suria

Zed: Saya tak busuk hati pada Syamsul

Zed akui tidak berniat 'menghentam' Syamsul menerusi blognya
Zed akui tidak berniat 'menghentam' Syamsul menerusi blognya
Zed akui tidak berniat 'menghentam' Syamsul menerusi blognya

AHAD lalu, pelakon dan pengarah muda Syamsul Yusof melahirkan rasa kecewanya terhadap Zed Zaidi gara-gara kenyataan aktor itu di laman blognya yang dilihat seperti 'menghentam' Syamsul.

Anak teruna kepada Datuk Yusof Haslam ini seperti yang dilaporkan sebuah akhbar, mengaku begitu terguris dengan cara penulisan Zed terhadap dirinya yang dirasakan Syamsul cukup melampau sedangkan mereka pernah bekerja dengan baik ketika menjayakan drama Sembilu dan Sembilu Kasih.

Di blog tersebut, antara lain Zed menyifatkan Syamsul sebagai 'muka nak minta penumbuk', selain mengatakan dia memang ada 'kes' dengan pengarah filem Bohsia itu.

Mengulas tentang isu ini, kata Zed, apa yang ditulis di dalam blognya itu bukan dengan berniat untuk 'menghentam' Syamsul. Namun itu hanyalah sekadar luahan berdasarkan pandangannya sendiri.

"Saya akui, saya tidak pandai menulis...saya buat ikut rasa saya saja. Dan apa yang saya tulis itu adalah berdasarkan apa yang saya rasa dan nampak serta pandangan orang sekeliling.

"Dalam blog itu, saya sebut juga tentang Mawi. Saya tulis Mawi dulu kalau bersalam dengan saya, tak pandang langsung saya. Tapi bila bertemu di Anugerah Bintang Popular (ABP) tidak lama dulu, dia berbeza dan amat ramah dengan saya. Semua tu saya tulis dalam blog.

"Begitu juga dengan Syamsul. Apa yang saya tulis sebelum ini tentang dia hanyalah pandangan saja. Saya tidak ada apa-apa masalah pun dengan dia. Saya tulis juga yang dia ada menyapa saya dengan baik ketika di ABP tempoh hari.

"Perkataan ada 'kes' yang saya tulis itu pun sebenarnya tak ada apa-apa. Itu hanya untuk menggambarkan pandangan saya terhadapnya dulu.

"Bagi saya, mengkritik bukan bermaksud benci. Industri seni sama saja macam bidang politik, kritik antara satu sama lain adalah perkara biasa. Dulu pun orang kritik lakonan saya, tapi benda itu saya ambil sebagai pembakar semangat.

"Kritikan sebenarnya mampu membuatkan kita lebih matang. Dan sebagai artis, kita kena tahu memang kita akan terdedah kepada kritikan.

"Saya tahu, memang ada yang tak suka dengan cara saya menulis. Tapi saya hanya menjadi diri sendiri. Tapi mungkin apa yang saya tulis itu telah disalahertikan dan sebab itu benda ini jadi 'panas'," kata Zed ketika dihubungi.

Menurut Zed, Syamsul sendiri ada menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepadanya sebelum artikel kenyataan pelakon itu dikeluarkan. Tetapi ujar Zed, menerusi SMS tersebut, tidak pula menunjukkan Syamsul tidak berpuas hati.

"Dia SMS tanya tentang hal ini. Saya cakaplah itu kritikan biasa dan saya puji dia sebab Bohsia berjaya dapat sambutan hebat. Dia balas SMS tu dalam nada yang ok saja.

"Saya tak sangka pula dia amat kecewa dan melenting dengan perkara ini. Mungkin juga dia tidak boleh terima orang bercakap begitu tentang dia. Saya rasa kalau dia profesional, benda ini tak akan menjadi kudis pun padanya.

"Lagipun bukannya saya mencarut atau maki. Apapun, saya minta maaf jika apa yang saya buat ini menyinggung mana-mana pihak.

"Saya belajar dari pengalaman dan selepas ini saya tahu bahawa saya kena lebih berhati-hati untuk luahkan sesuatu di dalam blog...tak mahulah disalahertikan lagi," kata Zed yang baru mula menulis blog awal tahun ini.

Namun bagi sesetengah pihak yang pernah membaca artikel itu, pasti ada yang merasakan Zed seolah-olah iri hati terhadap Syamsul walaupun mereka tidak menghadapi masalah sebelum ini.

Ujar Zed, dia tidak mampu mengawal persepsi masyarakat.

"Kenapa perlu saya iri hati? Saya dan dia ibarat langit dan bumi. Saya sedar saya berada di bawah. Tetapi saya bukannya merampas apa-apa 'job' daripada sesiapa pun.

"Kalau saya tidak berlakon pun, saya ada masih ada bisnes untuk diuruskan. Jadi, tak timbul isu iri hati dan busuk hati padanya. Saya hanya bercerita tentang pandangan saja.

"Apa yang saya lalui ini memang banyak memberi pengajaran kepada saya. Mungkin cara terbaik untuk saya jernihkan tentang hal ini ialah dengan menerangkan sebaik mungkin cerita sebenarnya di dalam blog atau medium-medium lain.

"Saya pun tak mahulah orang melabelkan saya ingin publisiti murahan ke..atau apa saja. Cuma sekali lagi saya ingin tegaskan, saya tidak ada masalah apa pun dengan Syamsul. Itu saja," kata Zed yang sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain