suria

Geng: Pengembaraan Bermula filem animasi terbaik Malaysia

Filem animasi 3D yang menjadi kebanggan Malaysia
Filem animasi 3D yang menjadi kebanggan Malaysia
Filem animasi 3D yang menjadi kebanggan Malaysia

JIKA kita ingin tahu betapa hebatnya sesuatu produk itu, jangan takut buat perbandingan. Kalau setakat kembang dada menjadi jaguh kampung saja, berkokok sajalah di reban sendiri.

Sungguhpun filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula adalah produk tempatan tapi piawai yang dicapai adalah tinggi dan memuaskan.

Mungkin tidak boleh dibandingkan dengan filem animasi barat seperti Bolt, Ratatouille, Madagascar, Wall-E, Kung Fu Panda atau Shrek tetapi setidak-tidaknya ia berjaya meletakkan filem animasi Melayu di satu mercu yang sangat membanggakan.

Kalau perbandingan dibuat di halaman sendiri pula, ternyata Geng: Pengembaraan Bermula jauh meninggalkan Budak Lapok, Lagenda mahupun Putih.

Walaupun promosi media agak kurang biarpun sewaktu tarikh tayangan filem ini bermula, ianya langsung tidak memberi kesan terhadap sambutan orang ramai.

Kemungkinan, disebabkan watak 'Upin & Ipin' itu sendiri sudah lama melekat di hati penonton TV9 yang mengikuti siri ini sejak Ramadhan tahun lepas.

Percubaan pertama dari Les Copaque Production berjaya pula menambat ribuan ke panggung. Berduyun-duyun yang datang menonton ke panggung, semata-mata untuk melihat aksi si comel Upin & Ipin yang keletah.

Agak sayang sedikit, filem ini tidak mengeksploitasikan kekuatan nama 'Upin & Ipin'. Penulis sendiri agak skeptikal dengan tajuk Geng: Pengembaraan Bermula yang belum tentu dapat menarik penonton.

Mujurlah 'kesilapan' ini tidak mendatangkan kesan kerana 'promosi' dari mulut ke mulut lebih kuat.

Filem yang mempertaruhkan 'geng' Upin dan Ipin terdiri dari Badrol, Lim, Rajoo, Ros dan Oopet membawa penonton meneroka pengembaraan dua orang sahabat, Badrol dan Lim.

Cerita bermula dengan perjalanan kedua mereka ke kampung datuk Badrul, di Kampung Durian Runtuh.

Kedatangan Badrol dan Lim kebetulan tepat pada waktunya, ketika ada masalah sedang membelenggu Kampung Durian Runtuh. Kononnya wujud raksasa yang mengganas dan membaham semua durian di kampung itu di waktu malam. Ada pula yang bercerita kononnya wujudnya hantu.

Tiada siapa yang berani merungkai makhluk apa yang menghantui penduduk kampung itu hinggalah Upin, Ipin, Rajoo, Kak Ros, Badrol dan Lim terserempak dengan Oopet, makhluk yang comel yang jinak.

Rupa-rupanya Oopet lah yang memakan semua durian di dusun datuk Badrul.

Oopet ternyata jinak dan bercakap dalam bahasa 'ganjil' yang hanya boleh difamai oleh Rajoo. Kesemua mereka dibawa mengembara ke dalam dunia fantasi yang indah penuh dengan warna dan drama. Babak ini begitu hidup sekali walau dalam bentuk animasi. Syabas!

Episod pengembaraan ini seperti lakaran kartun 'Tarzan', benar-benar dapat melakar hutan belantara Malaysia.

Panorama yang dianimasikan penuh warna warni siap dengan tanaman liar dapat mengembalikan nostalgia zaman kanak-kanak.

Tidak keterlaluan jika dikatakan filem ini cukup 'rempah ratusnya' - ada babak lucu, adegan cemas, dramatik, selingan muzikal yang menghiburkan, dialog spontan dan kelakar - tiada yang kurang atau terlebih.

Begitu juga babak dikejar raksasa mengerikan, gergasi jelmaan dan ular mistik, semuanya silih berganti. Semuanya nampak realistik sekali impaknya dengan penggunaan teknologi yang digunakan. Rasa kagum menyelubungi diri melihat karyawan kita berjaya menghasilkan sebuah filem animasi 3D yang bermutu dan membanggakan.

Team Les' Copaque menggunakan sistem pipeline 3D khas untuk produksi ini dan hasilnya, sebuah filem animasi berkualiti tinggi.

Semua orang sayang dengan watak Upin & Ipin tetapi setelah mengenali geng dalam filem ini, semua watak-watak yang diperkenalkan mula menambat hati seperti Rajoo, Lim, Oopet, lelaki lembut Sally dan watak lain-lain.

Jalan cerita yang mudah, skrip yang cantik dan alihsuara juga bersesuaian dengan karektor. Semua ini membantu mencantikkan lagi filem yang sangat sesuai untuk tontonan sekeluarga.

Tidak mustahil filem yang mula menjadi kebanggaan kita ini, boleh menyatukan semua bangsa kerana semangat muhibbah yang tebal dan selari dengan jalan cerita bagai melambangkan masyarakat majmuk di negara ini.

Promosi yang kuat dapat membantu menarik penonton bangsa asing menonton filem ini kerana filem ini tidak lupa melibatkan watak bukan Melayu juga.

Filem animasi 3D yang menelan belanja RM4.2 juta ternyata satu pelaburan yang berbaloi. Khabarnya, Les' Copaque mempunyai 100 peratus karyawan tempatan. Jika idea sebegini dapat diterjemahkan begitu cantik pada sebuah filem, bayangkan andaikata peluang yang sama diberikan pada karyawan yang lain.

Finas sepatutnya membuka mata dan mula menghulurkan bantuan setelah melihat percubaan 'luar biasa' filem ini. Bukan sekadar cakap kosong, team produksi Les' Copaque sudahpun membuktikan betapa hebat produk mereka.

Kalau mutu dan kepuasan yang dicari, formula itu sudahpun dijumpai. Tiada sebab untuk menangguhkan usahasama seterusnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain