suria

Deja Moss-Anuar Zain kini rakan kongsi kafe kek lapis!

Deja Moss dan Anuar Zain
Deja Moss dan Anuar Zain
Deja Moss dan Anuar Zain

KALAU dulu mereka hanya rakan duet dalam lagu tapi kini gandingan penyanyi Deja Moss dan Anuar Zain adalah sebagai rakan kongsi.

Dalam diam-diam, keakraban dua sahabat ini sejak dulu lagi termeterai dalam perniagaan mengelolakan sebuah kedai kek yang bertempat di Ampang.

Di kalangan rakan-rakan artis, Deja terkenal dengan kepakarannya membuat kek lapis beraneka jenis hinggakan tidak menang tangan menerima tempahan di kala hari lebaran.

Sokongan padu dari suami tercinta, Fendy dan sahabat baiknya Anuar Zain akhirnya mencetuskan idea membuka sebuah kafe.

Menurut Deja, Anuar Zain amat menggemari kuih lapis Sarawak buatannya sejak lima tahun lalu. Malah, Anuar yang telah melontarkan idea kepadanya untuk membuka kedai kek lapis pada Mac lalu.

"Idea untuk menjalankan kafe ini datang secara spontan saja. Tiba-tiba saja Anuar mengajak saya untuk joint venture, berniaga secara serius," kata Deja yang agak 'low-profile' sejak kebelakangan ini.

Kemungkinan inspirasi membuka perniagaan datang dari rakan artis lain seperti Sharifah Zarina, yang juga menjalankan perniagaan makanan membuat Deja rasa terpanggil untuk beranikan diri dalam dunia perniagaan.

"Saya banyak dapat nasihat dari kawan-kawan artis. Mereka semua mengalakkan saya buka kafe ini. Begitu juga dengan kaum keluarga....semuanya menyokong," jelas Deja yang kedengaran begitu teruja dengan kafe barunya itu.

Apakah yang mendorong Deja menceburi bidang perniagaan? Deja memberitahu, pada awalnya dia hanya berhasrat memastikan warisan keluarga dalam membuat kek lapis tidak luput ditelan zaman.

"Mula-mula dulu, saya cuma mengambil tempahan menjual kek lapis di kalangan kawan rapat saja. Ramai pula yang ingin menempah selepas musim Raya. Anuar dan suami saya banyak beri galakan," kata penyanyi kecil molek ini.

1 Julai ini, kafe yang diberi nama 'Kafe Hadeeja Kek Lapis Segar' akan dibuka secara rasminya sementara Anuar Zain pula menjadi rakan kongsi perniagaan secara rasminya. Kafe itu akan dikendalikan MOSS AZ Sdn. Bhd.

Kek lapis Sarawak hasil tangan Deja memang banyak keistimewaannya. Sekali imbas, kek yang mempunyai lapisan nipis berwarna- berwarni itu tidak mudah dibuat. Bukan sahaja prosesnya teliti dan renyah, ianya menuntut banyak kesabaran dan memakan masa membuatnya.

Tapi di situlah kehebatan dan kepakaran penyanyi dari bumi kenyalang ini.

"Memanglah renyah buat kek lapis ni, tambah pula kalau dibuat dengan kuantiti yang banyak. Saya kena pastikan kualitinya sama setiap masa. Di situlah cabarannya...." kata penyanyi terkenal yang bernama Sharifah Hadijah Wan Mossanda ini.

Bagi pemilik suara lantang dan terkenal dengan hits nya Kau Yang Teristimewa, Tiada Kali Kedua dan Mestikah Aku Menerima Mu, bidang perniagaan hanyalah satu cabang dari sumber rezekinya. Walau bagaimana sibuk sekalipun, menyanyi tetap 'cinta pertama saya', kata Deja.

"Kalau nak tahu, apa spesialnya kek lapis Deja, kenalah datang ke 'Kafe Hadeeja Kek Lapis Segar' di Ukay Perdana, Ampang," jelas Deja lagi.

Bermacam aneka kek lapis boleh didapati di kafe ini. Tidak kurang dari hamparan 100 kek-kek lapis dari beraneka warna dan corak akan menjadi tarikan utama di kedainya yang terletak di No. 1, Jalan UP 1/2, Ukay Perdana, 68000 Ampang.

Menurut Deja, mengadunkan warna dan mereka bentuk kek lapis Sarawak bukan saja memerlukan penelitian tetapi juga penghayatan.

"Saya cuba pastikan kek-kek lapis yang dijual tersebut baru keluar dari oven untuk menjamin kesegarannya. Malah ia boleh tahan sampai enam bulan kerana saya mengguna mentega import jenama Golden Churn dari Austria.

"Saya tidak menggunakan mentega berasaskan minyak sawit kerana saya tidak ingin kompromi rasanya. Banyak bezanya bila kita guna mentega yang baik kualitinya," ujar penyanyi lagu popular Asmara ini.

Bukan saja rupa kek lapis Deja menarik, harganya juga berpatutan. Harga kek adalah daripada RM20 hingga RM150 untuk kek lapis jenis rol sehinggalah kek berskala besar (8 inci x 8 inci).

Kafe Hadeeja Kek Lapis Segar turut menyajikan makanan istimewa dari Sarawak seperti mee kolok, laksa Sarawak dan nasi lemak ikan masin untuk memenuhi pelbagai citarasa pelanggan.

"Kini saya juga menerima tempahan kek-kek berlapis untuk majlis pertunangan, perkahwinan dan keraian lain," kata Deja yang dibantu 10 pekerja yang kesemuanya didatangkan khas dari Sarawak.

Suami Deja, Fendy menerusi Moss Media Advertising kini giat melakukan kerja-kerja promosi kafe tersebut.

Kafe Hadeeja Kek Lapis Segar menerima tempahan berbentuk hamper, kek berlogo korporat dan lain-lain. Sebarang tempahan boleh dibuat di talian 03-41025217 atau 019-693 6943.

Kafe Hadeeja Kek Lapis Segar dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam setiap hari kecuali hari Isnin.

Artikel Lain