suria

Melly Goeslaw-Amee 'duet of the year' Indonesia menerusi 'Ketika Cinta Bertasbih'

FILEM terbaru dari Indonesia, 'Ketika Cinta Bertasbih', merupakan sebuah filem berunsur dakwah yang dihasilkan berdasarkan dari novel karya Habiburrahman El Shirazy, seorang novelis terkenal yang pernah menghasilkan novel 'Ayat-Ayat Cinta'.

Selepas terjual sebanyak lebih 1 juta naskah di pasaran, 'Ketika Cinta Bertasbih' diadaptasikan ke layar perak oleh SinemArt, yang turut terkenal di dalam menerbitkan beberapa sinetron terkenal.

Pada dasarnya, filem ini berdasarkan kisah seorang pemuda bernama Azzam yang menuntut di sebuah universiti di Kaherah, Mesir, dan apa yang berlaku di sekitar hidupnya bersama rakannya Furqan dan Fadil.

Filem ini diarahkan oleh Chaerul Umam dan dibintangi oleh pelakon-pelakon muda seperti Kholidi Asadil Alam, Alice Norin, Oki Setiana Dewi, Andi Arsyil rahman dan ramai lagi.

Bagi memantapkan lagi nuansa filem ini, pasangan hebat Melly Goeslaw and Anto Hoed sekali lagi telah diberi tanggungjawab untuk menerbitkan album runut bunyi sebuah filem.

Kali ini, Melly diberi peluang untuk bekerjasama dengan komposer baru dari Bandung bernama Aden yang telah mencipta melodi lagu tema “Ketika Cinta Bertasbih”, sementara Melly sendiri telah menulis lirik lagunya.

Bagi memantapkan lagi persembahan lagu 'Ketika Cinta Bertasbih' ini, Melly telah mendapatkan khidmat vokal sokongan Amee, yang merupakan rakan duet Melly terbaru selepas Ari Lasso, BBB dan Kris Dayanti.

Hasil duet mereka sangat mengagumkan, apabila suara unik dan ekspresif Melly diadunkan dengan vokal yang tenang dari Amee, sekaligus menghasilkan apa yang dikatakan sebagai 'duet of the year' di Indonesia.

Selain itu, Melly Goeslaw turut merakamkan sebuah lagu solo berjudul 'Ya Habibi'.

Selain Melly dan Amee, album runut bunyi ini turut diserikan oleh penyanyi muda Ayushita yang mengalunkan lagu 'Tuhan Beri Aku Cinta'.

Paling istimewa, diva kontroversi Indonesia Krisdayanti tampil dengan lagu 'Menanti Cinta', yang turut dipersembahkan di dalam bentuk skor.

Turut disertakan ialah skor instrumental yang dicipta oleh Aksan Syuman.

Album ini sudah berada di pasaran Indonesia sejak Mei lalu, kini menjengah ke pasaran Malaysia di bawah edaran Warner Music Malaysia.

Artikel Lain