suria

My Starz LG: Penyingkiran Mimie satu kejutan

Mimi menjadi 'mangsa' penyingkiran yang seterusnya
Mimi menjadi 'mangsa' penyingkiran yang seterusnya
Mimi menjadi 'mangsa' penyingkiran yang seterusnya

PENYINGKIRAN Mimie atau nama sebenarnya Norshamimi Ahmad Haris, dari program realiti My Starz LG sememangnya satu keputusan yang mengejutkan apatah lagi dia dilihat sebagai antara peserta yang menyerlah pada musim ini.

Kegagalannya membuat persembahan terbaik ketika menyampaikan lagu Seksis yang dipopularkan oleh Anita Sarawak melenyapkan harapannya untuk terus mara merebut gelaran juara My Starz LG.

Faktor kesihatan yang kurang memuaskan mungkin menjadi salah satu punca gadis bersuara lantang ini tersingkir. Mimie yang jatuh sakit selama dua minggu menjelaskan keadaan kesihatannya sedikit sebanyak memberi kesan kepada dirinya untuk membuat persembahan yang menyakinkan pihak juri dan penonton.

Walau bagaimanapun, berbekalkan semangat yang tinggi, Mimie telah cuba melakukan yang terbaik meskipun nasib tidak menyebelahinya dan rezekinya hanya setakat di situ sahaja.

“Tidak dinafikan bakat Mimie agak menyerlah kerana gadis comel ini mampu melontarkan vokal yang mantap. Namun, undian penonton dan markah yang diberikan pihak juri tidak berpihak kepadanya lantaran persembahannya yang tidak menonjol.

Setelah Mimie diumumkan terkeluar daripada gelanggang My Starz LG, enamlagi peserta yang terdiri daripada Cassie, Nashrin, Hairi, Azri, Feroq dan Wana nampaknya dapat meneruskan konsert minggu lalu dengan menyampaikan lagu-lagu pilihan guru vokal mereka, Lah Ahmad.

Persembahan mereka pada malam itu diadili oleh Liza Hanim, Zainal Abidin, dan komposer terkenal, Azmeer. Konsert kali ini juga lebih meriah dengan kemunculan artis jemputan, Ziana Zain yang membawakan lagu Dingin.

Nashrin yang menyanyikan lagu Marcell berjudul Firasat menjadi peserta yang terselamat daripada tersingkir pada konsert minggu hadapan setelah berjaya dinobatkan sebagai persembahan terbaik dan membawa pulang hadiah berupa penghawa dingin LG ‘Neo Plasma Plus’.

Nashrin yang mendapat pujian daripada barisan juri mempersembahkan sebuah persembahan yang penuh penghayatan dan vokal yang diperakui hebat pada malam itu.

Persembahan Wana juga tidak kurang hebatnya. Dia yang mempersembahkan lagu penyanyi idolanya, Ziana Zain berjudul Madah Berhelah, menyanyikannya dengan gaya tersendiri.

Walau bagaimanapun, kritikan juri yang menganggap cara nyanyiannya persis penyanyi asal diterima oleh Wana dengan hati terbuka. Feroq yang muncul dengan lagu Juwita Citra Terindah juga tidak terlepas daripada kritikan para juri.

Selain lontaran suaranya yang dikatakan tiada seni, baju yang dipakainya pada malam itu juga menjadi satu isu yang dikatakan seakan-akan seorang pelayan bar.

Hasnol, penyanyi asal lagu yang dibawakan oleh Azri iaitu sebuah lagu lama bertajuk Laguku Untukmu hadir pada malam itu untuk memberikan sokongan kepada peserta tersebut.

Azri dikritik oleh Zainal Abidin dengan mengatakan bahawa persembahannya pada malam itu tidak terkawal dan vokalnya tidak mencapai tahap yang diharapkan. Azmeer pula menyarankannya untuk memberi nafas baru pada lagu lama mungkin kerana ianya dilihat bersesuaian dengan peredaran zaman.

Berlainan pula dengan Hairi yang menyanyikan lagu dari kumpulan Search, Mentari Merah di Ufuk Timur. Permulaan persembahannya dilihat hambar apabila nyanyiannya lari dari tempo sebenar.

Walau bagaimanapun, dia diberi pujian kerana berjaya mengimbangi vokalnya dengan baik. Lagu Destinasi Cinta dibawa dengan baik oleh Cassie. Dia yang sering mendapat pujian daripada para juri bernasib baik kerana mempunyai vokal yang bagus. Tetapi gerakannya seakan terbatas kerana pemilihan kasut yang tidak selesa.

Format pemarkahan terhasil daripada keputusan juri (70% markah) manakala selebihnya diputuskan oleh penonton melalui SMS. Selain dari juri tetap, juri jemputan bakal muncul sepanjang musim ini untuk menawarkan khidmat nasihat mereka.

Penasihat vokal terdiri daripada penyanyi dan pencipta lagu Lah Ahmad, koreografer tarian Raimee Salleh dan Syaiful Baharim yang berperanan sebagai konsultan imej peserta.

Pemenang pertandingan My Starz LG berpeluang memenangi wang tunai RM100,000, produk LG yang menarik, menjadi bintang dan kontrak rakaman di bawah label rekod ternama, Warner Music Malaysia.

Kesemua 12 peserta ini menerima tunjuk ajar dan nasihat profesional serta sokongan latihan daripada tenaga pengajar yang terdiri daripada penghibur dan penerbit ternama Malaysia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain