suria

Ibu tiri Siti Sarah mengaku bersalah nikah tanpa kebenaran

Siti Fatimah Suberi mengaku bersalah berkahwin tanpa kebenaran daripada pendaftar nikah
Siti Fatimah Suberi mengaku bersalah berkahwin tanpa kebenaran daripada pendaftar nikah
Siti Fatimah Suberi mengaku bersalah berkahwin tanpa kebenaran daripada pendaftar nikah

KUALA LUMPUR: Sebelum kes khalwat Norman dan Memey dibicarakan, satu lagi kes bersabit isteri kedua bapa penyanyi popular, Siti Sarah iaitu Raisuddin Hamzah, 52, turut disebut di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, di sini, hari ini.

Siti Fatimah Suberi, 22, secara sukarela mengaku bersalah kerana bernikah tanpa kebenaran pendaftar nikah di Songkhla, Thailand dengan Raisuddin Hamzah, bekas penyanyi popular tahun 80-an pada 2 Januari 2007.

Wanita berasal dari Alor Star, Kedah itu dikenakan denda RM1,000 atau dipenjara enam bulan.

Siti Fatimah boleh dipenjara dalam tempoh sebulan jika tidak menjelaskan denda pada hari ini.

Siti Fatimah sebelum itu turut membuat rayuan kepada pihak mahkamah untuk mengurangkan denda atas alasan dia merupakan suri rumah sepenuh masa.

Dia didakwa di bawah Seksyen 40(2) Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.

Dalam pada itu, Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad menyebut:

“Mahkamah berharap hukuman ini menjadi pengajaran kepada tertuduh (Siti Fatimah) dan orang lain agar tidak berkahwin tanpa kebenaran yang akhirnya boleh mendatangkan masalah kepada keluarga sendiri.”

Raisuddin yang berbaju-T berwarna kuning manakala Siti Fatimah mengenakan baju kurung berwarna ungu dan bertudung hitam hadir di mahkamah kira-kira pukul 9 pagi tadi.

Ketika diminta mengulas kehadirannya, Raisuddin bagaimanapun enggan memberikan kenyataan.

Pada 6 Februari lalu, hasrat Raisuddin untuk mengesahkan perkahwinannya dengan Siti Fatimah terbantut apabila mahkamah menolak permohonannya itu.

Hakim Syarie, Wan Mahyuddin Wan Muhammad juga menolak permohonan bapa mertua Raisuddin, Suberi Abdullah untuk membubarkan perkahwinan anaknya dengan penyanyi dan pelakon tahun 1980-an itu secara farakh.

Beliau bagaimanapun memerintahkan Raisuddin dan Siti Fatimah memfailkan permohonan pengesahan pernikahan mereka yang berlangsung di Songkhla Thailand dua tahun lalu di Mahkamah Tinggi untuk diputuskan kerana ia melibatkan isu poligami.

Dalam penghakimannya, Wan Mahyuddin menjelaskan bahawa Mahkamah Rendah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan kedua-dua kes itu.

Beliau berkata, proses farakh (pemisahan) hanya boleh bermula selepas pasangan itu didakwa kerana berkahwin di luar kawasan tanpa kebenaran serta pernikahan tersebut disahkan terlebih dahulu.

"Tindakan plaintif memfailkan permohonan farakh sebelum perkahwinan pasangan ini disahkan adalah menyalahi proses mahkamah.

"Bagaimanapun, mahkamah tidak menafikan hak plaintif sebagai bapa dan wali mujbir yang mana beliau boleh mengemukakan isu farakh semasa bicara pengesahan nikah nanti kerana ada peruntukan yang mengkehendaki wali hadir," katanya.

Raisuddin berkahwin dengan Siti Fatimah di Songkhla, Thailand dengan berwali hakim pada 2 Januari 2007.

Bapa Siti Fatimah, Suberi, 48, kemudiannya memfailkan permohonan untuk memfarakhkan perkahwinan pasangan itu mengikut Seksyen 62(2) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 pada 26 Oktober 2007.

Beliau membuat permohonan itu dengan alasan Siti Fatimah bermastautin di Selangor dan dia sebagai wali mujbir langsung tidak dimaklumkan tentang perkahwinan itu.

Sementara Raisuddin dan Siti Fatimah pula memfailkan permohonan balas bagi mengesahkan pernikahan mereka di mahkamah yang sama.

Suberi diwakili peguam syarie, Roshdan Rafie dan Salwila Abdullah manakala Raisuddin dan Siti Fatimah diwakili peguam syarie, Nor Azmi Mohd Arif dan Mohd Ridhwan Husin.

Artikel Sebelum

Artikel Lain