suria

Sharifah Sofia bakal bergelar isteri 18 Oktober ini

Sharifah Sofia bakal berkahwin dengan kekasih hati, Syed Ismail Syed Al-Ali, di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta pada 18 Oktober ini. -Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Sharifah Sofia bakal berkahwin dengan kekasih hati, Syed Ismail Syed Al-Ali, di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta pada 18 Oktober ini. -Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT
Sharifah Sofia bakal berkahwin dengan kekasih hati, Syed Ismail Syed Al-Ali, di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta pada 18 Oktober ini. -Foto THE STAR oleh SHAARI CHE MAT

WAJAHNYA kelihatan cukup berseri-seri apabila menceritakan tentang persiapan untuk majlis pernikahannya dengan kekasih hati, Syed Ismail Syed Al-Ali, 31, yang akan berlangsung pada 18 Oktober ini di Masjid Wilayah Persekutuan Jalan Duta.

Akui Sharifah Sofia, dia amat teruja untuk melepaskan status 'bujang' dan bergelar isteri serta bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar setelah mendirikan rumahtangga nanti.

"Sejujurnya, saya memang tidak sabar untuk menjadi seorang isteri. Malah, sekarang ini pun saya sering berfikir apa yang akan saya lakukan sebagai isteri kelak. Seronok sebenarnya dapat menjadi isteri pada usia muda.

"Dan andai kata dikurniakan rezeki dengan cahaya mata kelak pasti lebih seronok kerana dapatlah saya memegang gelaran 'ibu muda'," ujar pelakon berusia 24 tahun ini ketika ditemui pada majlis ramah-mesra bersama barisan pelakon siri sitkom Simpang Tiga di Sri Pentas, semalam.

Menurut Sofia, ketika ini persiapan sedang rancak berjalan apatah lagi hari bersejarahnya itu tinggal lebih kurang seminggu saja lagi untuk berlangsung. Pada majlis akad nikah itu nanti, Sofia akan menerima tujuh buah dulang hantaran berbalas sembilan, manakala wang hantarannya pula masih belum ditetapkan.

Majlis resepsi yang berkonsepkan melayu kontemporari pula akan menyusul seminggu selepas pernikahan dan akan diadakan secara tertutup untuk keluarga dan rakan-rakan kedua-dua belah pihak di Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

Mengimbas detik perkenalannya dengan jejaka kacukan Jordan-Melayu itu, kata SOfia, mereka sebenarnya sudah lama mengenali sejak zaman persekolahan lagi kerana ahli perniagaan itu merupakan kawan kepada kakaknya pada ketika itu.

Namun, pertemuan semula dengan Syed kira-kira dua tahun lalu di sebuah majlis akhirnya telah membuahkan bibit-bibit cinta di antara mereka.

"Ketika pertama kali berkenalan, saya baru berusia 12 tahun. Kami tidak pernah berhubungan lagi sejak dia melanjutkan pelajaran selama enam tahun di Australia.

"Tetapi kira-kira dua tahun lalu, kami bertemu semula di dalam sebuah majlis. Yang kelakarnya ketika itu, saya sebenarnya suka pada kawannya.

"Tetapi selepas itu, dia (Syed) pula yang mengajak saya keluar makan lah...dari situlah kami kemudiannya jadi semakin rapat dan mula menjalinkan hubungan yang serius," katanya yang menambah, majlis merisik dan bertunang telah diadakan pada bulan Mac lalu.

Ujar Sofia lagi, dia tidak menafikan, pada awal hubungan mereka, kekasihnya itu merupakan seorang yang agak cemburu memandangkan kariernya sebagai artis yang mempunyai ramai peminat. Namun, kata Sofia, lama-kelamaan jejaka itu sudah mula memahami kariernya.

"Sekarang ini dia sangat 'cool'. Adakalanya dia yang akan tolong ambilkan gambar jika ada orang yang ingin bergambar dengan saya bila bertemu di luar. Malah, selepas berkahwin nanti, saya akan tetap meneruskan karier lakonan saya seperti biasa," katanya yang akan mengenakan baju rekaan Amir Luqman pada hari bersejarahnya itu nanti.

Ditanya destinasi bulan madu mereka selamat berkahwin nanti, tutur Sofia, dia dan kekasihya itu sudah merancang untuk berbulan madu di Maldives dan Switzerland.

"Tetapi kami belum putuskan lagi bila akan pergi ke sana. Masing-masing agak sibuk dengan urusan sendiri, jadi kena pilih masa yang sesuai untuk pergi berbulan madu," kata pelakon yang akan muncul di dalam filem Pisau Cukur tidak lama lagi.

Artikel Lain