suria

Faizal, Audi Mok, Nur Fatima menang pertandingan lagu 1Malaysia

Pemenang pencarian lagu 1 Malaysia meraikan kejayaan mereka selepas menerima hadiah wang tunai RM25,000 yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya, semalam. (Dari kiri) pencipta lagu Audi Mok penyanyi Faizal Tahir dan penulis lirik Nur Fatima Abd Wahab.

PUTRAJAYA: Lagu 'Malaysia Satu', yang dinyanyikan oleh Faizal Tahir, hasil gubahan Audi Mok dengan lirik oleh Nur Fatima, semalam diumumkan sebagai pemenang Pertandingan Lagu 1Malaysia Kita.

Mok memberitahu pemberita di sini, lagu itu diilhamkan daripada konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Apabila kami mendapat tahu mengenai pertandingan ini, kami memutuskan untuk menjadikannya satu kenyataan. Iramanya lebih rancak dan kami mahu menjadikan lagu ini lebih moden dan boleh didendangkan di manamana saja, bukannya kedengaran seperti sebuah lagu patriotik tradisional," katanya.

Faizal juga kelihatan gembira semasa mendendangkan lagu itu di hadapan penonton termasuk Najib, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Nur Fatima berkata beliau mahu lagu itu menggambarkan sumbangannya kepada penduduk negara ini.

"Saya merasakan ia sebagai tugas saya dan sebagai seorang rakyat Malaysia, menjadi tanggungjawab saya untuk menulis sesuatu yang dapat mencerminkan masyarakat Malaysia, budaya kita, sumbangan kita dan sebagainya," katanya.

Najib ketika mengumumkan pemenang pertandingan itu, turut menyampaikan cek berjumlah RM25,000 dan ketika berucap, beliau berharap lagu itu akan menjadi inspirasi untuk menghayati makna dan maksud 1Malaysia.

"Satu Malaysia bermatlamat menjurus ke arah perpaduan dan keharmonian untuk melonjakkan negara kita menjadi negara yang hebat dan berjaya di mana ia berasaskan Satu Impian, Satu Harapan, Satu Bangsa, Satu Negara, Satu Malaysia," katanya.

Najib berkata lagu itu juga lebih mesra rakyat memandangkan proses untuk memilih pemenangnya terletak di tangan orang ramai yang mengundi lagu pilihan mereka dalam kalangan 10 lagu yang berjaya ke peringkat akhir menerusi laman web rasmi 1Malaysia dan HOT FM.

"Cara kita pilih merupakan satu cara baru dan bukan konvensional, maknanya kita nak lagu ini sesuai dengan tagline kita 1Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan supaya ia lahir dan terbit daripada hati nurani rakyat sendiri.

"Rakyat mencipta lagu itu, rakyat ilhamkan seni kata, rakyat dendangkan lagu itu dan media medium untuk penyiaran lagu itu dan akhir sekali rakyat yang tentukan lagu kegemaran mereka," kata Najib.

Sementara itu pada sidang media kemudian, Najib berkata beliau menghormati pilihan rakyat yang memilih lagu yang berirama rancak dan bersemangat membuatkan iramanya sesuai dengan cita rasa golongan muda.

Beliau berkata lagu itu juga sesuai untuk diperdengarkan di peringkat antarabangsa tetapi memerlukan sedikit pengubahsuaian memandangkan iramanya agak tinggi yang tidak semua orang mampu menyanyikannya.

"Lagu itu juga akan dinyanyikan bersama-sama lagu keluaran RTM untuk acara rasmi," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain