suria

Saya amat kecil hati - Almy Nadia

Almy Nadia membawakan watak madu nombor tiga di dalam filem 4 Madu - foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG
Almy Nadia membawakan watak madu nombor tiga di dalam filem 4 Madu - foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG
Almy Nadia membawakan watak madu nombor tiga di dalam filem 4 Madu - foto THE STAR oleh CHAN TAK KONG

PEMBABITAN awal bintang muda ini sebagai anak seni memang banyak dibantu oleh sutradara tersohor, Prof Madya A.Razak Mohaideen. Tidak dinafikan, pengarah itulah yang telah membuka laluan untuk Almy Nadia mempamerkan bakat lakonannya.

Bertitik tolak dari situ, aktres berusia 23 tahun semakin mula mencuri perhatian ramai produser drama dan filem yang nampak akan bakat semulajadi Almy itu. Dan bermulalah perjalanan seni pelakon ini sehingga dia kini dilihat antara bintang muda yang berpotensi cerah untuk pergi jauh di dalam bidang ini.

Tutur Almy, tatkala industri seni semakin ramai dipenuhi muka-muka baru, dia sendiri tidak menyangka rezekinya sebagai pelakon terus bertambah. Walaupun tuahnya lebih memihak kepada drama berbanding filem, namun bagi anak jati Ipoh, Perak ini, dia tidak melihat itu sebagai satu 'isu' besar buat dirinya.

Selagi diberi kepercayaan oleh produser, dia akan menggalas tanggungjawab itu sebaik mungkin tidak kiralah sekecil mana watak yang diberikan kepadanya itu.

Dan berkat kesabarannya itu juga, Almy kini berjaya ke layar perak buat kali kelimanya apabila dia ditawarkan oleh Razak untuk membintangi filem 4 Madu, bergandingan dengan pelakon-pelakon hebat lain seperti Saiful Apek, Rozita Che Wan, Fasha Sandha, Bienda dan Marsha.

Ujar pelakon yang pernah membintangi beberapa buah filem seperti Dunia Baru The Movie, Bisikan Ablasa dan terbaru yang bakal ditayangkan tidak lama lagi iaitu Skrip 7707 itu, dia sememangnya gembira apabila menerima tawaran tersebut.

Namun, ada sesuatu yang membuatkan gadis ini amat 'berkecil hati' pada awalnya tatkala ditawarkan watak sebagai madu nombor tiga di dala, filem tersebut.

"Sebenarnya, saya dapat watak itu pun kerana menggantikan tempat pelakon yang tidak dapat membintangi filem tersebut. Kebetulan pula memang jadual saya 'free' ketika ini, jadi saya terima tawaran tersebut walaupun diberitahu pada saat-saat akhir.

"Saya tidak nafikan, pada awalnya saya amat kecil hati juga sebab saya ditawarkan pun sebab untuk menggantikan tempat pelakon lain. Tetapi setelah saya berfikir semula, mengapa perlu saya berfikiran negatif tentang hal ini.

"Lagipun sudah lama saya tidak bekerja di bawah arahan Prof Razak dan saya rasa, peluang ini perlu saya gunakan dengan baik," kata Almy yang kini sedang sibuk dengan penggambaran filem tersebut.

Menurutnya lagi, beberapa buah drama lakonannya juga sedang ditayangkan di kaca televisyen seperti Rumah Mak, Jangan Pandang Belakang dan Suria Kasandra.

Ditanya tentang kepuasan terhadap prestasinya bergelar anak seni sepanjang beberapa tahun terbabit dalam industri ini, kata Almy, dia gembira melihat tahap lakonannya semakin meningkat, tidak seperti di awal-awal pembabitannya dulu.

"Memang kalau nak dibandingkan dengan dulu, saya akui sekarang ini saya semakin yakin dengan kemampuan diri. Tetapi banyak lagi sebenarnya yang perlu saya tingkatkan.

"Apa yang pasti, bukan saja dari segi lakonan, malah pengalaman yang saya kutip sehingga hari ini juga sebenarnya banyak mematangkan diri. Cukup perit sebenarnya bergelar artis.

"Malah, saya selalu menasihati saudara-mara saya yang berminat menjadi pelakon agar fikir semasak-masaknya sebelum menceburi bidang ini.

"Bukan cemburu atau apa, tetapi dengan apa yang pernah saya lalui sendiri, kalau boleh biarlah mereka memilih bidang kerja yang lain," kata Almy.

Harap hubungan dengan Fizz berakhir dengan perkahwinan

Sudah lebih dua tahun Almy dan kekasihnya, Fizz, menjalinkan hubungan cinta. Dalam tempoh itu, kata pelakon ini, dia akui ramai yang bertanyakan bila dia dan Fizz akan mendirikan rumahtangga.

Namun, khabar angin yang bertiup baru-baru ini yang mengatakan dia dan Fizz sudah berpisah nyata mengejutkan dirinya. Ujar Almy, dia tidak tahu bagaimana kisah itu tercetus sedangkan hubungannya dan aktor itu masih seperti biasa.

"Kami masih 'ok' sebenarnya. Biasalah adat berkasih mesti ada pasang surutnya juga. Tapi tidaklah seperti yang dikhabarkan itu.

"Mungkin sebab sejak kebelakangan ini kami jarang menghadiri mana-mana majlis bersama, tidak seperti dulu. Masing-masing sibuk dengan urusan sendiri, malah sekarang ini pun Fizz berada di Bali untuk penggambaran sebuah drama," kata Almy.

Ditanya mungkinkah jalan terbaik 'menghindari' gosip seperti ini ialah dengan membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih 'tinggi', kata Almy:

"Tentang hal perkahwinan, saya tidak mahulah komen panjang. Saya ni perempuan, jadi saya tunggu sajalah. Saya cuma berharap kasih kami seteguh Zamarul dan Diana yang akhirnya berkahwin juga setelah lapan tahun bercinta.

"Bagilah setahun dua lagi...barulah selesa untuk berbicara tentang perkahwinan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain