan syarat perlu dapat kebenaran Anang.

KD juga dibenarkan berkomunikasi dengan Aurelle dan Azriel melalui telefon bimbit.

KD dicaci anak-anak

Namun begitu, KD memberitahu bukan sahaja segala surat dan SMS yang dihantarnya tidak dibalas, malah anak-anaknya juga telah mencaci dan memulangkan segala barang yang diberikan kepada mereka.

KD percaya bahawa ada pihak lain yang cuba meracuni dan menghalang dia untuk berbaik dengan anak-anaknya.

“Saya doakan semoga Tuhan lembutkan hati mereka untuk menerima saya. Anak saya, Azriel begitu rapat dengan saya..

“Tetapi saya tak salahkan mereka kerana timbulnya ketidakadilan dan saya juga tidak mahu tambah konflik lagi,” beritahunya lagi yang masih menyesuaikan diri untuk bergelar ‘janda’.

Bagi KD, tiada apa yang harus dikesalkan dan menggembirakan hatinya dengan penceraian yang berlaku sebaliknya dia menerima semua itu sebagai satu suratan takdir Allah.

“Saya tetap akan berjuang dan harus bersyukur kerana hanya Allah yang berikan segala-galanya.

“Kenapa saya perlu rasa sakit hati dengan mereka dan tidak banyak orang yang memilih untuk berdiam diri,” akhirinya yang telah mempunyai lima buah lagu untuk album duetnya dengan penyanyi Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza.

Sebanyak lapan buah lagu yang akan dimuatkan dalam album yang dijangka keluar pada Januari tahun depan.

Semalam, KD juga telah mengadakan showcase amal untuk mangsa gempa bumi Padang di Borneo Baruk Club, Jalan Kia Peng dengan tiket berharga RM50.

Seramai 450 orang yang hadir di ‘showcase’ anjuran Tropic Jaya Entertainment dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI), Garuda Indonesia dan Borneo Baruk Club

Siti Nurhaliza yang turut hadir ke ‘showcase’ itu turut diundang menyanyikan dua buah lagu iaitu ‘Penasaran’ dan ‘Kopi Dangdut’.

Artikel Berikut

Artikel Lain