suria

Syamsul Yusof bersedia dengan 'Khurafat'

Syamsul gembira filem keduanya, Bohsia:Jangan Pilih Jalan Hitam berjaya meraih kutipan lebih RM4 juta setakat ini
Syamsul gembira filem keduanya, Bohsia:Jangan Pilih Jalan Hitam berjaya meraih kutipan lebih RM4 juta setakat ini
Syamsul gembira filem keduanya, Bohsia:Jangan Pilih Jalan Hitam berjaya meraih kutipan lebih RM4 juta setakat ini

NAMPAKNYA percaturan pengarah muda ini untuk filem keduanya, 'Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam' memang menjadi.

Jika menerusi filem pertama arahannya, 'Evolusi KL Drift', ia berjaya meraih kutipan sebanyak RM4.5 juta, filem 'Bohsia' juga tidak kurang hebatnya apabila setakat ini telah memungut kira-kira RM4.4 juta.

Masih ada seminggu lagi untuk filem yang diklasifikasikan 18 PL ini ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan. Namun, bagi Syamsul sendiri, dia tidak mahu meletakkan harapan menggunung.

Cukuplah pencapaian yang diraih filem itu setakat ini yang memang benar-benar di luar jangkaannya.

"Sejujurnya, saya tidak jangka langsung sambutan terhadap filem ini amat memberangsangkan. Maklumlah, ramai yang pada awalnya mengkritik filem sebegini. Tetapi saya amat bersyukur dengan respon yang diterima.

"Ayah saya pun terkejut dengan kutipan sebanyak ini. Apapun, saya anggap ini sebagai pembakar semangat untuk saya terus hasilkan filem-filem yang baik selepas ini," kata anak teruna kepada penerbit dan pengarah tersohor Datuk Yusof Haslam ini.

Filem terbitan Skop Productions yang memaparkan kehidupan mat-mat rempit dan gejala bohsia ini dibarisi oleh pelakon-pelakon seperti Nabila Huda, Salina Saibi, Shaheizy Sam, Aaron Aziz, Diana Danielle dan Syamsul sendiri.

Meskipun menerima sambutan yang baik, kata pengarah dan pelakon yang genap berusia 25 tahun hari ini, dia bagaimanapun belum terfikir sama ada untuk meneruskan sekuel filem itu atau pun tidak, apatah lagi dengan isu hangat ketika ini yang mengatakan filem bercorak seperti ini adalah antara penyumbang kepada peningkatan gejala sosial di kalangan remaja.

"Seperti mana yang saya jelaskan sebelum ini, apa yang dipaparkan di dalam filem 'Bohsia' adalah sebagai pengajaran untuk remaja, bukan bertujuan sebaliknya.

"Tetapi apapun, saya tidak pasti lagi sama ada untuk buat sekuel atau tidak untuk filem ini. Perkara ini tetap akan dipertimbangkan...tengoklah macam mana nanti.

"Lagipun, saya sedang sibuk untuk menyiapkan filem ketiga saya, 'Evolusi KL Drift 2' yang masih di dalam proses dubbing dan pada bulan Julai ini, saya akan teruskan dengan penghasilan filem keempat saya," kata Syamsul.

Mengulas lanjut tentang filem keempatnya itu, kata Syamsul, filem terbarunya itu masih lagi di dalam peringkat penelitian skrip dan apa yang pasti, genre kali ini berbeza dengan tiga buah filem terdahulu yang pernah dihasilkannya.

"Kalau sebelum ini saya lebih banyak buat filem bercorak aksi, tetapi filem terbaru saya nanti adalah bergenre seram. Ini memang sesuatu yang baru buat saya, tetapi saya ambil sebagai satu cabaran.

"Saya pun tidak mahu asyik dilihat buat benda yang sama saja. Ayah saya juga sudah bersetuju dengan projek baru ini dan Insya-Allah jika tiada masalah, saya akan mulakan penggambaran pada Julai ini.

"Buat masa ini, saya menggunakan judul 'Khurafat', memandangkan jalan ceritanya berkisarkan tentang orang-orang yang 'sesat'. Masih terlalu awal sebenarnya untuk dedahkan projek ini dengan lebih lanjut," tutur Syamsul.

Bagaimanapun, menurutnya lagi, buat masa ini dia belum memutuskan barisan pelakon yang akan terlibat di dalam filem tersebut.

"Besar kemungkinan saya akan cuba 'approach' Liyana Jasmay untuk watak utama. Tapi apa yang pasti, saya tetap akan berlakon sama dalam filem ini...tak kisahlah orang nak cakap saya 'hero perasan' ke atau apa saja," katanya dalam nada ceria.

Ditanya sama ada dia juga mungkin akan mengundang aktres Julia Ziegler yang kini sedang dikaitkan dengan dirinya, sambil ketawa, Syamsul hanya menjawab:

"Tak tahulah lagi. Saya belum terfikir apa pun," katanya, ringkas, sambil cuba menepis soalan berbaur peribadi.

Artikel Sebelum

Simon Cowell Mr Nasty?

Artikel Berikut

Artikel Lain