suria

IAMTV beri nafas baru pada band indie

KUALA LUMPUR: Band muzik "independent" atau indie dalam negara mungkin boleh menarik nafas lega kerana apa yang dinanti selama ini telah ada, iaitu syarikat yang akan membantu menyediakan video muzik dan mempromosikannya.

Independent Asian Music TV, (iamtv), mungkin merupakan syarikat yang dicari oleh band-band itu untuk merakamkan dan menerbitkan video mereka di samping mengekalkan kebebasan mereka daripada label syarikat rakaman komersil, kata pengarah pembangunan perniagaannya Abdul Karim Norazit.

Syarikat yang berpangkalan di Ireland dengan rakan kongsi Malaysia, iamtv ditubuhkan pada 2007 untuk mempromosikan muzik band indie dari seluruh rantau Asia serta di Amerika Syarikat dan Eropah melalui media komunikasi interaktif mereka yang boleh didapati melalui siaran televisyen, mobile TV dan IPTV (Televisyen Protokol Internet).

Tidak seperti syarikat rakaman atau label muzik terkenal seperti EMI, Warner Music, Universal atau Sony/BMG, pendekatan iamtv untuk membantu band-band baru berbeza sedikit, kata Karim kepada Bernama dalam satu temu bual baru-baru ini.

Label bebas sebagaimana yang diketahui perlu berusaha untuk pengaruh yang minimum terhadap artis yang mereka wakili, mengelak daripada usaha melahirkan artis seperti banyak label utama.

Artis yang diwakili oleh label indie diketahui memberi lebih tumpuan kepada menghasilkan muzik daripada menjadi kaya atau menjadi terkenal.

"Terdapat banyak band-band indie di Asia termasuk Filipina, China, India dan Malaysia yang tidak terikat dengan mana-mana syarikat rakaman besar tetapi yang memerlukan pendedahan dan ini adalah bandband yang kami sasar untuk bantu dan mewujudkan melalui penyiaran kami.

"Tahun lepas, apabila kami mengadakan konsert sulung kami di Filipina, kami membawa dua band Malaysia, One Buck Short dan Deja Voodoo Spells, untuk membuat persembahan di Hard Rock Cafe, manakala Arthur Kam, juga dari Malaysia, pemenang Pertandingan +Undiscovered Drummer 2008+ anjuran Modern Drummer Magazine yang berpangkalan di AS untuk kategori 18 tahun dan ke bawah juga muncul buat pertama kali di Filipina.

"Apa yang berlaku ialah kami merakamkan persembahan secara langsung mereka yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada program kami untuk siaran di media/platform terpilih.

"Kami juga memberi video muzik persembahan mereka kepada band yang mengambil bahagian tanpa dikenakan sebarang kos, sebagai sebahagian daripada sumbangan kami kepada industri. Ini banyak membantu band indie ini memandangkan banyak tidak mempunyai sumber untuk mengeluarkan video muzik," kata Karim.

imtv menyediakan laluan, saluran untuk band-band ini mempamerkan muzik mereka tanpa sebarang ikatan.

"Ini sebenarnya yang berlaku dengan kedua-dua band yang kami bawa ke Filipina. Persembahan hebat mereka kini mungkin membawa mereka ke AS, memperluaskan ruang muzik mereka," kata Karim.

"Pada masa ini, kami telah mengadakan pakatan dengan 'Go!Channel' di Filipina yang mula menyiarkannya di televisyen mudah alih," katanya.

Syarikat juga menjalin pakatan dengan ABSCBN yang berpangkalan di AS, yang memperuntukkan slot selama satu jam untuk menyiarkan muzik indie Asia.

Muzik berkenaan disiarkan di lebih empat saluran rangkaian televisyen kabel di AS. Penyiaran muzik indie Asia itu bermula Mei tahun ini.

"Permintaannya ada memandangkan penduduk Asia memilih untuk mendengar muzik band Asia," kata Karim.

Bagi band yang terikat dengan syarikat rakaman mungkin tidak mempunyai kawalan sepenuhnya terhadap apa yang mereka nyanyikan, pemuzik indie mengekalkan kawalan kreatif terhadap muzik mereka.

Terdapat band yang bermula sebagai band indie dan kemudianya diambil oleh syarikat rakaman kerana kreativiti dan gaya baru mereka, katanya.

"Ini hanya permulaan, terdapat banyak bidang lagi yang akan diliputi. Kami mula meninjau stesen televisyen tempatan untuk menimbangkan cadangan kami unuk menggalakkan band indie di Malaysia dan juga di rantau ini," kata Stephen McCormack, ketua pegawai eksekutif iamtv.

"Saluran atau platform media juga berbeza. Dengan media tradisional seperti televisyen tidak dikira, kami memberi tumpuan kepada media baru seperti Internet dan hiburan mudah alih memandangkan ia merupakan pasaran masa depan," kata McCormack.

Sejak dua tahun lepas sejak peubuhannya, petugas di Malaysia bekerja keras untuk membina kandungan mereka dari seluruh Asia. Selain muzik video dan konsert secara langsung serta interbiu, iamtv juga menampilkan sukan ekstrem yang memenuhi minat golongan muda dan radikal.

Mengenai bagaimana syarikat seperti iamtv terbabit dalam industri muzik dan bagaimana ia mendapat keuntungan, McCormack berkata: "Kandungan masa depan ialah saluran khusus yang memenuhi penonton khas di semua platform iaitu web, mudah alih, rangkaian sosial dan tv.

"Seperti kebanyakan media terdapat hanya dua model utama iaitu langganan dan sokongan pengiklanan. Iamtv melihat perolehan permulaannya datang dari pengiklanan dan rakan kongsi kandungan seperti penyedia mudah alih, ISP dan syarikat kabel/satelit.

"Perolehan dijangka meningkat dengan banyak dalam masa dua tahun akan datang setelah jenama besar mengalih perbelanjaan pengiklanan mereka daripada media tradisional ke sasaran penonton media baru yang dikuasai iamtv," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain