suria

Siti sebak rai kejayaan tanpa arwah ayah

Siti sebak tidak dapat meraikan kemenangan bersama arwah bapanya - foto MSTAR ONLINE
Siti sebak tidak dapat meraikan kemenangan bersama arwah bapanya - foto MSTAR ONLINE
Siti sebak tidak dapat meraikan kemenangan bersama arwah bapanya - foto MSTAR ONLINE

KEMENANGAN setiap anugerah yang diterima penyanyi Datuk Siti Nurhaliza sentiasa diraikan oleh Allahyarham bapanya, Tarudin Ismail.

Namun, malam semalam, Siti sebak apabila dia sudah tidak dapat mendengar ucapan tahniah daripada bapanya.

“Biasanya kalau menang, arwah selalu beri ucapan tahniah kepada saya menerusi telefon sejak dari awal saya menang anugerah dulu.

“Tetapi, walaupun saya tidak dapat mendengar ucapan tahniah dari arwah bapa tetapi saya masih mendapat ucapan tahniah daripada ahli keluarga lain,” beritahu Siti dalam nada sebak.

Siti turut memberitahu dua hari lepas, 11 April adalah ulang tahun Hari Jadi Allahyarham bapanya.

Dalam masa yang sama, Siti turut meluahkan perasaan gembiranya apabila masih diminati sehingga berjaya mengekalkan gelarannya sebagai Penyanyi Wanita Popular buat kali ke-12.

“Mungkin disebabkan saya sentiasa membuat persembahan dengan baik dalam album dan kelebihan saya yang sentiasa berkomunikasi dengan peminat apabila berpeluang.

“Kalau boleh saya sentiasa ingin dekatkan diri dengan peminat dan kekalkan hubungan yang baik dengan mereka,” beritahu Siti.

Mengulas tentang kemenangan Nabil selaku Bintang Paling Popular 2008, Siti berkata dia sudah menduga kemenangan Juara Raja Lawak musim kedua itu.

“Saya dah agak Nabil akan menang hingga memberikan ucapan tahniah lebih awal di belakang pentas.

“Saya rasa kita tidak perlu pertikaikan kemenangannya, lagipun saya suka tengok lawaknya,” komen Siti yang cantik memperagakan pakaian Rizman Ruzaini (red carpet) dan Iszal dari Butik Citra (membuat persembahan lagu Di Taman Teman).

Di kesempatan itu, Siti turut mengucapkan terima kasih kepada koreografer Pat Ibrahim yang bekerja keras untuk merealisasikan impiannya ketika menyampaikan lagu Di Taman Teman dengan persembahan tarian yang mantap.

Dalam pada itu, aktor Que Haidar yang pertama kali menerima anugerah Pelakon Filem Lelaki Popular menganggap kemenangannya sebagai suatu bonus dan rezekinya setelah penat bekerja.

“Saya ingat Farid Kamil yang menang. Saya anggap kemenangan ini sebagai rezeki selepas berkahwin.

“Saya tak harapkan apa-apa dan cuma bekerja dengan sehabis bagus.

“Saya pastikan kerja yang terbaik dan popular akan datang kemudian,” luahnya dalam nada rendah diri lalu tidak menganggap telah menewaskan aktor Rosyam Nor.

Dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 itu, Rosyam Nor hanya mengungguli anugerah Pelakon Drama TV Lelaki Popular.

Selain terkejut dengan kemenangan tersebut, Que turut meluahkan perasaan berdebarnya semasa bergandingan dengan isterinya, Linda Jasmine ketika menyampaikan anugerah kepada pemenang Penyanyi Berkumpulan/ Duo Popular yang dimenangi oleh band indie Meet Uncle Hussain (MUH).

Sementara itu, vokalis MUH, Lan berkata dia tidak menyangka MUH menjadi band popular.

“Saingan hebat belaka dan setiap band mempunyai ‘crowd’ tersendiri.

“Selepas mendapat trofi itu, Insya-Allah mudah-mudahan kami akan mendapat banyak undangan show,” kata Lan yang merasakan bayaran mereka terima masih tetap sama seperti dulu iaitu RM10,000 untuk setiap ‘show’ walaupun sudah popular.

Dalam pada itu, Raja Pop Malaysia, Jamal Abdillah yang menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat turut menitipkan kata-kata indah ketika menyampaikan ucapannya.

“Episod dunia esok berubah bersilih ganti, sudah pun tertulis dalam sebuah skrip..skrip kehidupan dan malam ini, satu lagi episod....episod kejayaan yang saya sayang, namun episod kejatuhan, sedih, sepi berlalu begitu sahaja..,” ujar Jamal yang selepas itu berubah ke nada ceria dan mengucapkan ucapan terima kasih atas penghargaan tersebut.

Artikel Berikut

Artikel Lain