suria

Norman KRU: Saya tak teruja nak kahwin kerana dah tua

NORMAN Abdul Halim atau lebih popular sebagai Norman KRU, 37, ternyata gembira menunggu majlis perkahwinannya yang bakal menjelang tiba tidak lama lagi, namun tidak ada perasaan teruja dalam diri Norman kerana dia menganggap dirinya sudahpun 'season' jika dibandingkan dengan pasangan pengantin lain yang lebih muda darinya.

Menurut Norman sendiri, dia seorang yang berfikiran matang, tidak seperti pasangan remaja yang terlalu teruja hendak berkahwin.

"Umur saya mungkin 37, tapi pemikiran saya seperti seorang yang berumur 47 tahun.

"Saya tak pernah lalui alam perkahwinan, lagipun saya dah tua dan berkahwin pun dengan orang tua, apa yang nak di 'excited' kan sangat. Kami ni 'rilek' dan 'cool' je," kata Norman sambil ketawa.

Norman pada awalnya telah merancang untuk bernikah secara tertutup bersama pasangan pilihannya, Dr. Shireen Hashim, 44, di Sydney, Australia pada 7 Ogos depan namun Norman terpaksa membatalkannya ekoran tidak mahu ada pihak yang berkecil hati nanti.

"Saya ni jenis orang sederhana, saya tak nak orang gembar-gemburkan majlis perkahwinan saya ni, saya tak suka. Kami hanya akan buat majlis akad nikah sahaja, tiada majlis sanding mahupun resepsi.

"Sayapun tak minat buat besar-besaran sebab seolah-olah macam kita nak bersaing dengan artis-artis lain, saya memang tak minat.

"Tapi terus-terang saya nak mintak maaf awal-awal sebab nanti tak semua orang akan saya jemput, mungkin saya hanya akan jemput kenalan-kenalan yang dekat dan pihak media sahaja," jelas Norman.

Ketika ditanya mengapa Shireen menjadi pilihan hatinya, Norman mengatakan faktor umur dan sikap Shireen yang begitu memahaminya adalah faktor utama Norman memilih Shireen.

"Shireen ni orang yang penyabar, banyak memberi sokongan pada saya malah dia begitu memahami setiap keputusan yang saya buat.

"Saya lebih banyak tumpu pada kerja saya, jadi saya tak suka perempuan yang nak saya melayan dia, bagi 'report duty' setiap jam. Saya pernah berkawan dengan gadis yang lebih muda dari saya, saya dah pernah lalui semua itu.

"Dengan Shireen saya tak perlu risau semua itu, dia seorang yang matang dan saya memang jenis yang tak suka dikongkong jadi sebab faktor umurnya jugalah saya memilih Shireen," kata Norman.

Ditanya perasaan Norman berkaitan isu artis yang berkahwin dan bercerai Norman mengatakan dia tidak takut dengan masalah penceraian kerana baginya jika tidak ada masalah yang timbul, tidak akan berlaku kes cerai.

"Saya tak takut cerai, buat apa nak takut kalau kita tak ada masalah dengan pasangan kita. Apa yang penting dalam perkahwinan ni adalah untuk mencari kebahagiaan dan ketenangan, kalau kita 'happy' bersama pasangan kita jadi tidak akan ada masalah.

"Tetapi sayapun bukan jenis yang suka kahwin-cerai, bagi saya selagi tidak ada ego dalam hubungan suami isteri mugkin tidak menjadi masalah," katanya.

Namun Norman berharap perkahwinannya nanti tidak akan menghadapi sebarang masalah dan Norman akan redha jika dia terpaksa menghadapi masalah penceraian dengan bakal isterinya.

Tambah Norman lagi, jika dimurahkan rezeki oleh Tuhan dia inginkan anak yang ramai.

"Saya memang nak anak ramai, kalau rezeki kami murah saya nak empat orang anak iaitu dua orang lelaki, dua orang perempuan.

"Tetapi saya hanya berserah pada rezeki Tuhan saja, saya terima apa jua yang diberi," ujarnya.

Majlis pernikahan pasangan Norman-Shireen ini akan dilangsungkan pada 7 Ogos 2009. Setelah membatalkan rancangan untuk bernikah di Australia, pasangan ini memilih untuk bernikah di Masjid Saidina Umar Al Khattab, Damansara Heights, Kuala Lumpur.

Majlis suai kenal antara keluarga Norman bersama keluarga Shireen pula akan diadakan secara kecil-kecilan selepas raya nanti.

Norman meminta semua peminatnya mendoakan kebahagiaan perkahwinannya nanti dan Norman turut mengucapkan terima kasih kepada pihak-pihak yang faham akan kehendaknya untuk membuat majlis perkahwinan secara sederhana.

Artikel Lain