suria

Diana Amir belum pasti untuk terus berlakon

KAREKTOR gadis comel ini di dalam drama bersiri Impian musim pertama dulu ternyata berjaya mencuri perhatian penonton yang sering mengikuti drama yang dibawakan oleh jenama penjagaan rambut Sunsilk itu.

Tidak dinafikan, bintang muda bernama Diana Amir ini mula dikenali menerusi drama tersebut. Meskipun namanya agak 'suram' sebaik drama itu melabuhkan tirai musim pertamanya tahun lalu, namun karier seni Diana sebenarnya masih lagi bertahan.

Diana pernah akui, bapanya dulu kurang bersetuju dia menceburi bidang ini. Namun, kata Diana, perkara itu sudah dapat diatasi.

"Saya hanya dapat ambil sikit saja tawaran kerana ketika Impian tamat, saya cukup sibuk dengan pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia.

"Tawaran yang saya terima pun lebih kepada watak sampingan, termasuklah sebuah filem arahan Farid Kamil, Remp-It V3. Tetapi sekarang ini saya sudah berada di tahun akhir dan sedang menjalani praktikal di Bangsar.

"Kebetulan pula saya ditawarkan lagi memegang watak Aleeya dalam Impian musim kedua. Jadi saya ambil peluang ini walaupun adakalanya bertembung juga jadual penggambaran dengan rutin harian," kata Diana yang ditemui pada majlis pelancaran drama itu di The Curve, baru-baru ini.

Menurut pelakon berusia 23 tahun ini, dia bagaimanapun tidak terlalu mengejar tawaran, tambahan pula kata Diana, dia sendiri sebenarnya tidak pasti hala tujunya di dalam bidang seni ini.

"Sejujurnya, saya sendiri tidak tahu apa yang saya ingin fokus selepas tamat pengajian nanti...sama ada untuk terus berlakon, sambung belajar atau bekerja dalam bidang yang saya pelajari.

"Bukannya tidak minat berlakon, tetapi saya rasa saya tidak begitu selesa hidup tanpa privasi...ada orang yang suka kita dan ada yang tidak. Benda-benda macam ini pun adakalanya buatkan saya tidak tahan," kata pelakon kelahiran Birmingham, England.

Mengulas lanjut tentang wataknya di dalam Impian musim kedua, kata Diana, watak Aleeya kali ini tetap menampilkan karektor yang sama. Apa yang berbeza hanyalah dari segi kerjaya Aleeya.

"Saya amat menyukai Impian, bukan saja kerana ia adalah drama pertama lakonan saya, tetapi kerana krew dan pelakon yang banyak membantu.

"Malah, karektor Aleeya itu juga sudah saya rasakan sebati dalam diri saya," kata Diana dalam nada ceria.

Selain Diana, turut membintangi drama yang telah memulakan siarannya di TV3 semalam ialah Wardina, Esma Daniel, Kamal Adli, Nadiya Nisaa, Al-Hafiz, Junad, Azwan, Liyana Hisham dan Lufyah.

Untuk musim terbaru, Aleeya mempunyai impian baru, iaitu untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Dengan pengalamannya dalam bidang penulisan, minatnya yang mendalam serta pembelajarannya sebagai hos dalam program TV ‘Life Can’t Wait’, Aleeya membuat keputusan untuk membuka syarikatnya sendiri, ‘GangofGirls TV’ yang menghasilkan program khas untuk internet.

Bersama dengan Kay, Aleeya menerbitkan program web berinspirasi ’Tentukan Hidup Anda’ dan program ’Layar Leeya’ yang mempamerkan isu-isu dekat di hatinya, yang merangkumi isu-isu seperti kebersihan alam sekitar, sindiket peminta sedekah dan isu soal hati.

Pada masa yang sama, dia juga menghadapi pelbagai cabaran dalam aspek hubungan barunya dengan teman lelaki, Johan.

Impian mula bersiaran semalam di TV3 selama setengah jam pada pukul 11 malam.

Artikel Berikut

Artikel Lain