suria

Rita mahu Rayyan jadi ‘kawan’ kala susah, senang

Rita Rudaini Mokhtar
Rita Rudaini Mokhtar
Rita Rudaini Mokhtar

JIKA salah seorang antara keluarganya mempunyai masalah maka yang lainnya akan turut membantu dan masing-masing tidak kekok untuk berkongsi cerita.

Itulah pegangan yang diterapkan dalam keluarga aktres Rita Rudaini Mokhtar yang sebolehnya mahu diteruskan dalam keluarga barunya itu.

Rita, 33, baru sahaja menikmati kehidupan baru bersama bayi sulungnya, Airit Rayyan Rizqin yang dilahirkan pada 8 Julai lalu di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Jelas isteri kepada Aidil Zafuan Abd. Radzak ini, dia inginkan ‘permata hatinya’ itu menjadi ‘kawan’nya dikala susah mahupun senang.

“Saya nak jadikan Rayyan sebagai kawan baik saya supaya apa-apa masalah boleh beritahu dia. Kalau boleh saya tak nak ada jurang dengannya.

“Kami boleh berkongsi masalah dan bercakap sebagai seorang kawan.

“Sebelum ini, saya dah diajar dalam keluarga kerana mak saya dan keluarga dianggap seperti kawan.

“Misalnya, saya akan cerita kat mama selepas balik dari ‘dating’ tentang apa yang saya cakap dengan ‘boyfriend’ supaya anak-anak tidak akan buat apa-apa yang tidak elok di belakang kita. Saya harap macam tu,” kata pelakon popular menerusi filem ‘Mami Jarum’ ini.

Diikutkan, Rayyan telah lama berkongsi cerita dengan ibunya itu memandangkan Rita berkata dia selalu bercakap dengan kandungannya selama mengalami tekanan dan berasa sedih.

“Semasa mengandung, saya cepat susah hati dan tidak lalu makan jika merasa tertekan. Saya selalu bercakap dengan ‘baby’ dan tolong jadi kuat untuk ‘mummy’.

“Kadangkala saya takut jika kandungan gugur atau ‘baby’ meninggal akibat tekanan.

“Saya mintanya bertahan sehingga dilahirkan. Selepas itu, saya cakap terima kasih kerana membuatkan saya kuat dan dapat melahirkannya dengan mudah.

“Alhamdulillah, saya mendapat ‘baby’ yang tak menyusahkan saya,” ujarnya yang seakan-akan merindui saat mengandungkan Airit selama sembilan bulan.

Kerinduan itu menyebabkan Rita tidak sabar untuk mempunyai anak lagi dan dia mungkin akan menunggu tempoh dua tahun lagi seperti yang dinasihatkan oleh doktor.

“Memang saya teringin untuk mempunyai anak lagi. Kalau boleh saya mahukan tiga orang anak sahaja tetapi Aidil pula nak lima orang. Jika bayi kembar lagi bagus..,” jawab Rita yang turut gembira apabila mendapat bayi lelaki.

Baginya, anak lelaki sesuai untuk menjadi anak sulung kerana dia dapat menjaga adik-adiknya nanti.

“Sekarang, saya baru rasa bagaimana perasaan orang yang dapat anak sebab sebelum ni orang cakap seronok tetapi saya tak dapat gambarkan perasaan itu.

“Biasalah, bila saya yang alami sendiri, baru saya rasa perasaan seronok itu sehingga tidak terkata. Kadangkala tu saya macam tak percaya pula yang anak dalam perut ni dah keluar,” luahnya dalam nada gembira.

Tambah Rita, setelah sudah mempunyai anak sekarang, dia tidak mahu mempedulikan hal lain melainkan tumpuan kepada Rayyan.

“Lepas Rayyan lahir, saya dah cakap kat dia, lepas ni apa pun terjadi ‘mummy’ (saya) tak nak peduli apa pun..saya hanya mahu menjaga anak yang lebih penting dan baru nak mulakan hidupnya,” janjinya yang mahu menjaga Rayyan dengan sebaiknya.

Rita juga tidak kisah seandainya Rayyan mahu mengikut jejaknya dalam bidang seni atau sukan bola sepak seperti bapanya.

Selepas melahirkan Rayyan, ibu dan bapa mertuanya, Azizah Arshat, 56, dan Abd. Radzak Salleh, 59, turut menziarahi dia dan anaknya.

Ditanya tentang hubungannya dengan mertua dan keluarga Aidil sekarang, Rita bagaimanapun enggan menjawabnya.

“Saya tak nak cakap dan bercerita tentang hal itu,” tuturnya ringkas.

Sebelum ini, Rita tidak bertegur dengan keluarga Aidil kerana perkahwinan Aidil dan Rita di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 tidak mendapat restu dengan keluarga lelaki.

Di hati kecilnya, Rita hanya berharap untuk mengecapi kehidupan yang bahagia bersama anak dan suaminya.

“Saya dah tak kisah apa yang akan berlaku selepas ini kerana hati saya dah kering.

“Kasihan kat budak (Rayyan). Masa saya mengandung, saya rasa bersalah kerana memberikan tekanan emosi kepadanya.

“Apabila dia lahir, saya cakap kepadanya inilah anak ‘mummy’ yang kuat. Bila saya lihat muka dia sahaja, mesti saya akan mengalirkan air mata,” ujar Rita yang cuba mengumpul semangat untuk membesarkan anaknya selepas ini.

Menceritakan tentang wajah bayinya itu, Rita berkata sekarang ini ramai yang mengatakan Rayyan mirip wajah Aidil tetapi dalam masa yang sama dia berharap agar Rayyan mengikut wajahnya.

“Kalau dulu saya takut nak pegang bayi yang baru lahir kerana masih ‘lembik’ tapi sekarang saya dah boleh pegang semasa menyusukan Rayyan.

“Nurse juga ada mengajar tentang cara untuk mandikan bayi, cuci tali pusat dan urut perut bayi,” katanya yang telah pandai menguruskan bayi berbanding dahulu.

Sepanjang berpantang ini, Rita akan berada di rumah keluarganya di Perlis dan akan meraikan majlis cukur jambul di sana.

“Insya-Allah, kami akan membuat kenduri besar semasa majlis cukur jambul itu nanti,” ujarnya yang menganggap Rayyan adalah ‘rezeki’ yang muncul tiga bulan selepas dia dan Aidil berkahwin.

Rita juga menegaskan dia tidak akan mencari nama yang tiada makna untuk anaknya di mana nama Rayyan dipilih olehnya iaitu Airit merupakan nama gabungan Aidil dan Rita manakala Rayyan bermaksud ‘salah satu jalan ke syurga’ dan Rizqin adalah rezeki.

Artikel Lain