suria

Pagi Adik-adik bermula di TV9

Rancangan kesukaan ramai Barney akan dapat ditonton di TV9.
Rancangan kesukaan ramai Barney akan dapat ditonton di TV9.
Rancangan kesukaan ramai Barney akan dapat ditonton di TV9.

KESERONOKAN adik-adik yang sentiasa bersama TV9 menjadi semakin meriah dan ceria Januari ini kerana berpeluang menyaksikan program kartun seawal jam 8 hingga 9.30 pagi dari Isnin hingga Khamis.

Slot kartun ini diawalkan bagi memberi peluang kepada kanak-kanak yang masih lagi tidak bersekolah mahupun yang bersekolah pada sebelah petang menonton dan secara tidak langsung melatih mereka untuk bangun awal.

Kartun-kartun yang penuh dengan unsur-unsur pengajaran ini dimulakan dengan Fifi & The Flowertots (8 pagi – 8.30 pagi). Siri kartun yang menggunakan khidmat suara pelakon komedi terkenal, Jane Harrocks, ini mengisahkan tentang Fifi yang merupakan sekuntum bunga.

Walaupun dia berbadan kecil, namun mempunyai tenaga yang luar biasa, kreatif dan sentiasa berfikiran positif. Fifi sangat peramah dan senang didekati oleh rakan-rakannya seperti seperti Bumble, Violet, Primrose, Slugsy, Stingo, Webby dan Aunt Tulip.

Mereka hidup dengan penuh keharmonian dan itulah mesej yang ingin disampaikan kepada adik-adik supaya mempunyai sikap seperti Fifi yang sangat baik dan perlu sentiasa bekerjasama antara satu sama lain.

Sementara pada jam 8.30 hingga 9 pagi, adik-adik dapat menyaksikan Danger Mouse yang merupakan seekor tikus putih perkasa serta bijaksana.

Danger Mouse merupakan seorang perisik yang berdedikasi dan amat teliti dengan tugasan yang diberikan oleh ketuanya Colonel K. Danger Mouse sentiasa ditemani oleh pembantunya yang gemuruh bernama Penfold dalam setiap episod yang penuh aksi.

Danger Mouse menggunakan suara David Jason, yang merupakan pelakon komedi terkenal sekitar tahun 70-an.

Seterusnya kartun Duckula menyusul pada jam 9 hingga 9.30 pagi. Ia mengisahkan tentang seekor itik puntianak yang tidak menghisap darah mahupun memakan daging tetapi hanya makan roti sandwich dan sayuran.

Duckula menetap di dalam sebuah istana yang menggerunkan yang diberi nama istana Duckula (Castle Duckula) bersama pembantu Igor dan penjaga setianya bernama Nanny.

Walaupun mendiami istana bersama pembantu-pembantu setianya, Duckula masih lagi berada di dalam ketakutan kerana sentiasa dihantui oleh Dr. Von Goosewing seorang pemburu puntianak yang tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan Duckula.

Kartun adik-adik tidak terhenti di sini sahaja kerana TV9 sentiasa memberikan program-program kartun menarik di samping menyelitkan unsur-unsur pengajaran.

Pada bulan Febuari pula, TV9 akan menyajikan dua lagi kartun kesukaan ramai iaitu Barney & Friends yang mengisahkan tentang Barney, seekor raksasa berwarna unggu akan membawa adik-adik bermain, menyanyi, berlakon ke dunia penuh imiginasi bersama rakan-rakannya yang lain seperti BJ dan Baby Bob.

Bukan itu sahaja, TV9 juga turut menyajikan Elmo’s World yang berlatar belakangkan bilik animasi yang diperbuat daripada krayon. Elmo akan memulakan harinya dengan memperkenalkan tajuk pada hari itu diikuti dengan sketsa serta perbualan.

Pada episod seterusnya, Elmo akan membincangkan tajuk berlainan pula tetapi masih mengekalkan latar belakang yang sama. Cerita ini pastinya dapat mengasah daya ingatan adik-adik untuk belajar mengingati melalui perkara yang sama disamping mendapat pengajaran melalui topik perbualan yang ringkas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Bapa Nubhan AF6 meninggal dunia

Artikel Lain