suria

Sentuhan kreatif arkitek dan pereka fesyen dalam 'Deko Idaman'

Azhar Sulaiman (kiri) dan Faisal Ismail (kanan) semasa pelancaran program 'Deko Idaman'. -foto THE STAR oleh ART CHEN
Azhar Sulaiman (kiri) dan Faisal Ismail (kanan) semasa pelancaran program 'Deko Idaman'. -foto THE STAR oleh ART CHEN
Azhar Sulaiman (kiri) dan Faisal Ismail (kanan) semasa pelancaran program 'Deko Idaman'. -foto THE STAR oleh ART CHEN

TV3 bakal menayangkan sebuah program 'makeover' terbaru yang diberi nama 'deko idaman' yang akan menemui penonton setiap hari Ahad mulai 26 Julai 2009 pada jam 12 tengahari.

Program yang akan menyaksikan pengubahsuaian terhadap rumah kediaman ini memaparkan konsep yang berbeza dengan pendekatan yang lebih menarik.

Pengacara Melodi Faizal Ismail akan menjadi hos program ini di samping dua selebriti istimewa iaitu Azhar Sulaiman dan Syaiful Bahrim. Ini dilakukan agar program ini tampil lebih kreatif.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Azhar Sulaiman yang selama ini hanya dikenali bergiat aktif bidang lakonan sahaja tetapi dia juga merupakan seorang arkitek berpengalaman menghasilkan idea kreatif dalam hasil kerjanya.

Manakala Syaiful Bahrim pula merupakan seorang pereka fesyen yang terkenal di Malaysia malah dia juga mahir dalam bidang pereka hiasan dalaman. Kedua-dua mereka akan bergabung tenaga dan idea bagi menghasilkan hasil rekaan dalaman yang boleh menyerikan lagi kediaman mereka.

Menurut Azhar, dia cuba untuk menampilkan kelainan dengan memberi idea mengikut peredaran zaman.

"Bidang rekaan ini sentiasa bertukar mengikut peredaran zaman, jadi apa yang kita buat dalam program ini sesuatu yang praktikal.

"Bila diberi tugas, kita akan pergi ke rumah untuk menilai kriteria yang sesuai sebelum melakukan proses pengubahsuaian. Kita mengambil berat melalui minat serta selera pemilik rumah, jadi dari situlah design itu bermula.

"Paling lamapun kami mengambil masa selama tiga hari untuk menjalankan proses 'make over'," kata Azhar.

Menurut Azhar juga, bidang lakonan dan bidang rekaan set ini tidak mempunyai banyak perbezaan kerana dia telah lama melakukan kerja rekaan set sejak dari awal pembabitannya dalam bidang lakonan.

"Sebenarnya tidak ada banyak bezanya bagi saya. Sejak saya mula berlakon dalam filem 'Abang 92' saya juga turut membantu dalam rekaan set pada ketika itu, jadi tidak ada banyak bezanya dalam bidang lakonan dan rekaan set," kata pelakon yang berumur 38 tahun ini.

Azhar juga menyatakan harapannya dalam rancangan ini untuk melakukan yang terbaik.

'Deko Idaman' menampilkan 12 peserta bertuah yang bakal menyaksikan rumah mereka diubahsuai oleh Azhar dan Syaiful.

10 daripada peserta yang terlibat dalam pengubahsuaian rumah berada di Lembah Kelang, manakala dua daripada mereka berada di Johor dan Pulau Pinang.

Program setengah jam ini mendapat sokongan padu dari penaja utama, Nippon Paint Malaysia yang merupakan sebuah syarikat pengeluar cat terunggul.

Selain itu, Courts Mammoth juga turut terlibat sebagai penaja bersama. Turut menjayakan program ini sebagai rakan penaja adalah Lightmakers sebagai penaja aksesori lampu, Floor Culture penaja kemasan lantai, Eagle Carpets sebagai penaja hiasan aksesori dalaman serta Signature Kitchen selaku penaja kabinet dapur.

Program 12 episod ini diterbitkan oleh Wahyu Nursubiyakto.

Kepada mereka yang memerlukan sentuhan idea serta tip-tip untuk menjadikan kediaman rumah anda lebih menarik dan selesa, pastikan temujanji anda dengan program 'Deko Idaman'di TV3.

Artikel Lain