suria

Isma tiada niat langsung tiru Siti

Wajah terbaru Isma selepas keluar dari AF7. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Wajah terbaru Isma selepas keluar dari AF7. -foto mStar oleh SITI AZIRA
Wajah terbaru Isma selepas keluar dari AF7. -foto mStar oleh SITI AZIRA

SEJAK kemasukannya dalam program realiti Akademi Fantasia (AF) musim ke-7, ramai memerhatikan Ismaliza Ismail atau Isma, 30, mempunyai gaya dan lenggok nyanyian penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Tarudin.

Namun begitu, tidak pernah terlintas dalam diri ibu kepada lima orang anak ini untuk meniru sesiapa lebih-lebih lagi Siti yang sudah dianggap sebagai idolanya.

“Saya tak tahu pun yang orang cakap saya seperti Siti. Kalau orang dengar ‘single’ ‘Bisikan..Godaan’, memang jauh beza antara saya dan dia kerana saya mempunyai perbezaan sendiri.

“Sebelum ini saya tidak tahu yang saya mempunyai sedikit persamaan dengannya.

“Saya tiada niat langsung untuk meniru Siti. Orang lain pun fikir tidak mahu ada Siti yang kedua.

“Saya harap orang tidak akan bercakap tentang isu ini lagi. Dia merupakan idola saya dan saya hanya ingin mengikut seperti apa yang dicapai olehnya sekarang,” jawab Isma.

Ujar Isma, dia bukan sahaja mengagumi bakat dan pencapaian yang dimiliki oleh Siti malah akan berasa bangga sekiranya dapat membuat persembahan bersama penyanyi nombor satu negara itu.

“Jika saya dapat berada satu pentas dengannya, memang suatu impian yang menjadi nyata. Siapa yang tak nak menyanyi dengan Datuk Siti,” luah Isma yang turut meminati penyanyi evergreen seperti Datuk Yusni Hamid, Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Sharifah Aini.

Ditanya tentang karier seninya selepas bernaung di bawah Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), Isma berkata dalam masa enam bulan ini dia hanya mengikut apa yang dirancangkan.

Selain itu, isteri kepada penyanyi dan komposer Zulkifli Majid atau Zul 2 By 2 ini akan merakamkan single Bisikan...Godaan yang digubah oleh suaminya dan terlibat dalam beberapa show termasuk Konsert Reunion AF7 pada bulan depan.

Isma dan suaminya juga mempunyai perancangan untuk berduet jika berpeluang.

“Kalau ada rezeki, saya dan Abang Zul memang nak berduet sebab kami sudah ada lagu tetapi apa-apa pun kena tengok pada AESB dulu,” katanya.

Isma juga berkata tidak banyak perubahan yang berlaku dalam dirinya kerana dia sudah lama menceburi bidang nyanyian cuma tidak terdedah dengan industri seni ini.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini akan sedaya-upaya merealisasikan impiannya yang telah lama terpendam selama ini.

“Dari dulu lagi, saya memang nak jadi artis yang ada album sendiri kerana lagi senang untuk saya bergerak dalam industri ini, ada benda yang saya boleh cerita dan banyak peluang lain yang akan muncul kemudian,” ujarnya.

Demi cita-citanya, Isma sanggup meninggalkan anak-anaknya yang akan dijaga oleh keluarga dan suaminya.

Kata Isma, "Saya beruntung kerana mendapat keluarga yang memahami.

"Saya akan cuba seimbangkan antara kerja dan keluarga. Kalau kerja, kerja. Anak-anak pun dah membiasakan diri tinggal dengan ibu dan bapa saya dari kecil.”

Artikel Sebelum

Artikel Lain