suria

Status bukan Islam tidak halang jayakan Sirah Junjungan

Barisan pelakon Sirah Junjungan bersama pengarahnya, Erma Fatima
Barisan pelakon Sirah Junjungan bersama pengarahnya, Erma Fatima
Barisan pelakon Sirah Junjungan bersama pengarahnya, Erma Fatima

"APA yang saya rasa Tuhan adalah satu dan saya dapat melakukan sesuatu untuk Nabi melalui Sirah Junjungan...,” ucap Jeganathan, antara pelakon bukan Islam dalam Muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta.

Setiap pelakon semestinya memberikan pandangan berbeza apabila dapat berlakon dalam muzikal arahan dan karya Erma Fatima ini.

“Saya dapat tahu cerita-cerita tentang Nabi dan kisah yang berlaku walaupun tak ‘cover’ semua tetapi sekurang-kurangnya saya tahu sedikit-sebanyak cerita tentang Nabi, Perang Uhud dan Perang Badar.

“Pada tahun lepas, semasa babak mengucap syahadah, pengarah Erma Fatima tak benarkan saya mengucap syahadah dan menggunakan ‘voice over’ sahaja.

“Tetapi pada tahun ini, dia menyuruh saya menghafal dan mengucap syahadah.

“Lagi satu, pada empat hari lepas, saya dapat satu mimpi iaitu tentang seseorang dalam satu adegan yang saya lakonkan memberitahu ini adalah surah Al-Kahfi ayat 5 dan 6.

“Dia juga berkata ada sesuatu dalam diri saya.

“Pada hari keduanya, saya bermimpi pelakon Syukor Ibrahim yang meminta saya membuka sesuatu benda yang mempunyai duit syiling berusia 300 tahun.

“Saya tahu apa yang saya lalui ini berkaitan tentang Tuhan.

“Sebagai balasan saya perlu ‘protect’ pengalaman yang berbeza daripada Sirah Junjungan ini,” ulas peminat Jamal Abdillah dan Datuk Siti Nurhaliza yang berasa gembira apabila dapat berkongsi pentas dengan mereka dalam menjayakan Sirah Junjungan Tahajud Cinta.

Tambah Jegan lagi: “Walaupun saya tak dapat pergi ke Mekah, tetapi di dalam Sirah Junjungan saya boleh melakukannya.

“Saya tahu Tuhan itu satu,” luahnya yang memegang watak Abu Sofyan, Nabir dan pemimpin Quraisy.

Selain Sirah Junjungan Tahajud Cinta, Jegan juga akan muncul dalam Muzikal Mahsuri, filem Estet dan drama bersiri Gerak Khas (Gangster).

Jesse Lim mengalir air mata

Dalam pada itu, aktor Jesse Lim yang menggalas watak Abrahah, Najdi dan Washi berkata dia turut melinangkan air mata tatkala babak Saidina Hamzah memeluk Nabi Muhammad S.A.W.

Ketika itu, ramai penonton lain yang turut merasa perasaan yang sama.

“Apa yang saya suka dalam Sirah Junjungan adalah lagunya yang sedap dan bahagian muzik sangat memainkan peranan penting.

“Selain itu, saya juga suka mendengar suara pencerita yang bagus dan tak dapat diganti oleh orang lain,” tuturnya.

Memandangkan wataknya di dalam muzikal ini memerlukan dia berperang dan berlawan, Jesse berkata pengalaman ini merupakan suatu perkara baru yang dipelajarinya sepanjang bergelar pelakon.

“Saya tak biasa berlakon sebagai askar yang berperang dalam Sirah Junjungan.

“Saya rasa tidaklah terlalu susah sebab tahun lepas saya dah berlakon dalam teater ini.

“Ini merupakan kali kedua saya berlakon dalam muzikal ini, tetapi tahun ini ada sedikit pertambahan dari segi dialog dan latar set,” kata Jesse.

Mimpi Wong berlakon teater termakbul

Pelakon Wong Sip Nen merasakan peluang berlakon teater Muzikal Sirah Junjungan buat kedua kalinya merupakan pengalaman berharga yang memang diimpikan sejak dulu lagi.

“Ini merupakan suatu pengalaman baru bagi saya kerana kali pertama saya dapat berlakon teater muzikal Islam.

“Sebelum ini saya selalu berlakon drama dan bermimpi bila saya dapat berlakon teater.

“Lama selepas itu, saya mendapat tawaran berlakon dalam teater ini pada tahun lalu.

“Selepas saya melihat skripnya, saya rasa tertarik untuk berlakon.

“Saya rasa teater ini menggunakan pendekatan yang baru sebab mereka memberikan peluang kepada pelakon bukan Melayu.

“Apabila berlakon, saya rasa seperti sebahagian keluarga mereka walaupun saya bukan Islam dan wujud perpaduan di dalamnya,” ujar Wong.

Jelas Wong, dia tidak mempunyai masalah untuk mempelajari tentang perkara yang berkaitan dengan Islam kerana dari kecil dia dan keluarga membesar bersama masyarakat Islam.

“Saya boleh membaca bahasa Arab dan menulis tulisan Jawi sebab saya suka dan minat untuk mempelajarinya.

“Saya juga pernah terlibat dalam sebuah program 13 episod ‘Belajar Bahasa Arab’ di RTM sejak 10 tahun lalu,” ulasnya yang melakonkan watak Umaiyah Khalaf dalam Muzikal Sirah Junjungan Tahajud Cinta.

Saksikan Muzikal Islam Sirah Junjungan Tahajud Cinta mulai 9 hingga 22 Mac di Istana Budaya, Kuala Lumpur, pukul 8.30 malam.

Tiket dijual pada harga RM30, RM50, RM80, RM100 dan RM150.

Artikel Lain