suria

Eja: Saya bukan tidak mampu ada zuriat selama ini

JAUH di sudut hatinya, Siti Shahrizah Saifuddin atau Eja akui lega setelah membuat pengakuan tentang status dirinya yang sudah pun bergelar isteri sejak kira-kira 10 tahun yang lalu.

Meskipun aktres jelita ini tidak pernah mengiyakan mahupun menidakkan tentang statusnya itu sebelum ini, namun kerana memikirkan kandungannya yang sudah mencecah tujuh bulan, Eja terpaksa akur untuk menceritakan tentang rumahtangga yang dibina bersama suami, Mohd Silahuddin Jamaluddin, bagi mengelakkan sebarang fitnah terhadap anak yang dikandungnya itu.

Dan pelakon berusia 37 tahun ini melahirkan rasa bersyukur kerana pendedahan tentang status dirinya itu baru-baru ini tidak dipandang serong oleh masyarakat kerana Eja sendiri pada awalnya sudah bersedia andai kata pelbagai kritikan singgah pada dirinya gara-gara terlalu 'berahsia' tentang rumahtangganya sejak sekian lama.

"Apapun, saya tidak akan tersentuh hati jika ada pihak yang bercakap tentang perkara ini kerana saya merasakan perjalanan hidup saya ini telah ditentukan oleh Allah.

"Asalkan jangan sampai menimbulkan kontroversi pula, sudahlah. Lagipun selama ini, tidak pernah saya cakap 'no komen' andai kata ada orang bertanyakan tentang status saya...saya tidak mengesahkan atau menafikan pun.

"Saya sedar, memang sebelum ini ramai sebenarnya yang sudah tahu status sebenar saya, termasuklah pihak media. Gambar perkahwinan saya dan suami juga pernah tersebar luas di Internet.

"Tapi saya bersyukur, saya tidak berdepan dengan tekanan daripada media untuk mengetahui tentang cerita sebenar walaupun saya tahu bila-bila masa saja mereka (media) boleh menulis tentang status sebenar saya yang sudah berkahwin.

"Tetapi selama 10 tahun ini, setiap kali keluar bersama kakak ipar, saya sentiasa mengaku dia adalah kakak ipar saya apabila ada peminat bertanya ketika bertemu kami.

"Cuma peliknya, bila setiap kali keluar dengan suami, tak ada pula orang bertanyakan pada saya siapa lelaki yang berada di sisi saya itu. Mungkin juga mereka pun dah tahu itu adalah suami saya, cuma malas untuk bertanya.

"Saya hargai privasi tersebut. Ingin saya tegaskan sekali lagi, saya bukannya menyorokkan cerita sebenar, cuma tidak bercerita pada umum saja," kata Eja dalam nada ceria.

Sudah masa untuk mempunyai anak sendiri

Bercerita tentang kandungannya kini, kata Eja, dia akui tidak sabar menantikan detik bergelar ibu yang mana dia dijangka akan melahirkan anak sulungnya itu pada September ini.

"Saya rasa seronok sangat, baru rasa hidup ini lengkap. Selama 12 tahun berada dalam industri ini, saya akui saya meletakkan karier di tahap tertinggi. Sebab itu saya tidak bersedia untuk menjadi seorang ibu ketika itu.

"Bukan saya tidak mampu ada zuriat selama ini walaupun ramai yang beranggapan saya tidak ada rezeki lagi untuk ada zuriat sendiri. Saya sendiri yang sebenarnya belum bersedia.

"Saya tidak mahu hanya memegang gelaran ibu, tetapi tidak menggalaskan tanggungjawab dengan baik," kata Eja.

Menurut pelakon ini, hatinya tergerak untuk mempunyai sebuah keluarga yang lengkap sewaktu menjalani penggambaran drama Tasbih Cinta arahan Erma Fatima di Mekah tahun lalu.

"Sewaktu di Mekah dulu, saya sempat menjalani ibadah umrah. Dan ketika berada di sana, tiba-tiba saya rasa sebak dan sedih. Terdetik di hati saya untuk rasa kehidupan yang lain dan saya rasa bersedia untuk menjadi ibu.

"Mungkin sudah namanya rezeki, akhirnya setelah pulang dari bercuti di luar negara bersama suami selama tiga minggu pada akhir tahun lalu, saya disahkan hamil empat minggu pada Januari lepas.

"Memang tidak tergambar perasaan gembira saya dan suami ketika mendapat berita tentang kehamilan itu. Insya-allah, September ini saya akan bergelar seorang ibu," kata Eja yang turut mempunyai dua anak tiri, Khatijah, 17 dan Shane, 13, hasil perkahwinan pertama suaminya dulu.

Tuturnya, buat masa ini, dia hanya berehat dan tidak terlibat dalam mana-mana penggambaran kerana ingin memberi tumpuan terhadap kandungannya.

"Teruk juga alahan yang saya alami. Sebelum ini, saya memang mengalami asma (lelah), tetapi sejak mengandung, asma semakin teruk. Doktor pun agak risau dengan keadaan saya.

"Tapi nasib baik 'baby' dalam kandungan sihat. Bagi saya, mungkin ini adalah rahmat dari Allah...mungkin saya berdepan dengan kesukaran sewaktu mengandung, tapi siapa tahu jika proses bersalin kelak berjalan dengan mudah. Minta-minta begitulah," katanya yang ingin merahsiakan dulu jantina bayi itu.

Ditanya tentang perancangannya selepas ini, kata Eja, dia akan terus berehat sehingga November depan dan akan kembali ke lokasi penggambaran drama Tasbih Cinta selepas itu.

"Aktiviti seni akan bergerak seperti biasa nanti. Cuma bezanya, jika dulu saya meletakkan karier di tahap tertinggi, kali ini kena bijak bahagikan masa antara kerjaya dan keluarga," katanya.

Artikel Lain