suria

David: Kalau tak mahu ditegur, jangan kerja dengan saya!

Filem Jangan Tegur akan ditayangkan di pawagam tempatan mulai 9 April ini.
Filem Jangan Tegur akan ditayangkan di pawagam tempatan mulai 9 April ini.
Filem Jangan Tegur akan ditayangkan di pawagam tempatan mulai 9 April ini.

HUBUNGAN tegang antara produser Metrowealth International Group (MIG) Production Sdn. Bhd., David Teo dan aktor Pierre Andre membuatkan produser tersohor itu membuat keputusan enggan melibatkan pelakon utama, pengarah dan penulis skrip filem ini dalam aktiviti promosi pada masa akan datang.

Filem ke-32 terbitan MIG ini dilakonkan oleh Julia Ziegler sebagai Natasya, Nadia Mustafar (Baizura), Pierre Andre (Kamal), dan Ellie Suriati (Mak Su) sebagai pelakon utama.

Ia turut dibantu oleh Almy Nadia (Sara), Azri Iskandar (Ustaz Amin), Rozita Che Wan (Doktor Lisa) dan Kaza (Pak Su).

Alasan David, kekuatan filem menggunakan audio Dolby Digital Surround EX ini terletak pada genre seramnya.

“Susah saya nak hubungi dia (Pierre). Lagipun, dia tidak tampil untuk ‘post-production’ filem ini.

“Kami pula yang menambah syot dan kelebihan lain untuk menampal kekurangan yang ada.

“Kelemahan yang ada dalam filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak juga telah ‘improve’ dalam filem ini,” ulas David.

Namun begitu, David masih membuka ruang kepada Pierre memandangkan anak aktres Khatijah Tan ini belum tamat kontrak dengan MIG.

“Pintu hati saya terbuka 24 jam jika dia hendak bekerja dengan saya.

“Itu pun kalau dia sedia terima teguran.

“Kalau tak mahu ditegur, janganlah,” tegas produser yang mensasarkan filem ini setaraf dengan kejayaan filem Jangan Pandang Belakang dan Congkak.

David juga berkata penghujung filem Jangan Tegur diselesaikan oleh pengarah Ahmad Idham selaku penasihat filem ini disebabkan Pierre tidak muncul lagi selepas insiden diterjah oleh wartawan di set pengambaran.

“Filem ini dijayakan oleh satu ‘team’ termasuk penasihat dan pengarah.

“Misalnya, kes Pierre yang tiba-tiba tak dapat habiskan filem ini akhirnya disambung oleh Idham.

“Sebab itu jika satu tumbang, 10 orang ada ‘backing’ dalam ‘team’ kami,” beritahunya dalam nada ceria.

Drama Jangan Tegur

Dalam keceriaan itu, David turut berkongsi perasaan gembiranya apabila mendapat tahu pihak TV3 merancang untuk membikin drama Jangan Tegur.

“Tengoklah, kalau TV3 dah bersetuju selepas menonton filem ini, mungkin drama Jangan Tegur akan dibikin mulai bulan depan.

“Setakat ini kita belum tahu lagi siapa pelakonnya.

“Mungkin kita tidak akan menggunakan pelakon yang sama seperti dalam filem ini,” tutur David ringkas.

Selain itu, filem berdasarkan kisah benar yang dialami oleh salah seorang staf David ini juga bakal ditayangkan di Singapura mulai 23 April ini.

David juga bersedia untuk menayangkan filem ini ke negara lain jika mendapat sambutan.

Jadi, tidak mustahil sekiranya David telah membuat poster dalam tiga bahasa iaitu bahasa Cina, bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sebagai salah satu strategi pemasaran untuk menembusi pasaran luar.

Bukan filem tahyul?

Filem Jangan Tegur yang akan ditayangkan di pawagam tempatan mulai 9 April ini memaparkan tentang kisah seorang wanita, Natasya yang bermimpi tentang seorang gadis bernama Baizura yang disyaki telah hilang dua tahun secara misteri tanpa khabar berita.

Natasya sering diganggu dengan mimpi-mimpi aneh yang menceritakan akan kesengsaraan Baizura yang telah dibomoh dan sering didatangi makhluk-makhluk halus.

Tersedar dari koma, Natasya mula mengalami perkara yang sama seperti yang telah dialami oleh Baizura.

Daya penglihatan Natasya tidak membataskan dia melihat makhluk-makhluk halus itu.

Kadangkala timbul fikiran tidak logik yang menyumbang kepada tahyul apabila melihat garapan cerita ini.

Misalnya, mimpi dan unsur ‘spirit’ yang disampaikan menerusi dua perbezaan waktu antara babak Natasya dan Baizura boleh menyebabkan penonton keliru dan mengandaikan perkara yang karut.

Dari situ, mesej yang disampaikan boleh menjadi salah lebih-lebih lagi apabila filem ini memaparkan satu adegan orang beragama Islam yang telah mati dibiarkan terdedah mukanya tanpa ditutup dengan kain dalam tempoh yang lama sementara menunggu masa dikebumikan esok hari.

Bagaimanapun, apabila disoal kepada David, dia menidakkan komen itu.

“Filem Jangan Tegur bukan filem tahyul.

“Kalau tidak bagaimana Lembaga Penapisan Filem (LPF) Malaysia boleh kasi lepas. “Mereka cuma menetapkan syarat bahawa penonton yang menghidap penyakit lemah jantung dan wanita mengandung dinasihatkan untuk tidak menonton filem ini.

“Filem ini juga diklasifikasikan sebagai PG-13 iaitu kanak-kanak bawah umur 13 tahun perlu mendapatkan bimbingan ibu bapa terdapat adegan yang kurang sesuai ditonton mereka.

“Kami turut memulakan filem ini dengan ayat al-Quran dan menutup filem ini dengan ayat al-Quran,” jawab David ketika majlis pra-tonton tertutup dan ‘soft promotion’ filem Jangan Tegur di GSC One Utama, Petaling Jaya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain