suria

OIAM musim ketiga bermula Jumaat ini

Gandingan mantap pengkritik Paul Moss dan Syafinaz Selamat akan dapat disaksikan lagi bila OIAM musim ketiga ke udara pada hari Jumaat ini.
Gandingan mantap pengkritik Paul Moss dan Syafinaz Selamat akan dapat disaksikan lagi bila OIAM musim ketiga ke udara pada hari Jumaat ini.
Gandingan mantap pengkritik Paul Moss dan Syafinaz Selamat akan dapat disaksikan lagi bila OIAM musim ketiga ke udara pada hari Jumaat ini.

BAHANG One In A Million (OIAM) kian terasa. Program realiti popular ini bakal disiarkan pada setiap Jumaat jam 9.30 malam bermula esok, di saluran 8TV.

Penonton bakal menyaksikan perjalanan OIAM dari sesi ujibakat sehingga ke malam final nanti.

“Musim ketiga OIAM pastinya lebih menghiburkan! Kami menjanjikan lebih banyak kejutan untuk semua penonton 8TV. Anda bukan sahaja bakal menyaksikan bakat-bakat baru malah akan terpukau dengan kehebatan vokal peserta-peserta musim ini.

“Kami telah menjelajah ke 5 buah kota bagi mencari peserta-peserta yang bukan sahaja mempunyai vokal yang baik malah mempunyai pakej lengkap sebagai penghibur. Kami percaya untuk musim baru ini kami telah berjaya menemui peserta-peserta yang pastinya akan memberikan cabaran antara satu sama lain.

“Kami menerima sambutan hangat di setiap lokasi ujibakat yang telah kami adakan. Ini merupakan satu petanda positif bahawa program realiti masih lagi relevan dan diminati oleh masyarakat. Juri juga turut mengalami kesukaran untuk memilih peserta-peserta yang layak ke peringkat Top 12,” ujar Pengurus Besar Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim.

Menurut Kim lagi, episod yang akan disiarkan Jumaat ini (23 Januari 2009) menampilkan sesi ujibakat yang telah diadakan di Kuching, Kota Kinabalu, Penang, Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Ujibakat di Kuching menyaksikan 502 orang peserta yang hadir untuk sesi ujibakat manakala ujibakat di Kota Kinabalu dengan 537 penyertaan. Penang dan Johor Bahru menyaksikan penyertaan yang tidak kurang hebatnya iaitu 515 di Penang dan 727 di Johor Bahru. Kuala Lumpur tetap menjadi pilihan utama para peserta dengan penyertaan melebihi 1000 orang yang membanjiri Berjaya Times Square.

Episod seterusnya akan menyaksikan penyingkiran yang akan dilalui oleh peserta-peserta sebelum sampai ke pusingan Top 12. Pertarungan sengit peserta-peserta Top 12 akan berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral yang akan diadakan setiap minggu bermula akhir bulan depan. Persembahan secara langsung yang merangkumi 15 episod termasuk malam final akan menyaksikan pertarungan sengit peserta-peserta untuk merebut wang bernilai RM1,000 000 ini. Seperti musim sebelumnya, seorang peserta bakal disingkirkan seorang demi seorang setiap minggu.

Malam final akan disiarkan pada 1 Mei 2009 yang akan menyaksikan tiga orang peserta berentap untuk merebut gelaran OIAM sekaligus membawa pulang bernilai RM 1,000 000!

Seperti musim yang sebelumnya, para peserta perlu hadir dengan pakej yang lengkap dengan vokal nyanyian yang mantap dan mempunyai personaliti yang mampu memikat hati penonton. Peserta juga harus fokus dan bersedia dari segi fizikal dan mental untuk berhadapan dengan juri dan proses penyingkiran.

Nasib para peserta terletak pada juri-juri profesional yang cukup berkaliber. Paul Moss dan Syafinaz Selamat akan bersama-sama dengan peserta setiap minggu untuk membantu mereka dengan memberikan komen-komen positif dan membina. Awal dan Marion pula masih lagi diberi kepercayaan sebagai pengacara OIAM untuk tahun yang ketiga berturut-turut.

Untuk mengetahui laporan terkini OIAM, sila layari www.8tv.com.my

Artikel Berikut

Artikel Lain