suria

N.E.R.D buat hal di Sunburst KL 2009!

Pharell bijak bermain emosi peminatnya.
Pharell bijak bermain emosi peminatnya.
Pharell bijak bermain emosi peminatnya.

FESTIVAL Muzik Antarabangsa Sunburst KL 2009 berlangsung dengan cukup meriahnya, Sabtu lalu.

Lebih 5,000 peminat muzik tempatan dan tanahair membanjiri Pusat Ekuestrian Bukit Kiara sejak jam 2 petang lagi dengan sajian hiburan awal oleh artis-artis terkemuka tanahair seperti Meet Uncle Hussein, Hujan, Estrella, Bunkface, Gerhana Ska Cinta dan Reza Salleh.

Enam pentas yang disediakan pada konsert itu seperti Sky, Sun, Loud and Clear dan Livesounds sentiasa dipenuhi dengan pelbagai bentuk hiburan dan mengenengahkan variasi genre muzik.

Namun, tentunya kemuncak konsert yang dinanti-nantikan oleh pengunjung ialah persembahan daripada kumpulan muzik antarabangsa, Korn dan juga kumpulan hip-hop N.E.R.D

N.E.R.D yang memulakan persembahan sekitar jam 10 malam ternyata berjaya membuatkan penonton hebat berpesta.

Penyanyi utama N.E.R.D, Pharell Williams turut meletakkan `enam prasyarat' kepada para peminat untuk betul-betul menghayati persembahan kumpulan tersohor itu.

"Inilah kali pertama kami berpijak di tanah Malaysia. Kedua, adalah hebat dapat membuat persembahan bersama-sama dengan The Great Korn. Ketiga, `crowd surfing' ialah suatu perkara mandatori yang perlu dilakukan.

"Keempat, we want to see a mosh pit in the crowd. Kelima, untuk wanita, jika anda berdiri di sebelah lelaki, anda sepatutnya mendekati bahu lelaki berhampiran. Keenam, jika itu dianggap melanggar peraturan, maka itu adalah mengapa anda membayar tiket anda!" tegasnya.

Ini seterusnya menambahkan kehangatan festival itu. Lambaian tangan dan tepukan gemuruh mengiring setiap lagu. Antaranya, Lapdance dan Rockstars.

Pendek kata, Pharell telah memasukkan 'gear lima' bagi jentera persembahannya. Selain itu, dia bijak bermain dengan emosi peminat.

Slogan yang dilaungkan malam itu- Di sini bukan Tokyo, di sini bukan Paris, di sini bukan Australia, di sini bukan Virginia tetapi ini adalah Malaysia - telah meninggikan lagi suhu pesta.

Itulah yang Pharell dan peminatnya inginkan. Cuma, sayang sekali apabila persembahan mereka malam itu 'dicemari' tindakan Pharell yang memaki seorang jurugambar gara-gara jurugambar itu menolak para peminatnya ke tepi.

"Berhenti menolak mereka ke tepi! Anda ialah jurugambar, jadi ambil gambar sahaja. Dengan menolak mereka, anda tidak membenarkan mereka berseronok, itulah sebab mereka membayar tiket tersebut!"

Penyanyi itu terus mencetuskan kontroversi apabila 'mengugut' untuk memberhentikan persembahan sekiranya sekuriti cuba menahan penyokong daripada menghampiri pentas. Mungkin itu juga sebahagian dari gimik persembahan.

Seterusnya, penyanyi utama kumpulan rock Korn, Jonathan Davis pula memecahkan keheningan malam dengan lontaran suara lantangnya.

Lain-lain ahli Korn seperti Reginald "Fieldy" Arizu dan pemain dram, Ray Luzier turut mempamerkan skil hebat masing-masing.

Secara keseluruhannya, Sunburst berjaya menghiburkan para peminat dari dalam dan luar negara. Ia meninggalkan nostalgia manis bagi semua yang hadir.

Manakan tidak, festival tersebut turut melibatkan penyanyi dari Indonesia seperti Nidji, Maliq And D'Essentials, dan Agrikulture.

Artikel Berikut

Artikel Lain