suria

Kes pukul bekas isteri tidak gugat perkahwinan Noniswara dan suami

Resepsi perkahwinan Noniswara dan Datuk Rosman di Hotel Berjaya pada 1 Ogos lalu. -Foto THE STAR oleh KEVIN TAN
Resepsi perkahwinan Noniswara dan Datuk Rosman di Hotel Berjaya pada 1 Ogos lalu. -Foto THE STAR oleh KEVIN TAN
Resepsi perkahwinan Noniswara dan Datuk Rosman di Hotel Berjaya pada 1 Ogos lalu. -Foto THE STAR oleh KEVIN TAN

BAGI aktres jelita ini, dia melihat suaminya Datuk Rosman Ridzwan adalah seorang yang lemah-lembut, sangat toleransi dan bukan jenis orang yang lekas panas baran.

Lantaran itu, biarpun suaminya baru-baru ini terbabit di dalam kes memukul bekas isterinya, Azura Ibrahim, empat tahun lalu, Noniswara Baharudin tetap mempercayai bahawa suaminya bukanlah seorang 'kaki pukul'.

"Walaupun abang (Rosman) tidak bersalah, abang tetap mengaku bersalah demi menutup kes itu dengan cepat. Abang tak nak memanjangkan kes lagi.

"Saya tahu orangnya lemah-lembut, sangat toleran dan bukan jenis orang yang panas baran," akui Noniswara ketika ditemui pada majlis rumah terbuka SuriaFM di Hotel Concorde Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selebriti itu ditanya mengenai reaksinya berhubung pengakuan bersalah Rosman memukul bekas isterinya itu.

Berikutan itu, Rosman didenda RM700 oleh Mahkamah Majistret. Bagaimanapun, kes tersebut sedikit-sebanyak mencemarkan imej baik Pengerusi U! Mobile itu yang baru sahaja mendirikan rumah tangga dengan Noniswara pada Julai lalu.

Pun begitu, keputusan kes mahkamah tersebut tidak mengganggu-gugat mahligai hidup yang dibina dengan Noniswara.

"Ia memang asam garam kehidupan berumah-tangga malah ini telah menguatkan lagi kasih sayang. Abang memang orang yang baik," kata Noniswara.

Ditanya tentang kehidupannya selepas berkahwin dengan Rosman, Noniswara memberitahu dia kini kena mengagihkan masa antara suami, anak-anak dan kerjaya dengan baik.

Aktres tempatan yang berusia 39 tahun ini mempunyai tiga anak hasil perkahwinan terdahulu manakala Rosman yang bercerai setahun yang lalu mempunyai lima anak hasil perkongsian hidup dengan bekas isterinya.

"Alhamdulillah, Abang Rosman agak 'sporting' dan dia terus bagi saya berlakon.

"Abang sentiasa memberikan sokongan padu agar saya meneruskan karier saya sebagai pelakon," ujar Noniswara yang merancang untuk memiliki cahaya mata tahun depan.

Mengenai kerjaya lakonannya, Noniswara memberitahu, dia baru habis terlibat dengan penggambaran drama bersiri 'Sarimaya' pada bulan Ramadan lalu.

"Selepas ini, saya akan memulakan penggambaran drama bersiri 'Cinta Tikar Sejadah' pada 8 Oktober ini," katanya sambil menambah drama sebanyak 13 episod terbitan Metrowealth dan arahan Hans Isaac itu bakal bersiaran di Astro Oasis.

Artikel Lain