suria

Lydiawati tidak hadir failkan kes hina mahkamah terhadap bekas suami

Peguam Lydiawati, Norazmi Mohd. Arif ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. -foto MSTAR
Peguam Lydiawati, Norazmi Mohd. Arif ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. -foto MSTAR
Peguam Lydiawati, Norazmi Mohd. Arif ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam. -foto MSTAR

SHAH ALAM: Aktres Lydiawati gagal tampil di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam di sini untuk menfailkan kes menghina mahkamah terhadap bekas suaminya, Datuk Azhar Mohd. Zar.

Pada 5 Mei lalu, Azhar melafazkan cerai talak satu terhadap Lydiawati di hadapan Hakim Syarie, Mohamad Fauzi Ismail di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat pada pukul 11.47 pagi.

Bekas suami pelakon itu diperintah Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat supaya memulangkan semula semua barang perkakas perkahwinan bernilai RM67,000 serta membayar nafkah edah, mutaah dan tunggakan nafkah berjumlah RM36,000.

Bagaimanapun, difahamkan Azhar masih belum menurut arahan mahkamah tersebut sehingga hari ini.

Menurut peguam Lydiawati, Norazmi Mohd. Arif, dia tidak boleh mewakili anak guamnya (Lydiawati) memfailkan kes tersebut dan dia tidak tahu punca ketidakhadirannya.

"Kes tidak boleh difailkan kerana anak guam saya (Lydiawati) belum dapat menandatangani affidavit kerana dia tidak dapat datang. "Bila tarikh yang sesuai terpulang kepada Lydiawati sendiri," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Affidavit itu, jelas Norazmi ialah keterangan bertulis untuk membolehkan permohonan pemfailan kes menghina mahkamah oleh Lydiawati dibuat terhadap bekas suaminya, Azhar.

Pada 19 Mac lalu, Azhar (plaintif) memfailkan permohonan kebenaran untuk cerai terhadap isterinya, Lydiawati mengikut Seksyen 47 Enakmen Keluarga Islam Selangor 2003 di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat, Banting.

Defendan, Lydiawati bersetuju kerana dikatakan tidak tahan dengan sikap dan layanan serta nafkah yang tidak mencukupi oleh plaintif.

Pada 1 April lalu, Lydiawati memohon kebenaran bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat, Banting.

Bagaimanapun peguam syarie Zulkifli Yong yang mewakili Lydiawati memberitahu mahkamah perlu terlebih dahulu memutuskan dakwaan lafaz cerai daripada Azhar di luar mahkamah pada awal Februari lalu.

"Ini berlaku selepas plaintif (Azhar) dikatakan menuntut kembali wang mas kahwin serta cincin perkahwinan daripada defendan (Lydiawati)," kata Zulkifli.

Menurut Zulkifli lagi, anak guamnya mendakwa berbangkit perkataan berbentuk lafaz cerai yang tidak dapat dipastikan sama ada ia berbentuk kinayah atau sorih.

Lafaz cerai berbentuk kinayah ialah lafaz cerai yang memerlukan pengesahan niat sementara lafaz cerai sorih merujuk kepada lafaz cerai yang menggunakan perkataan yang jelas.

Lafaz tersebut perlu ditentukan menurut Zulkifli, bagi mengelakkan jatuh talak kali kedua.

Justeru, Hakim Syarie Muhammad Fauzi Ismail menetapkan 30 April lalu untuk sebutan semula. Bagaimanapun kes pengesahan lafaz cerai itu terpaksa ditunda lagi iaitu ke 5 Mei.

Pada 5 Mei lalu, Azhar melafazkan cerai talak satu terhadap Lydiawati di hadapan Hakim Syarie, Mohamad Fauzi Ismail di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Langat pada pukul 11.47 pagi.

Azhar, 35, dan Lydiawati, 43, atau Salina Zaimon berkahwin pada Ogos tahun lalu dan bercerai ekoran tidak wujud kesefahaman antara mereka.

Perintah bayaran sejumlah RM103,000 yang perlu dibuat Azhar itu adalah perjanjian bersama pasangan itu.

Bagaimanapun, difahamkan Azhar masih belum menurut arahan mahkamah tersebut sehingga ke hari ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain