suria

Fauziah Nawi sudah ‘penat’ berlakon, tumpu pada pengarahan

Fauziah Nawi lebih mesra dipanggil 'Ibu'.
Fauziah Nawi lebih mesra dipanggil 'Ibu'.
Fauziah Nawi lebih mesra dipanggil 'Ibu'.

MANA-MANA teater yang dianjurkan oleh Sanggar Teater Fauziah Nawi (Stefani) yang dikelolakan oleh aktivis teater dan pelakon Fauziah Nawi pastinya jarang menggunakan selebriti atau bintang terkenal.

Jika tidak silap hanya beberapa teater yang menggunakan khidmat artis yang dikenali dalam industri hiburan tanah air seperti teater ‘Lorong Blues’ pada tahun 2007 yang menampilkan alumni Akademi Fantasia (AF) dan terbaru, ‘Mahsuri’.

Teater yang dipentaskan di Istana Budaya itu menampilkan pelakon terkenal seperti Vanida Imran, Azizah Mahzan dan Cico Harahap manakala selebihnya adalah pelakon teater sendiri.

Mulai 24 Julai hingga 7 Ogos depan, pelakon dan pengarah teater ini sekali lagi bakal mengarahkan teater ‘Lorong Blues 2’ buat kali keduanya di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Bercerita tentang teater ini, Fauziah berkata dia akan memberikan sedikit perubahan dari segi para pelakon dan penghayatan mereka.

Antara para pelakon yang akan menjayakan teater ini adalah Raja Emy Shahril Raja Ismail, Ungku Hariz Faizal, Shirene Azim, Syalizawani Ramlan, Ard Omar dan Farah Ahmad.

“Saya akan memberikan sedikit perubahan dalam teater ‘Lorong Blues 2’ kerana ia tentunya berbeza dibandingkan dengan lakonan bekas pelajar AF dulu.

“Kali ini kita menggunakan pelakon-pelakon teater dan tak panggil artis sebab tak perlu ada ‘bintang’ kerana mereka tiada masa untuk latihan,” katanya yang juga tidak akan berlakon dalam teater ini berbanding yang pertama dulu.

Fauziah yang mesra dengan gelaran ‘ibu’ ini akui dia sudah 'penat' untuk berlakon dan biarlah pelakon-pelakon di bawah Stefani yang ‘mengerah tenaga’ mereka.

“Ibu akan arahkan teater ini sekali lagi. Selain pelakon, kelainan yang ditonjolkan adalah latar set yang semestinya tidak sama berbanding dulu.

“Pembaharuan yang turut dilakukan adalah dari segi lakonan dan pemahaman skrip pelakon sekarang,” ulasnya yang tidak pernah puas dengan setiap hasil kerjanya.

Jelas Fauziah, disebabkan faktor itulah dia akan mengulang pentas teater yang pernah dipentaskan sebelum ini.

“Saya selalu akan mengulang banyak kali teater yang pernah dipentaskan sebelum ini.

“Apa salahnya, kerana apabila penonton melihat teater ini dalam masa 8 hingga 10 hari sahaja, mereka akan cepat lupa.

“Misalnya, saya pernah mementaskan teater ‘Opera Ayu Cendana’ dalam 9 hingga 10 kali iaitu kira-kira 59 malam sejak tahun 2001.

“Saya juga telah mementaskan ‘Muzikal Tok Rimau’ dan ‘Dari Bintang Ke Bintang’ sebanyak 3 kali.

“Lagipun tak salah saya pentaskan banyak kali kerana skrip teater ‘Lorong Blues’ ditulis oleh saya sendiri.

“Tiba-tiba sahaja saya nak pentaskan semula teater ini kerana apa pun yang saya buat semasa pertama kalinya mesti saya tak puas hati dan rasa ada yang tak cukup,” beritahunya.

Fauziah juga menggunakan 'formula' yang biasa digunakan oleh pelopor teater di luar negara yang selalu mengulang pentas teater yang sudah bertahun-tahun dulu ke zaman sekarang.

“Lagipun teater drama yang bertahun-tahun di London banyak kali diulang pentas oleh orang sana. Misalnya teater ‘Shakespeare’. Tapi orang di sini tak buat. Jadi sebab itu saya buat,” tuturnya.

Tambah Fauziah, biasanya apabila sesebuah teater itu diulang pentas, sukar untuk dia mengambil pelakon yang sama lagi.

Beritahu Fauziah, watak untuk teater ini hanya terhad kepada enam orang. Jadi, disebabkan itu, dia akan memberikan peluang kepada pelakon selebihnya untuk berlakon pada malam-malam seterusnya secara bertukar ganti.

‘Lorong Blues 2’ juga akan lebih menarik dengan sentuhan lagu-lagu gubahan Iryanda Mulia Irwadi. Antaranya adalah lagu ‘Lara’ yang pernah dirakamkan oleh Haziq AF4.

Teater yang dipentaskan selama satu jam ini mengisahkan pertembungan beberapa watak yang cuba melarikan diri dari kenyataan pahit kehidupan yang sememangnya penuh dengan ranjau dan duri.

Beberapa watak utama seperti Kudin, Linda, Joe, Selamat, Mak Jah, Arfah dan beberapa lagi cuba melarikan diri dari kehidupan blues yang melanda diri yang akhirnya terkepung di suatu lorong semasa melarikan diri dari serbuan anggota keselamatan.

Menurut Fauziah, setakat ini sudah 150 tiket yang terjual.

Saksikan teater ‘Lorong Blues 2’ di Stor Teater DBP, Kuala Lumpur mulai 24 Julai hingga 7 Ogos ini, pukul 9 malam.

Harga tiket berharga RM30 untuk dewasa manakala RM20 (pelajar).

Artikel Sebelum

Artikel Lain