suria

Fasha: Tak jadi dengan Qabil, ramai nak saya kahwin dengan Rizal..

Wajah terbaru Fasha di pelancaran mini drama 'Spa Qistina' semalam di Lot 10, Bukit Bintang. -foto The Star oleh AZMAN GHANI
Wajah terbaru Fasha di pelancaran mini drama 'Spa Qistina' semalam di Lot 10, Bukit Bintang. -foto The Star oleh AZMAN GHANI
Wajah terbaru Fasha di pelancaran mini drama 'Spa Qistina' semalam di Lot 10, Bukit Bintang. -foto The Star oleh AZMAN GHANI

KISAH putus cinta dan tak jadi kahwin antara Fasha Sandha dengan ekuin negara, Qabil Ambak masih menjadi isu hangat industri hiburan tempatan.

Manakan tidak, belum pun ada apa-apa kenyataan yang dikeluarkan oleh Qabil, pelakon cantik itu sudah memaklumkan untuk mengumumkan tarikh perkahwinannya pada September lalu dan memberikan 'hint' yang bakal suaminya adalah seorang ekuin negara.

Namun, apabila tiba bulan September hingga ke hujung bulan itu, gadis berusia 25 tahun itu tetap membisu.

Hinggalah baru-baru ini Qabil mengaku yang dia tidak jadi berkahwin dengan pelakon filem 'Anak Halal', '9 September' dan 'Evolusi KL Drift'.

Bagi Qabil, dia berasa lega apabila dapat mengumumkan perkara itu.

Sementara Fasha pula berkata dia tabah dan menerima dengan ikhlas keputusan bekas kekasihnya itu.

“Pada saya, putus cinta dengan Qabil bukannya dugaan besar dalam hidup saya kerana ada dugaan yang lebih pahit daripada ini. Dugaan apa, tak payahlah saya beritahu.

“Saya nak buat macamana, semua yang dirancang tidak menjadi kenyataan. Tetapi dalam hidup, kalau 'plan' A tak jadi, saya boleh pilih 'plan' B.

“Sebelum ini, 'plan' A saya nak kahwin dan selepas itu akan bersara dalam dunia lakonan manakala 'plan' B saya pula untuk meneruskan karier lakonan ini sampai datang jodoh.

“Tak mengapa, saya terima semua ini dengan positif dan langsung tidak patah semangat atau sedih,” ujarnya yang seringkali tersenyum semasa menjawab pertanyaan media tentang keadaannya sekarang.

Selain Qabil, Fasha mengaku dia berkawan dengan bekas suami Nora Danish, Rizal Ashram dan selepas dia putus cinta dan tak jadi berkahwin dengan Qabil, Rizal masih menjadi teman rapatnya.

Ditanya tidakkah dia mahu menerima Rizal memandangkan lelaki itu juga dimaklumkan oleh Fasha dalam MySpace, pernah melamarnya sebelum ini.

“Walaupun saya tak jadi dengan Qabil, saya tidak akan berkahwin dengan Rizal kerana kami hanya berkawan.

“Selepas saya putus dengan Qabil, ramai juga yang nak saya berkahwin dengan Rizal tetapi saya tak nak sebab saya tak fikir tentang jodoh lagi setakat ini sebaliknya mahu tumpukan kepada karier,” jelasnya lagi.

Menyentuh tentang buletin di dalam MySpacenya yang bertajuk ‘luahan hatiku’, Fasha mengaku kenyataan tentang dia pernah dilamar sebanyak empat kali termasuk Rizal dan pengacara Ally Iskandar adalah benar belaka.

Menurut Fasha, buletin itu ditulis oleh orang yang paling rapat dengannya dalam keluarganya dan mengetahui semua cerita tentangnya.

“Selepas saya membaca buletin itu, saya menangis sebak dan apabila ramai yang tahu tentang buletin itu, terus saya ‘remove’ dari MySpace saya.

“Saya tak marah kerana perkara itu memang benar. Mungkin sebab sebelum ini saya tak mengaku tetapi saya tak pernah berniat untuk menipu langsung,” jawabnya yang turut memaklumkan yang dia sudah lama tidak menghubungi Ally tetapi apabila Hari Raya pasti dia akan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) Raya kepada lelaki itu.

Fasha dan Nora sudah bertegur sapa?

Kisah kedua yang turut menimbulkan kontroversi dalam industri ini apabila Fasha dikhabarkan bergaduh dengan aktres Nora Danish kerana Rizal.

Malah Fasha juga didakwa menjadi punca penceraian Nora dengan Rizal.

Namun mungkinkah mereka telah berbaik semula memandangkan mereka juga akan bergandingan buat kali pertamanya menerusi drama popular, ‘Spa Qistina’ (yang dahulunya dikenali sebagai Spa Q di TV3) selepas kontroversi itu berlalu lebih setahun lalu.

Fasha memegang watak Frieda manakala Nora memegang watak Maya dan mereka akan ditemukan sekali dalam babak drama 13 episod terbitan Global Station Sdn Bhd itu.

“Saya memang diberitahu oleh Global Station yang saya akan mempunyai babak dengan Nora tetapi saya bersetuju dan serahkan hal itu kepada produksi.

“Saya tak kisah dan terima arahan mereka. Saya dimaklumkan yang Nora juga lebih bersikap profesional untuk berlakon drama ini.

“Jadi, kami memang tiada masalah untuk berlakon sekali kerana dia juga sudah menegur saya semasa kami terserempak di KLCC baru-baru ini,” beritahu Fasha yang menerima watak Frieda kerana watak antagonis (jahat) itu mempunyai keistimewaannya.

Tambah anak jati Pulau Pinang ini, dia selalunya diberikan watak protagonis (baik) dalam apabila mendapat tawaran itu, terus dia menerimanya.

“Watak Frieda ini memang betul-betul antagonis kerana dia yang membuatkan keluarga Qistina hancur.

“Saya sudah memulakan pengambaran drama ini dan masuk hari ini (semalam) sudah empat hari saya berlakon. Jadual lakonan dalam ‘Spa Qistina’ ini memang padat sebab untuk satu hari, kami perlu melakonkan 20 hingga 25 babak. Biasanya produksi akan buat dalam tujuh hingga lapan babak sahaja.

“Pengarah Zul Arshad seorang yang pakar dalam bidang pengarahan dan saya suka bekerja dengan pengarah yang membuat ‘homework’,” tutur Fasha yang turut berpuas hati dengan penerimaan peminat terhadapnya.

Duta Garnier selama empat tahun berturut-turut ini berkata drama lakonannya seperti ‘Kontrak Cinta’ dan telefilem ‘Akulah Perempuan itu’ di TV3 mendapat rating yang tinggi setelah disiarkan sebelum ini.

“Saya bersyukur kerana masih diterima peminat. Mereka masih menonton drama-drama saya..,” kata Fasha yang turut gembira dengan pencalonan drama ‘Sama Tapi Tak Serupa’ yang dilakonkannya di Anugerah Skrin tahun ini.

Selain Spa Qistina, Fasha juga akan berlakon drama ‘Jangan Bunuh Matahariku’ terbitan Global Station dan menantikan kemunculan filem ‘4 Madu’ arahan Prof Razak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain