suria

FFM22 buat Heliza 'seram sejuk'

Heliza
Heliza
Heliza

KETIKA pertama kali berada di lokasi penggambaran filem Syurga Cinta tidak lama dulu, Nur Heliza Helmi atau nama sebenarnya Heliza akui cukup sukar untuk dirinya cuba menghayati watak Cikgu Syuhadah yang perlu banyak bermain dengan emosi itu.

Namun, usaha yang diletakkannya di dalam filem arahan Ahmad Idham itu nyata membuahkan hasil apabila lakonan sulung Heliza itu berjaya mendapat tempat di hati juri-juri profesional untuk mencalonkannya sebagai finalis bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik dan Pelakon Harapan Wanita Terbaik sempena Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) yang akan berlangsung di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 8 Ogos ini.

Sejujurnya, menurut gadis berusia 23 tahun, dia sama sekali tidak menyangka akan turut disenaraikan bersama pelakon-pelakon hebat lain, apatah lagi bila mengenangkan dirinya yang masih mentah dalam bidang lakonan.

Malah, ketika dihubungi oleh wakil penerbit MIG yang menyampaikan berita gembira itu, kata Heliza, dia hanya tergamam bila mendapat tahu dirinya merupakan finalis bagi dua kategori tersebut.

"Seram sejuk saya dibuatnya bila dikhabarkan berita tersebut. Lihatlah pelakon-pelakon lain yang tercalon dalam kategori yang sama, memang 'jauh' jika ingin meletakkan saya sebaris dengan mereka.

"Bagi saya, masih banyak perkara yang perlu saya pelajari dalam bidang lakonan ini. Bukan kerana setelah tercalon baru saya terfikir untuk perbaiki 'skill' lakonan, tetapi memang sudah lama saya ingin dalami lagi bidang ini," kata bekas peserta Akademi Fantasia musim kelima ini dalam nada ceria.

Selain Heliza, heronya di dalam filem itu, Awal Ashaari juga tercalon untuk kategori Pelakon Lelaki Terbaik manakala pelakon cilik filem itu, Mohd Hadziq juga telah dicalonkan bagi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik.

Filem ini mengetengahkan sedikit unsur keagamaan di dalam sebuah kisah cinta remaja masa kini.

Syurga Cinta cuba mengupas kehidupan dua Melayu Islam dengan dua akidah atau pegangan yang jauh berbeza. Seorangnya mengagungkan gaya hidup barat dan seorang lagi yang masih teguh mempertahan keimanan kepada Islam dan nilai-nilai ketimuran.

Ia mengisahkan Irham (Awal Ashaari), berusia lewat 20-an anak kepada pasangan Tan Sri Zakaria dan Pn Sri Mahani telah membesar di luar negara sejak berumur 12 tahun lagi. Kerana terlalu lama di luar negara, cara dan gaya hidupnya tidak ubah seperti orang barat.

Sekembalinya ke Malaysia, Irham telah bertemu dengan rakan-rakan lamanya ketika belajar di luar negara iaitu Zainal dan Alex yang sangat mengenali hati budi Irham.

Irham sememangnya seorang lelaki yang handal memikat gadis yang diinginkannya. Alex dan Zainal mencabar Irham memikat gadis bertudung, Syuhadah kerana mereka tahu Irham tidak menyukai gadis sebegini.

Menurut Heliza lagi, pencalonan yang diterimanya itu sedikit-sebanyak turut membakar semangatnya untuk terus mencuba nasib di dalam bidang lakonan ini.

"Sewaktu Syurga Cinta ditayangkan dulu, ada juga yang mengkritik lakonan saya. Saya tidak kisah dengan kritikan yang saya dapat kerana memang dari awal lagi saya sudah bersedia dengan semua itu.

"Tapi semua itu tidak buatkan saya serik untuk berlakon lagi. Seboleh mungkin, saya berharap agar terus mendapat peluang dalam bidang ini...mungkin untuk watak komedi pula.

"Namun, biarpun sudah seronok dengan bidang ini, saya tidak akan sesekali melupakan bidang nyanyian. Itu adalah minat utama saya sehingga hari ini," tuturnya yang turut terbabit di dalam telefilem Doa Ibu yang akan disiarkan pada bulan Ramadan nanti.

Turut membintangi telefilem itu ialah Wan Maimunah dan Jehan Miskin.

Ditanya tentang perkembangan terkininya, kata Heliza, ketika ini dia masih sibuk menjalani latihan praktikal sebagai guru di Sekolah Menengah Perempuan Likas, Kota Kinabalu, Sabah selama tiga bulan.

"Sudah dua bulan saya mengajar di sekolah ini. Sudah rasa semakin seronok, malah kalau boleh, tak nak tinggalkan sekolah ini.

"Pada awal dulu, gementar juga nak mengajar. Tapi saya masih ingat lagi pada hari pertama saya jejakkan kaki di sekolah itu, pelajar-pelajarnya memanggil saya Cikgu Syuhadah.

"Tapi pengalaman yang saya dapat ni memang seronok. Walaupun saya mengajar subjek biologi dan sains, tetapi saya masukkan elemen nyanyian, terutamanya untuk formula-formula sains. Mudah sikit untuk mereka menghafal," ujar penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Biologi dan Kimia di Universiti Malaysia Sabah ini.

Artikel Lain